Kecelaruan ruminasi ialah salah satu daripada kecelaruan makan yang mengakibatkan aliran mundur makanan yang baru dimakan dari perut ke mulut (regurgitasi). Makanan itu kemudiannya dikunyah semula dan ditelan atau dimuntahkan.
Oleh kerana makanan itu masih belum dihadam, ia dilaporkan rasa normal dan tidak berasid, seperti muntah. Ruminasi biasanya berlaku pada setiap hidangan, sejurus selepas makan.
Ruminasi mungkin diikuti sensasi sendawa dan biasanya tidak melibatkan loya atau muntah. Penghidap kecelaruan ruminasi tidak menjeluak makanan kerana sakit perut atau kerana mereka berasa sakit. Ia boleh berlaku secara sengaja, tidak sengaja atau dipelajari.
Punca yang Menyebabkan Kecelaruan Ruminasi
Punca sebenar kecelaruan ruminasi tidak diketahui. Tetapi ia mungkin disebabkan oleh peningkatan tekanan perut.
Terdapat teori yang menyatakan bahawa sementara tekanan awal bertambah baik, sensasi yang berubah dalam perut berterusan. Ini akhirnya mengakibatkan kelonggaran otot di bahagian bawah esofagus.
Untuk melegakan ketidakselesaan ini, penghidap kecelaruan ruminasi menggunakan otot dinding perut untuk mengeluarkan dan memuntahkan makanan. Akibat daripada simptom yang berlaku dialami beransur lega, penghidap kecelaruan ini mengulangi tindakan yang sama apabila ketidakselesaan itu kembali.
Lama-kelamaan penghidap kecelaruan tersebut secara tidak sedar mengamalkan tingkah laku yang dipelajari ini.
Sesetengah orang mungkin mengalami sindrom ini jika mereka mempunyai masalah emosi atau mereka mengalami peristiwa yang menekan.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala kepada kecelaraun ruminasi adalah seperti berikut:
- Memuntahkan dan mengunyah semula makanan secara tetap.
- Masalah penghadaman seperti ketidakhadaman dan sakit perut.
- Masalah pergigian seperti nafas berbau dan kerosakan gigi.
- Pengurangan berat badan.
- Bibir merekah atau pecah.
Bayi yang mengalami kecelaruan ruminasi mungkin menegang atau melengkungkan belakang mereka atau membuat bunyi menghisap dengan mulut mereka.
Diagnosis
Kecelaruan ruminasi biasanya boleh didiagnosis berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal. Dalam kebanyakan kes, simptom pesakit telah mengalami simptom-simptom selama sekurang-kurangnya 3 bulan.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), seseorang itu perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut untuk didiagnosis menghidap kecelaruan ruminasi:
- Regurgitasi makanan berulang-ulang dalam tempoh sekurang-kurangnya 1 bulan. Makanan yang dimuntahkan boleh dikunyah semula, ditelan semula atau diludah.
- Regurgitasi berulang-ulang bukan disebabkan oleh gastrousus atau keadaan kesihatan perubatan lain.
- Kecelaruan makan ini tidak boleh berlaku hanya dengan kehadiran anoreksia nervosa, bulimia nervosa, kecelaruan makan gelojoh atau kecelaruan pengambilan makanan mengelak/terhad.
- Jika kecelaruan makan berlaku bersama-sama dengan gangguan mental yang lain (contohnya seperti kehilangan upaya intelek), gejala mestilah cukup teruk dan menjadi sebab utama untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Doktor juga mungkin menjalankan beberapa ujian bagi memastikan simptom-simptom yang berlaku bukan disebabkan masalah perubatan yang lain.
Antaranya adalah:
- Ujian pengosongan gaster.
- Endoskopi atas.
- Sinar-X.
Rawatan
Matlamat rawatan adalah untuk mengubah tingkah laku yang dipelajari yang bertanggungjawab untuk regurgitasi. Rawatan utama kecelaruan ruminasi ialah terapi tingkah laku.
Terapi Tingkah Laku
Terapi tingkah laku pembalikan tabiat digunakan untuk merawat pesakit tanpa kecacatan perkembangan yang menghidap kecelaruan ruminasi.
Kaedah rawatan ini mengajar pesakit untuk mengenali apabila berlaku ruminasi dan untuk bernafas menggunakan otot perut (pernafasan diafragma) pada masa tersebut. Pernafasan diafragma menghalang pengecutan perut dan regurgitasi.
Terapi jenis ini selalunya diberikan oleh ahli gastroenterologi.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan hanya diberikan sekiranya ruminasi berlaku secara kerap sehingga merosakkan esofagus. Ubat-ubatan ini boleh melindungi pelapik pada esofagus sehingga terapi tingkah laku mengurangkan kekerapan atau keterukan regurgitasi.
Antara ubat-ubatan yang mungkin dipreskripsikan adalah:
- esomeprazole (Nexium)
- omeprazole (Prilosec)
Rujukan
- Genetic and Rare Diseases Information Center. (2015). Rumination disorder. NIH.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Rumination syndrome. MayoClinic.