Kecelaruan panik adalah keadaan di mana seseorang itu mengalami serangan panik yang berulang-ulang, tanpa dijangka dan menyebabkan mereka sentiasa berasa dalam takut. Seseorang itu juga mungkin mengalami simptom-simptom fizikal seperti denyutan jantung yang laju, sukar bernafas atau berpeluh.
Serangan panik ini boleh berlaku bila-bila masa. Ini menyebabkan mereka yang menghidap kecelaruan panik sentiasa bimbang akan kemungkinan mengalami serangan panik.
Penghidap kecelaruan panik mungkin berasa kecewa atau berasa malu kerana tidak boleh menjalani rutin harian yang normal seperti orang lain.
Kecelaruan panik selalunya berlaku semasa lewat remaja atau pada awal usia dewasa. Wanita lebih cenderung untuk mengalami kecelaruan panik berbanding lelaki. Apa yang pastinya adalah tidak semua yang pernah mengalami serangan panik akan membentuk kecelaruan panik.
Pesakit kecelaruan panik mungkin turut menghidap penyakit lain seperti OCD, fobia sosial, asma, COPD, tekanan darah tinggi (hipertensi), sindrom usus rengsa dan mitra valve prolapse.
Wanita mengandung yang mengalami kecelaruan ini juga berkemungkinan untuk melahirkan bayi yang mempunyai berat badan yang ringan.
Simptom-simptom
Mereka yang menghidap kecelaruan panik mungkin akan mengalami simptom-simptom berikut:
- Serangan panik yang tiba-tiba dan berulang-ulang.
- Berasa seperti diluar kawalan atau takut mati atau rasa azab semasa serangan panik.
- Simptom-simptom fizikal semasa serangan panik seperti jantung berdenyut kencang, berpeluh, mengigil, sukar bernafas, rasa lemah atau pening atau sakit dada.
- Kebimbangan yang amat sangat akan serangan panik seterusnya.
- Ketakutan atau mengelak tempat yang pernah berlakunya serangan panik pada masa yang lalu.
Punca
Punca yang menyebabkan kecelaruan panik tidak difahami sepenuhnya.
Tetapi pengkaji mendapati kecelaruan ini mungkin mempunyai kaitan dengan keturunan (genetik).
Terdapat juga beberapa faktor lain yang mungkin turut menyumbang kepada kecelaruan ini. Contohnya seperti:
- Ketidakseimbangan kimia dalam otak
- Persekitaran
- Keadaan buruk ketika zaman kanak-kanak
- Peranan litar saraf
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), beberapa kriteria untuk mendiagnosis kecelaruan panik adalah:
- Serangan panik yang tidak dijangka yang kerap.
- Sekurang-kurangnya satu serangan diikuti oleh satu bulan (atau lebih) kebimbangan atau kerisauan yang berterusan akan serangan panik yang lain atau kesannya serangan tersebut atau perubahan ketara terhadap tingkah laku seperti mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan serangan panik.
- Serangan panik tersebut tidak disebabkan penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah, ubat-ubatan atau masalah kesihatan.
- Serangan panik tersebut tidak disebabkan oleh masalah kesihatan mental yang lain.
Rawatan
Kecelaruan panik umumnya dirawat menggunakan kaedah psikoterapi, ubat-ubatan atau kedua-duanya sekali.
1. Psikoterapi
Psikoterapi yang dipanggil terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah rawatan pertama bagi kecelaruan ini.
CBT akan mendidik pesakit cara berfikir, tabiat dan tindak balas yang berbeza terhadap perasaan yang datang bersama-sama dengan serangan panik.
Serangan tersebut akan mula hilang apabila pesakit belajar cara bertindak balas yang berbeza.
2. Ubat-ubatan
Doktor juga mungkin akan mempreskripsi beberapa jenis ubat untuk membantu merawat kecelaruan ini.
Antara ubat-ubatan yang lazimnya digunakan adalah:
- Benzodiazepines
- Beta-blocker
- Serotonin-norepinephrine reuptake inhibitor (SNRI)
- Selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI)
Ubat-ubat ini mungkin mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala, loya atau sukar untuk tidur. Sila maklumkan kepada doktor sekiranya mengalami kesan sampingan ini.
Komplikasi
Sekiranya kecelaruan panik ini tidak dirawat, ia akan menjejaskan kehidupan harian pesakit. Selain itu, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti berikut:
- Cita-cita ingin membunuh diri
- Kemurungan
- Agorafobia
- Perkembangan remaja atau kanak-kanak terbantut
- Peningkatan penyalahgunaan dadah
- Ketagihan alkohol
Rujukan
- NIMH.(2016). Panic Disorder: When Fear Overwhelms.
- Cackovic C, Nazir S, Marwaha R. Panic Disorder. [Updated 2021 Jul 10]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK430973/