Apa itu Kecelaruan Personaliti Menghindar?
Kecelaruan personaliti menghindar atau dalam bahasa Inggerisnya “avoidant personality disorder” (AVPD) adalah salah satu daripada kumpulan kecelaruan personaliti yang ditandakan dengan perasaan takut dan kegemuruhan.
Penghidap kecelaruan personaliti menghindar mempunyai perasaan kekurangan dan sangat sensitif untuk dinilai secara negatif oleh orang lain. Walaupun mereka ingin berinteraksi dengan orang lain, mereka cenderung untuk mengelakkan interaksi sosial kerana ketakutan yang kuat jika ditolak oleh orang lain.
AVPD selalunya berasosiasi dengan kecelaruan mental yang lain seperti kecelaruan keresahan terutamanya kecelaruan keresahan sosial atau turut dikenali sebagai fobia sosial.
Penghidap AVPD ini selalunya menunjukkan sifat yang sangat pemalu dan sensitif terhadap kritikan daripada orang lain.
Simptom-simptom atau Gejala
Penghidap AVPD mungkin akan menunjukkan simptom-simptom atau gejala seperti berikut:
- Kurang keseronokan semasa melakukan aktiviti
- Kebimbangan tentang mengatakan atau melakukan sesuatu perkara yang salah
- Keresahan dalam situasi sosial
- Keperluan untuk disukai ramai
- Mengelakkan konflik
- Mengelakkan hubungan intim atau berkongsi perasaan intim
- Mengelakkan situasi kerana takut ditolak
- Mengelakkan situasi atau acara sosial
- Mudah terluka dengan kritikan atau penolakan
- Mengelakkan daripada membuat keputusan
- Kesedaran diri yang melampau
- Kegagalan untuk memulakan hubungan sosial
- Perasaan kekurangan
- Kurang percaya kepada orang lain
- Perilaku yang penakut dan tegang
- Rasa rendah diri
- Hipersensitiviti kepada penilaian negatif
- Kurang ketegasan
- Salah tafsir situasi neutral sebagai negatif
- Tiada kawan rapat atau kurang rangkaian sosial
- Pengasingan diri
- Perencatan sosial
- Tidak mahu mengambil risiko atau mencuba perkara baru
- Memandang diri sendiri sebagai tidak berkemampuan atau rendah diri dari segi sosial
- Berwaspada terhadap tanda-tanda penolakan dan tidak setuju
Punca atau Penyebab
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan personaliti menghindar tidak diketahui. Tetapi faktor seperti genetik dan persekitaran dipercayai memainkan peranan.
Penderaan emosi, kritikan, ejekan atau kurang kasih sayang atau asuhan oleh ibu bapa atau penjaga pada zaman kanak-kanak boleh mengakibatkan perkembangan kecelaruan personaliti ini jika faktor lain turut hadir.
Bagaimana Kecelaruan Personaliti Menghindar Didiagnosis?
Ahli profesional kesihatan mental akan menjalankan penilaian dan menemu bual pesakit untuk mengetahui sama ada mereka menghidap AVPD atau tidak.
Untuk didiagnosis menghidap AVPD, simptom-simptom yang berlaku mestilah bermula sebelum usia belia atau awal dewasa.
Pesakit juga mestilah menunjukkan sekurang-kurangnya 4 kriteria berikut:
- Menghindari aktiviti kerja yang melibatkan hubungan dengan orang lain. Akibat takut dikritik, ditolak atau tidak setuju
- Tidak mahu terlibat dengan orang lain melainkan pesakit pasti mereka menyukainya
- Menahan diri dalam perhubungan kerana pesakit takut akan diejek atau dihina
- Ketakutan untuk dikritik atau ditolak dalam situasi sosial menguasai pemikiran pesakit
- Pesakit menahan atau mengelak sepenuhnya situasi sosial kerana berasa kekurangan
- Pesakit berfikir bahawa pesakit kurang daripada orang lain, tidak menarik dan tidak cekap
- Pesakit mungkin tidak mengambil bahagian dalam aktiviti baharu atau mengambil risiko peribadi kerana takut akan malu
Rawatan
Merawat kecelaruan personaliti adalah sukar kerana orang yang mengalami kecelaruan ini mempunyai corak pemikiran dan tingkah laku yang berakar umbi yang telah wujud selama bertahun-tahun.
Walau bagaimanapun, orang yang mengalami kecelaruan personaliti menghindar cenderung menjadi calon yang baik untuk rawatan kerana kecelaruan mereka menyebabkan mereka mengalami kesusahan yang ketara dan kebanyakannya ingin membina hubungan.
Psikoterapi adalah rawatan utama bagi kecelaruan personaliti jenis ini. Ubat-ubatan mungkin diberikan sekiranya peakit turut menunjukkan simptom-simptom seperti keresahan.
Psikoterapi
- Terapi psikodinamik: Terapi ini membantu pesakit menyedari pemikiran tidak disedari. Ia boleh membantu pesakit memahami bagaimana pengalaman lalu mempengaruhi tingkah laku semasa pesakit.
- Terapi tingkah laku kognitif: Terapi ini membantu pesakit untuk mengenali dan menggantikan kepercayaan dan proses pemikiran yang tidak sihat. Ahli terapi akan menggalakkan pesakit untuk memeriksa, menguji pemikiran dan kepercayaan untuk melihat sama ada ia mempunyai asas. Ahli terapi juga akan membantu pesakit mengembangkan pemikiran alternatif yang lebih sihat.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan seperti ubat antidepresan atau ubat antikeresahan mungkin diberikan kepada pesakit mengalami keresahan atau kemurungan.
Rujukan
- Cleveland Clinic. (2020). Avoidant Personality Disorder.
- Cuncic, A. (2020). What Is Avoidant Personality Disorder (AVPD)? verywellmind