Apa itu Kecelaruan Psikotik Singkat?
Kecelaruan psikotik singkat atau brief psychotic disorder (BPD) ialah sejenis gangguan jangka pendek yang melibatkan berlakunya sekurang-kurangnya satu simptom psikotik seperti halusinasi, delusi atau cakap tidak teratur.
Kecelaruan psikotik singkat boleh berlaku selama 1 hingga 30 hari sebelum pesakit betul-betul kembali kepada keadaan sedia kala.
Kecelaruan psikotik singkat boleh dikategorikan kepada 3 jenis iaitu:
- Kecelaruan psikotik singkat dengan stresor jelas: Jenis ini berlaku sejurus selepas trauma atau tekanan besar seperti kematian orang tersayang, kemalangan, serangan atau bencana alam. Ia biasanya akibat tindak balas kepada peristiwa yang sangat mengganggu.
- Kecelaruan psikotik singkat tanpa stresor jelas: Bagi jenis ini, tidak ada trauma atau tekanan yang jelas yang mencetuskannya.
- Kecelaruan psikotik singkat dengan postpartum: Jenis ini hanya berlaku kepada wanita, biasanya dalam masa 4 minggu mempunyai bayi.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala boleh dibahagikan kepada dua, yang paling jelas dan simptom-simptom lain.
Simptom-simptom yang paling jelas adalah:
- Halusinasi: Pesakit mungkin mendengar suara, melihat sesuatu yang tidak dilihat oleh orang lain atau merasakan sesuatu menyentuhnya walaupun tidak apa sesuatu pun menyentuhnya.
- Delusi: Ini adalah kepercayaan palsu yang seseorang enggan berputus asa, walaupun berhadapan dengan fakta.
Simptom-simptom lain yang boleh turut berlaku adalah:
- Percakapan yang tidak teratur dan merepek
- Pemikiran yang kacau-bilau
- Tingkah laku yang luar biasa (aneh)
- Pemakaian yang luar biasa (aneh)
- Perubahan terhadap tabiat tidur, makan atau tenaga
- Tidak dapat membuat keputusan
- Keadaan katatonik (ketegaran otot dan pergerakan menjadi kaku)
Punca
Pakar-pakar tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan psikotik singkat ini.
Ia mungkin mempunyai kaitan dengan genetik kerana keadaan ini lebih lazim berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah kecelaruan psikotik atau mood seperti kemurungan atau kecelaruan bipolar.
Terdapat juga teori yang mencadangkan bahawa kekurangan kemahiran gaya tindak boleh mencetuskan kecelaruan sebagai pertahanan atau jalan keluar bagi setiap situasi yang menakutkan atau menekankan.
Dalam kebanyakan kes, kecelaruan ini dicetuskan oleh tekanan yang kuat atau peristiwa yang menyebabkan trauma. Bagi sesetengah wanita, melahirkan bayi mungkin boleh menjadi pencetus.
Diagnosis
Tiada kajian makmal khusus atau ujian psikologi yang boleh dilakukan untuk mendiagnosis kecelaruan ini.
Doktor mungkin akan melihat sejarah psikiatri atau menjalankan beberapa pemeriksaan fizikal atau menjalankan ujian darah atau ujian air kencing bagi untuk menolak punca lain seperti penyalahgunaan dadah.
Kadangkala, doktor juga mungkin mengarahkan ujian pengimejan otak (seperti MRI) jika mereka fikir mungkin terdapat kelainan pada struktur otak berdasarkan peperiksaan fizikal.
Jika tiada penjelasan fizikal yang jelas ditemui untuk simptom-simptom tersebut, doktor akan merujuk pesakit kepada pakar psikiatri atau ahli psikologi.
Profesional kesihatan mental ini menggunakan alat temu bual dan penilaian yang direka khas untuk menilai seseorang untuk gangguan psikotik.
Beberapa kunci utama dalam diagnosis adalah:
- Kehadiran faktor-faktor risiko seperti tekanan kehidupan, kecelaruan personaliti, sejarah keluarga, mengandung atau baru 4 minggu melahirkan anak.
- Mempunyai sekurang-kurangnya 1 simptom psikotik yang berlaku selama 1 hari tetapi kurang daripada sebulan.
- Simptom-simptom tidak disebabkan penyalahgunaan dadah.
- Simptom-simptom tidak disebabkan oleh masalah kesihatan.
Rawatan
Seseorang yang mengalami kecelaruan psikotik singkat mungkin diberikan rawatan ubat-ubatan untuk merawat simptom-simptom dan mungkin juga menerima psikoterapi.
Doktor atau pakar psikiatri juga mungkin akan mempertimbangkan sama ada pesakit perlu dimasukkan ke wad atau menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Ubat-ubatan
Doktor atau pakar psikiatri mungkin akan mempreskripsikan ubat-ubat antipsikotik untuk mengurangkan atau melenyapkan simptom-simptom yang dialami.
Psikoterapi
Kaedah rawatan menggunakan psikoterapi boleh membantu pesakit berhadapan dengan trauma, tekanan (stres) atau mengatasi simptom-simptom yang dialami dengan cara sihat.
Kaedah rawatan ini boleh mencegah seseorang itu daripada mengalami episod psikotik yang berikutnya.
Rujukan
- Casarella, J. (2020). What Is Brief Psychotic Disorder? WebMD.
- Stephen A, Lui F. Brief Psychotic Disorder. [Updated 2022 Jun 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI