Kecelaruan tabiat mengumpul atau turut dikenali sebagai hoarding disorder adalah kecelaruan mental yang menyebabkan seseorang itu menyimpan atau mengumpul barang terlalu banyak dan berlebihan sama ada ia bernilai atau tidak.
Penghidap kecelaruan tabiat mengumpul ini selalunya menyimpan barangan mereka dalam keadaan bersepah dan tidak mampu untuk menguruskannya dengan baik.
Tabiat mengumpul ini akan mewujudkan kediaman yang padat dan boleh menjejaskan kualiti kehidupan. Meja, dapur, sinki, tangga atau apa sahaja bahagian pastikan akan dipenuhi dengan barangan seperti surat khabar, majalah, produk kertas, barangan rumah dan pakaian.
Lebih teruk daripada itu, apabila tiada ruang di dalam rumah, barangan bersepah tersebut boleh merebak ke garaj, kenderaan, halaman rumah atau stor simpanan.
Kecelaruan tabiat mengumpul ini boleh menganggu kualiti hidup. Ia juga boleh menyebabkan perasaan malu dan tertekan dalam kehidupan sosial, keluarga dan kerjaya. Lebih membimbangkan tabiat ini boleh mewujudkan kediaman yang berbahaya dan tidak selamat.
Punca atau Penyebab
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan tabiat mengumpul ini tidak diketahui dengan jelas. Tetapi pengkaji percaya terdapat beberapa faktor risiko yang berkaitan dengan kecelaruan ini.
Antaranya adalah:
- Mempunyai ahli keluarga yang mengalami kecelaruan ini.
- Pernah mengalami peristiwa trauma.
- Tabiat membeli yang tidak dapat dikawal.
- Kecederaan otak.
- Mengalami kecelaruan mental seperti kemurungan atau kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).
- Perangai yang tidak dapat melepaskan barangan percuma seperti kupon dan risalah.
Simptom-simptom atau Gejala
Mendapatkan dan menyimpan barangan secara berlebihan, ruang kediaman yang bersepah secara beransur-ansur dan kesukaran membuang barang biasanya merupakan tanda dan gejala pertama kecelaruan ini, yang sering muncul semasa remaja hingga awal dewasa.
Apabila penghidap kecelaruan ini meningkat dewasa, mereka biasanya mula menyimpan barang yang tidak diperlukan. Menjelang usia pertengahan, gejala selalunya teruk dan mungkin lebih sukar untuk dirawat.
Simptom-simptom dan gejala kecelaruan tabiat mengumpul termasuklah:
- Mengumpul barangan secara berlebihan walaupun tidak perlu atau tidak mempunyai ruang untuknya.
- Mempunyai kesukaran yang berterusan untuk membuang atau berpisah dengan barangan, tanpa mengira nilai sebenar.
- Merasakan keperluan untuk menyimpan barang-barang ini dan berasa kecewa jika ingin membuangnya.
- Barangan berselerak sehingga bilik tidak boleh digunakan.
- Mempunyai kecenderungan ke arah ketidakpastian, kesempurnaan, pengelakan, penangguhan serta masalah dengan perancangan dan penyusunan.
Kecelaruan tabiat mengumpul berbeza dengan hobi mengumpul atau menyimpan koleksi. Orang yang menyimpan koleksi seperti setem, kereta atau motosikal biasanya menyimpan koleksi mereka dengan baik, hanya menyimpan jenama atau keluaran tertentu atau mengikut kelas tertentu.
Walaupun koleksi mereka banyak, biasanya ia tidak bersepah atau menyebabkan kebimbangan.
Diagnosis
Penghidap kecelaruan tabiat mengumpul ini jarang sekali mendapatkan bantuan atau rawatan. Biasanya, rakan-rakan atau ahli keluarga yang bimbang atau prihatin akan mendapatkan bantuan daripada pakar untuk mereka.
Untuk mendiagnosis kecelaruan ini, doktor akan bertanya mengenai tabiat mngumpul atau menyimpan pesakit. Untuk mengesahkan diagnosis tersebut, simptom-simptom berikut mestilah wujud:
- Kesukaran berterusan untuk menyingkirkan harta benda sama ada mempunyai nilai atau tidak.
- Perasaan tertekan yang berkaitan dengan membuang barang.
- Ruang kediaman yang penuh dengan harta benda tidak boleh digunakan.
Rawatan
Rawatan kecelaruan tabiat mengumpul boleh menjadi sukar kerana pesakit biasannya tidak menyedari kesan negatif tabiat ini terhadap kehidupan mereka atau tidak percaya mereka memerlukan rawatan.
Rawatan utama untuk kecelaruan tabiat mengumpul ialah terapi tingkah laku kognitif. Ubat boleh ditambah, terutamanya jika pesakit turut mengalami keresahan atau kemurungan.
Psikoterapi
Terapi tingkah laku kognitif adalah sejenis psikoterapi yang lazim digunakan untuk merawat kecelaruan ini.
Terapi ini akan mengajar pesakit untuk:
- Belajar mengenal pasti dan mencabar pemikiran serta kepercayaan yang berkaitan dengan memperoleh dan menyimpan barang-barang.
- Belajar untuk menahan keinginan untuk memperoleh lebih banyak barangan.
- Belajar menyusun dan mengkategorikan harta benda untuk membantu pesakit memutuskan mana yang boleh dibuang.
- Tingkatkan kemahiran membuat keputusan dan mengatasi masalah pesakit.
- Mengemaskan rumah pesakit semasa lawatan di rumah oleh ahli terapi atau profesional.
- Belajar cara untuk meningkatkan motivasi untuk berubah.
Ubat-ubatan
Biasanya, ubat-ubatan digunakan untuk merawat kecelaruan lain seperti keresahan dan kemurungan yang sering berlaku bersama-sama dengan kecelaruan tabiat mengumpul.
Ubat-ubatan yang paling biasa digunakan ialah daripada jenis antidepresan yang dipanggil selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs).
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2018). Hoarding disorder. Mayo Clinic.
- Cleveland Clinic. (2018). Hoarding disorder.