Bulan Ramadan adalah bulan yang agung dan penuh dengan keberkatan. Bulan Ramadan mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang menanti sesiapa sahaja yang merebutnya.
Pada bulan Ramadan ini umat Islam diwajibkan berpuasa dan disunatkan mengerjakan solat Terawih pada malamnya. Bulan Ramadan juga merupakan bulan di mana Al-Quran diturunkan.
Dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam iaitu Malam Lailatul Qadar.
Kewajipan untuk berpuasa bagi umat Islam adalah sepertimana yang disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Berpuasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam yang ke-4. Barang siapa yang meninggalkan rukun Islam ini, maka keislamannya boleh musnah.
Hadith-hadith Mengenai Kelebihan dan Keistimewaan Bulan Ramadan
Terdapat juga beberapa hadith yang menerangkan kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan. Antaranya adalah:
1. Pintu-pintu Syurga Dibuka
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila datang bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu syurga“. – (HR Bukhari)
Selain itu, terdapat juga hadith lain yang menerangkan mengenai bulan Ramadan.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya).” – (HR Muslim).
2. Di ampunkan Dosa
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadan menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” – (HR At-Tirmidzi dan Nasa’i)
Manakala, terdapat juga hadith lain yang menyebut mengenai pengampunan dosa pada bulan Ramadan.
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.” – (HR al-Bukhari).
3. Bulan Terbaik untuk Bersedekah
Bulan Ramadan adalah antara waktu terbaik untuk bersedekah.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” (HR At-Tirmidzi)
4. Doa Dimakbulkan
Orang berpuasa juga adalah golongan yang akan dimakbulkan doa mereka. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata RasulullahSAW bersabda yang bermaksud:
“Tiga orang yang tidak akan ditolak doa-doa mereka. (Pertama) Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, (kedua) seorang imam (pemerintah) yang adil dan (ketiga) doa seorang yang dizalimi. Allah
SWT akan mengangkat doanya ke atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan
Allah SWT akan berfirman: “Demi kemuliaan dan keagungan Ku, pasti Aku (Allah) akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika.” – (HR At-Tirmidzi)
5. Pahala Digandakan
Setiap amal kebaikan akan digandakan pahalanya. Akan tetapi pahala amalan puasa lebih istimewa kerana Allah SWT sendiri akan memberi ganjaran mengikut kehendak-Nya tanpa had yang tertentu.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya daripada 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah Azza wa Jalla berfirman: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia milik-Ku (Allah) dan Aku-lah yang akan membalasnya. Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana-Ku.” – (HR Muslim)
6. Mendapat 2 Kegembiraan
Orang yang berpuasa akan mendapat 2 kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak kerana ganjaran puasanya.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan kedua duanya (pertama) apabila berbuka dia bergembira dan (kedua) apabila berjumpa dengan Tuhannya dia
bergembira disebabkan (ganjaran) ibadah puasanya itu.” – (HR al-Bukhari)
7. Diberikan Balasan Syurga Ar-Rayyan
Sesungguhnya cabaran berpuasa itu amat besar namun ganjarannya sangat bernilai di sisi Allah SWT.
Allah SWT menyediakan pintu khas untuk memasuki syurga yang dinamakan ar-Rayyan hanya untuk
mereka yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang
berpuasa untuk memasuki syurga melaluinya.
Daripada Sahl RA, beliau berkata daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang akan memasukinya pada hari kiamat nanti hanyalah mereka yang berpuasa tiada sesiapapun yang layak
memasukinya selain daripada mereka. Lantas akan diseru (oleh penjaganya): “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka yang berpuasa pun bangun memasukinya; tiada sesiapapun yang layak
memasukinya selain daripada mereka. Apabila mereka sudah memasukinya pintu itu akan ditutup dan tiada sesiapapun lagi yang akan dapat memasukinya.” – (HR al-Bukhari)
8. Malam Lailatul Qadar
Kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan yang seterusnya adalah mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan yang dipanggil “Lailatul qadar.”
Sesiapa yang beribadah pada malam ini akan mendapat ganjaran sepertimana dia beribadah selama seribu bulan.
Sesungguhnya terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan kepada mereka yang patuh dan taat mengerjakan ibadah pada bulan ini.
Antara amalan atau ibadah yang boleh dilakukan pada bulan Ramadan adalah:
- Membaca dan bertadarus Al-Quran
- Menunaikan solat Tarawih
- Memberikan sedekah
- Membanyakkan doa dan memohon keampunan daripada Allah SWT
- Menjamu orang berpuasa berbuka puasa
- Banyakkan bersabar
- Meninggalkan kemaksiatan
- Melakukan amalan-amalan wajib dan sunat
Justeru itu, marilah kita semua bersama-sama meraih keberkatan atau kelebihan bulan Ramadan ini dengan menunaikan ibadah puasa dengan seikhlas-ikhlasnya dan melakukan kebaikan yang lain.