Apa itu Kecelaruan Personaliti Skizotipal?
Kecelaruan personaliti skizotipal atau dalam bahasa Inggerisnya “schizotypal personality disorder” (STPD) adalah sejenis kecelaruan personaliti eksentrik (aneh). Kelakuan penghidap STPD ini akan kelihatan aneh bagi orang lain.
Walaupun kecelaruan personaliti skizotipal dikelaskan dalam spektrum skizofrenia, namun penghidapnya lazimnya tidak mengalami psikosis.
Penghidap STPD ini umumnya tidak memahami bagaimana hubungan terbina atau impak kelakuan mereka kepada orang lain. Mereka juga menyalah tafsir kelakuan dan motivasi orang lain. Keadaan ini menyebabkan timbulnya rasa tidak percaya yang ketara terhadap orang lain.
Masalah ini membawa kepada keresahan yang teruk dan menyebabkan pesakit mengelak daripada situasi sosial.
Kecelaruan personaliti skizotipal biasanya terbentuk pada usia awal dewasa (belia) dan berkemungkinan berkekalan sepanjang hayat.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom kecelaruan personaliti skizotipal adalah seperti berikut:
- Mempunyai kepercayaan luar biasa atau kepercayaan mistik
- Berpakaian, bercakap atau bertindak secara pelik
- Menjadi paranoid
- Menjadi tidak selesa atau resah dalam situasi sosial
- Mempunyai kawan yang sedikit
- Cenderung untuk salah tafsir realiti atau mempunyai persepsi yang menyimpang
- Sibuk dengan fantasi dan lamunan
- Menjadi kaku dan janggal apabila berhubung dengan orang lain
- Emosi yang mendatar atau tindak balas emosi yang tidak sesuai
Penghidap STPD cenderung untuk hidup berseorangan. Namun begitu, penghidap STPD ini lazimnya tidak mempunyai simptom-simptom psikotik seperti halusinasi, delusi atau hilang sentuhan dengan realiti.
Punca
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan personaliti skizotipal tidak diketahui dengan jelas. Beberapa faktor seperti perubahan fungsi otak, genetik, pengaruh persekitaran dan tingkah laku yang dipelajari mungkin memainkan peranan.
Faktor risiko
STPD cenderung untuk berlaku secara genetik atau keturunan. Anda berisiko untuk mengalami STPD sekiranya terdapat ahli keluarga atau saudara yang menghidap:
- Skizofrenia
- Kecelaruan personaliti skizotipal
- Kecelaruan personaliti yang lain
Faktor persekitaran seperti pengalaman semasa kecil juga boleh memainkan peranan dalam pembentukan kecelaruan ini. Ia termasuklah:
- Didera
- Diabaikan
- Trauma
- Stres
- Mempunyai ibu bapa yang terpisah secara emosi
Diagnosis
Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom STPD, doktor mungkin akan menjalankan pemeriksaan berkenaan sejarah perubatan dan menjalankan pemeriksaan fizikal.
Sekiranya jelas simptom-simptom tersebut tidak melibatkan kecederaan fizikal, doktor mungkin akan mencadangkan kepada anda ahli psikiatri atau ahli psikologi yang sesuai untuk diagnosis dan rawatan lanjut.
Diagnosis bagi kecelaruan personaliti skizotipal biasanya berdasarkan kepada:
- Temu bual berkenaan dengan simptom-simptom yang dialami
- Sejarah perubatan atau peribadi
- Mempunyai kriteria-kriteria diagnosis yang disenaraikan dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5)
Rawatan
Rawatan untuk kecelaruan personaliti skizotipal biasanya melibatkan psikoterapi dan ubat-ubatan.
Psikoterapi
Psikoterapi boleh membantu penghidap STPD ini untuk mula percaya kepada orang lain dan mempelajari kemahiran bertahan dengan membina kepercayaan dengan ahli terapi.
Beberapa bentuk psikoterapi yang boleh membantu adalah:
- Terapi tingkah laku kognitif. Terapi ini akan mengajar pesakit untuk mengenal pasti dan mencabar corak pemikiran negatif, mempelajari kemahiran sosial tertentu, dan mengubah suai tingkah laku yang bermasalah.
- Terapi sokongan. Terapi ini menawarkan dorongan dan memupuk kemahiran penyesuaian.
- Terapi keluarga. Terapi ini melibatkan ahli keluarga yang boleh membantu meningkatkan komunikasi, kepercayaan dan keupayaan untuk bekerja bersama di rumah.
Ubat-ubatan
Tiada ubat yang diluluskan untuk merawat STPD. Tetapi, doktor mungkin akan mempreskripsi ubat antidepresan untuk membantu melegakan simptom-simptom seperti kemurungan dan keresahan.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, penghidap STPD ini terdedah untuk mengalami keresahan atau kemurungan.
Mereka juga cenderung untuk mempunyai kemahiran sosial yang lemah dan kurang hubungan yang bermakna.
Pesakit STPD ini juga berisiko untuk mengalami:
- Kecelaruan personaliti yang lain
- Skizofrenia
- Episod psikotik yang sementara
- Penyalahgunaan bahan terlarang
- Cubaan untuk membunuh diri
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2019). Schizotypal personality disorder. MayoClinic
- Legg, T.J. (2017). Schizotypal Personality Disorder (STPD). Healthline.
- American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association,2013.