Kecelaruan pertautan reaktif atau dalam bahasa Inggerisnya “reactive attachment disorder” (RAD) adalah keadaan di mana bayi atau kanak-kanak kecil tidak membentuk satu pertalian yang selamat dan sihat dengan ibu bapa atau penjaga mereka.
Kecelaruan pertautan reaktif mungkin berlaku jika keperluan asas kanak-kanak untuk keselesaan, kasih sayang dan asuhan tidak dipenuhi serta pertalian kasih sayang, penyayang dan pertalian yang stabil dengan orang lain tidak diwujudkan.
Kanak-kanak yang terkesan dengan kecelaruan ini akan mengalami kesukaran untuk membentuk pertautan dengan orang lain, kemerosotan keupayaan untuk mengalami emosi positif, tidak boleh mencari atau menerima keakraban fizikal atau emosi dan mungkin akan bertindak balas ganas jika dipegang, dipeluk atau ditenangkan.
Punca atau Penyebab
Punca atau penyebab yang tepat tidak diketahui sepenuhnya. Tetapi pengkaji percaya bahawa kekurangan kasih sayang dan penjagaan yang konsisten menyumbang kepada terbentuknya kecelaruan ini. Kurang penjagaan atau pengasuhan membuatkan kanak-kanak berasa seperti diabaikan, keseorangan atau tidak dipedulikan.
Keadaan ini menghalang kanak-kanak daripada membina satu ikatan yang sihat dan selamat dengan ibu bapa atau penjaganya.
Faktor Risiko
Pengabaian emosi, sosial atau kekurangan peluang untuk membina ikatan yang kukuh meningkatkan risiko untuk kanak-kanak membentuk RAD. Contohnya:
- Sering bertukar rumah jagaan atau penjaga
- Tinggal dirumah anak yatim atau rumah penjagaan kanak-kanak
- Mempunyai ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan yang teruk
- Mempunyai ibu bapa penjenayah atau terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang
- Berpisah terlalu lama dengan ibu bapa atau penjaga akibat dimasukkan di hospital
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala kecelaruan pertautan reaktif berbeza-beza bagi seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain.
Bayi atau kanak-kanak kecil yang menghidap RAD mungkin menunjukkan simptom atau gejala berikut:
- Menyisihkan diri, ketakutan, kesedihan atau kerengsaan yang tidak dapat dijelaskan
- Penampilan sedih dan tidak bermaya
- Tidak meminta untuk ditenangkan atau tidak menunjukkan tindak balas apabila ditenangkan
- Kegagalan untuk tersenyum
- Memerhatikan orang lain dengan teliti tetapi tidak terlibat dalam interaksi sosial
- Gagal meminta sokongan atau bantuan
- Kegagalan untuk menghubungi apabila diambil
- Tiada minat bermain “ba cak” atau permainan interaktif lain
- Mengelak daripada temuan mata atau sentuhan fizikal terutamanya antara ibu bapa atau penjaga
Diagnosis
Ahli psikiatri atau psikologi akan menjalankan pemeriksaan yang menyeluruh untuk mendiagnosis kecelaruan pertautan reaktif.
Penilian terhadap kanak-kanak merangkumi:
- Pemerhatian langsung terhadap interaksi dengan ibu bapa atau penjaga
- Butiran tentang corak tingkah laku dari semasa ke semasa
- Contoh tingkah laku dalam pelbagai situasi
- Maklumat tentang interaksi dengan ibu bapa atau penjaga dan lain-lain
- Soalan tentang rumah dan keadaan tempat tinggal sejak lahir
- Penilaian gaya dan kebolehan keibubapaan dan pengasuhan
Doktor juga akan mengasingkan kecelaruan psikiatri lain dan menentukan sama ada terdapat sebarang keadaan kesihatan mental lain yang mungkin wujud bersama, seperti:
- Kecacatan intelek
- Kecelaruan penyesuaian lain
- Kecelaruan spektrum autisme
- Kecelaruan kemurungan
Doktor juga mungkin menggunakan kriteria diagnostik untuk kecelaruan partautan reaktif seperti yang digariskan oleh Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5). Diagnosis biasanya tidak dibuat sebelum umur 9 bulan. Tanda dan gejala muncul sebelum umur 5 tahun.
Rawatan Kecelaruan Pertautan Reaktif
Kanak-kanak yang mengalami kecelaruan pertautan reaktif dipercayai boleh membentuk pertautan tetapi tetapi keupayaan ini telah dihalang oleh pengalaman mereka.
Tiada rawatan yang khusus bagi kecelaruan jenis ini tetapi rawatan mestilah melibatkan kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga.
Matlamat rawatan adalah untuk membantu memastikan kanak-kanak:
- Mempunyai tempat tinggal yang yang selamat dan stabil
- Membina interaktif positif dan menguatkan pertautan bersama-sama ibu bapa dan penjaga
Rawatan memerlukan pendekatan yang menggabungkan pendidikan kepada ibu bapa dan terapi yang menumpukan
Rawatan RAD memerlukan pendekatan pelbagai serampang yang menggabungkan pendidikan ibu bapa dan terapi berfokuskan trauma.
Pendidikan keibubapaan melibatkan:
- Pembangunan strategi pengurusan tingkah laku yang positif dan tidak menghukum
- Cara untuk bertindak balas terhadap komunikasi bukan lisan
- Jangkaan dan strategi mengatasi apabila pencetus timbul
- Psikoterapi ibu bapa dan anak boleh memudahkan ikatan dan pertautan yang sihat
Memupuk hubungan ibu bapa-anak adalah asas untuk mengatasi kerosakan yang disebabkan oleh pengabaian dan penderaan yang teruk.
Rujukan
- Ellis EE, Yilanli M, Saadabadi A. Reactive Attachment Disorder. [Updated 2021 Aug 6]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK537155/
- Mayo Clinic Staff. (2020). Reactive Attachment Disorder. MayoClinic
- Cleveland Clinic (2018). Reactive Attachment Disorder.