Jenis-jenis

Kecelaruan Stres Pascatrauma (PTSD)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kecelaruan Stres Pascatrauma atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) adalah kecelaruan yang terjadi kepada seseorang setelah mengalami kejadian yang menakutkan, mengejutkan atau membahayakan.

Bagi orang yang normal, perasaan takut atau stres setelah melalui situasi traumatik akan hilang dengan sendirinya. Namun, bagi mereka yang mengalami PTSD ini, mereka akan berterusan berasa takut atau stres walaupun mereka tidak berada dalam keadaan bahaya.

PTSD ini banyak terjadi kepada golongan yang mengalami atau menjadi saksi kepada kejadian-kejadian yang dahsyat seperti bencana alam, kemalangan yang teruk, peperangan, kekejaman, penderaan seksual, dirogol atau kecederaan yang teruk.

kecelaruan stres pascatrauma

Simptom-simptom Kecelaruan Stres Pascatrauma

Simptom-simptom kecelaruan ini boleh terjadi dalam sebulan setelah kejadian traumatik atau lebih setahun selepas kejadian itu. Simptom-simptom ini boleh menganggu kerja, perhubungan dengan pasangan dan masyarakat.

Simptom atau gejala PTSD ini dikelaskan kepada 4 kategori iaitu:

1. Memori Intrusif

  • Ingatan atau memori berkenaan kejadian traumatik itu berimbas kembali serta menyebabkan jantung berdegup kencang dan berpeluh.
  • Mimpi buruk.
  • Tekanan emosi atau reaksi fizikal yang teruk yang mengingatkan anda akan kejadian traumatik.

2. Penghindaran / Pengelakan

  • Menjauhi tempat, objek, orang atau aktiviti yang menyebabkan terkenang akan pengalaman traumatik.
  • Mengelakkan pemikiran atau perasaan yang berkaitan dengan kejadian traumatik.

3. Perubahan Negatif Dalam Pemikiran dan Emosi

  • Tanggapan negatif terhadap diri sendiri.
  • Rasa putus asa akan masa hadapan.
  • Mengalami masalah dalam perhubungan.
  • Mengalami masalah ingatan.
  • Rasa terpisah daripada keluarga dan rakan-rakan.
  • Susah untuk mempunyai emosi yang positif.
  • Kurang berminat akan aktiviti yang dahulunya diminati.

4. Perubahan Dalam Tindak Balas Fizikal dan Emosi

  • Mudah terkejut atau takut.
  • Kelakuan yang membahayakan diri seperti memandu laju atau minum arak terlalu banyak.
  • Sukar untuk tidur.
  • Sukar untuk memberikan tumpuan.
  • Kelakuan yang ganas atau panas baran.
  • Rasa bersalah atau malu yang melampau.

Simptom-simptom yang perlu ada sebelum seseorang itu didiagnos menghidap PTSD

Untuk dikatakn seseorang itu menghidap PTSD, orang dewasa mesti melalui simptom-simptom berikut setidak-tidaknya sebulan:

  • Sekurang-kurangnya satu simptom memori instrusif.
  • Sekurang-kurangnya satu simptom penghindaran.
  • Sekurang-kurangnya dua simptom perubahan negatif dalam pemikiran dan emosi.
  • Sekurang-kurangnya dua simptom perubahan dalam tindak balas fizikal dan emosi.

Terapi dan Rawatan

Dua kaedah rawatan iaitu terapi dan ubat-ubatan boleh dimanfaatkan dalam merawat kecelaruan stres pascatrauma ini. Rawatan terhadap setiap individu mungkin berbeza-beza kerana PTSD yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza-beza.

Adalah penting untuk mendapatkan rawatan daripada pakar atau ahli psikiatri yang mempunyai pengalaman dengan PTSD.

Mereka yang mengalami PTSD berpotensi untuk membentuk kecelaruan mental yang lai seperti kecelaruan panik, kemurungan, penyalahgunaan dadah dan keinginan untuk bunuh diri.

Ubat-ubatan

  • Ubat antidepresi adalah jenis ubat-ubatan yang boleh untuk mengawal simptom-simptom PTSD seperti kesedihan, marah, bimbang dan rasa kosong.
  • Ubat antikeresahan pula boleh digunakan untuk melegakan simptom-simptom yang melibatkan keresahan atau kebimbangan.

Psikoterapi

a) Terapi kognitif.

Terapi ini membantu pesakit mengubah atau mengatasi cara berfikir negatif yang selalu menghantui mereka. Contohnya seperti pemikiran negatif terhadap diri sendiri atau memikirkan perkara yang menyebabkan trauma itu terjadi lagi. Ahli terapi akan membantu pesakit melihat apa yang terjadi dari sudut yang lebih realistik.

b) Terapi pendedahan.

Kaedah ini membantu pesakit untuk menghadapi atau mengawal rasa takut mereka. Terapi ini melibatkan proses pendedahan pesakit terhadap pengalaman traumatik mereka secara berperingkat dan selamat. Kaedah ini membantu pesakit untuk mengatasi perasaan trauma mereka.

Punca Kecelaruan Stres Pascatrauma

Kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) ini terjadi kepada mereka yang telah mengalami kejadian atau peristiwa yang traumatik. Kebanyakan orang tidak mengalami masalah selepas mengalami peristiwa seperti itu tetapi sebahagian kecil mengalami PTSD ini.

Trauma boleh menyebabkan perubahan pada otak manusia. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Biological Psychiatry mendapati mereka yang mengalami PTSD mempunyai hipokampus yang lebih kecil. Hipokampus ialah bahagian otak yang melibatkan emosi dan memori.

Walau bagaimanapun, masih tiada kepastian sama ada mereka mempunyai hipokampus yang lebih kecil sebelum trauma atau selepas trauma. Lebih banyak kajian masih diperlukan.

Apa yang anda boleh lakukan?

Sekiranya anda, ahli keluarga atau orang terdekat mula terkesan akibat daripada kejadian atau peristiwa traumatik, dapatkan pertolongan dan rawatan daripada dokor atau pakar kesihatan mental.

Beberapa langkah ini boleh diambil untuk menghadapai kecelaruan ini:

  • Patuh kepada plan rawatan yang telah ditetapkan.
  • Dapatkan rehat dan tidur yang cukup. Amalkan gaya hidup sihat.
  • Belajar mengenai PTSD.
  • Jauhi bahan terlarang seperti dadah dan arak.
  • Dapatkan sokongan kumpulan yang mungkin mempunyai sejarah yang sama.
  • Kekal berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Elakkan bersendirian.
  • Atasi rasa resah dan bimbang dengan melakukan perkara yang disukai dan kekal fokus.

Rujukan