Apa itu Kecelaruan Psikotik Cetusan Bahan/Ubat?
Kecelaruan psikotik cetusan bahan/ubat atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai substance/medication-induced psychotic disorder adalah keadaan kesihatan mental yang khususnya berlaku apabila seseorang mengalami halusinasi, delusi atau kedua-duanya dalam masa sebulan selepas menggunakan atau berhenti menggunakan ubat preskripsi, dadah atau alkohol.
Ia turut dikenali dengan nama psikosis toksik, psikosis cetusan alkohol atau psikosis cetusan ubat.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), kira-kira 7-25% pesakit yang dirawat buat pertama kalinya untuk episod psikotik dilaporkan mengalami kecelaruan psikotik cetusan bahan/ubat.
Malah, banyak penemuan yang membuktikan bahawa bahan terlarang seperti kanabis, kokain, amphetamina dan halusinogen mempunyai ciri-ciri psikotomimetik iaitu memimik gejala-gejala psikosis. [1, 2]
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala kecelaruan psikotik cetusan bahan/ubat adalah seperti halusinasi, delusi atau kedua-duanya.
Gejala-gejala selalunya berlaku hanya sekejap, hilang sejurus selepas ubat yang menyebabkannya dibersihkan. Tetapi psikosis yang dicetuskan oleh amphetamina, kokain atau PCP mungkin berterusan selama beberapa minggu.
Halusinasi
Jika anda mengalami halusinasi, anda mengalami sesuatu dengan satu atau pelbagai deria yang tidak berdasarkan realiti.
Jenis-jenis halusinasi adalah:
- Penglihatan: Melihat sesuatu yang tidak wujud atau berada di tempat itu.
- Pendengaran: Mendengar suara atau bunyi yang tidak wujud.
- Bau: Membau bau-bauan yang tidak dapat dibau oleh orang lain.
- Sentuhan: Berasa seperti disentuh walaupun tiada apa yang berlaku atau menyentuhnya.
- Rasa: Merasa sesuatu apabila tiada apa di dalam mulut anda.
Delusi
Delusi adalah pemikiran dan kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti.
Jenis-jenis delusi adalah:
- Persecutory: Fikiran bahawa orang lain, termasuk organisasi, ingin mendapatkan anda atau sedang mengawasi anda.
- Somatik: Percaya bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan badan anda.
- Erotomanic: Percaya bahawa seseorang atau beberapa orang jatuh cinta dengan anda walaupun terdapat bukti yang bertentangan.
- Grandiose: Percaya bahawa anda luar biasa, istimewa, berbakat, dan lebih baik daripada orang lain.
- Referential: Kepercayaan bahawa individu dan isyarat persekitaran mempunyai makna tersembunyi yang dimaksudkan untuk berkomunikasi dengan anda.
- Nihilistic: Fikiran bahawa bencana akan berlaku.
Punca yang Menyebabkan Kecelaruan Psikotik Cetusan Bahan
Kecelaruan psikotik cetusan bahan boleh berlaku dengan penggunaan atau semasa penarikan diri daripada alkohol, dadah dan ubat preskripsi dan sedatif.
Antara bahan psikoaktif yang boleh mencetuskan kecelaruan ini adalah:
- Alkohol
- Kanabis
- Phencyclidine (PCP)
- Halusinogen
- Inhalan (ubat sedut)
- Sedatif
- Hipnotik
- Amphetamina
- Stimulan
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang boleh mencetuskan kecelaruan ini adalah:
- Analgesia
- Antidepresan
- Antiepileptik
- Antiparkinson
- Steroid
- Anticholinergic
- Muscle relaxant
- Disulfiram
Diagnosis
Untuk diagnosis kecelaruan psikotik cetusan bahan/ubat dibuat, gejala-gejala mestilah mempunyai kesan yang ketara ke atas kualiti hidup anda.
Walaupun sukar untuk membezakan kecelaruan ini daripada spektrum skizofrenia dan kecelaruan psikotik lain, terdapat beberapa faktor utama yang perlu diberi perhatian seperti:
- Gejala-gejala bermula dalam masa sebulan selepas menggunakan atau berhenti daripada dadah, alkohol atau kedua-duanya.
- Tiada gejala-gejala berkaitan psikosis dicatatkan sebelum penggunaan atau penarikan (withdrawal).
- Gejala-gejala biasanya berkurangan selepas penarikan.
- Gejala-gejala biasanya berlarutan tidak melebihi sebulan.
- Individu biasanya tidak mengalami pertuturan atau tingkah laku yang tidak teratur atau ekspresi emosi yang berkurangan.
Rawatan
Rawatan untuk kecelaruan psikotik cetusan bahan/ubat akan berbeza-beza bergantung pada pesakit tertentu dan keperluan unik mereka.
Dalam kebanyakan kes, menghentikan bahan pencetus dan memantau pesakit dengan teliti dalam persekitaran yang selamat mungkin sudah memadai.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang boleh membantu mengurangkan gejala-gejala adalah:
- Benzodiazepines
- Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs)
- Antipsikotik
Psikoterapi
Untuk jangka panjang, adalah penting untuk merawat sebarang keadaan kesihatan mental yang tersembunyi untuk mengurangkan peluang untuk mengalaminya kecelaruan jenis ini lagi.
Pilihan rawatan yang ada adalah seperti:
- Terapi tingkah laku kognitif (CBT)
- Pemulihan pesakit dalam untuk penggunaan dadah dan/atau alkohol
- Pemulihan pesakit luar untuk penggunaan dadah dan/atau alkohol
- Terapi tingkah laku dialektik (DBT)
- Terapi berkumpulan
Rujukan
- Cooper, M. D. et al. (2017). Strategies to mitigate dissociative and psychotomimetic effects of ketamine in the treatment of major depressive episodes: a narrative review. The world journal of biological psychiatry.
- Murray, R. M. et al. (2017). Cannabis-associated psychosis: Neural substrate and clinical impact. Neuropharmacology.
- Hartney, E. (2021). What Is Substance/Medication-Induced Psychotic Disorder? verywellmind