Kecelaruan makan gelojoh atau gangguan makan gelojoh adalah salah satu kecelaruan makan yang menyebabkan penghidapnya makan terlalu banyak pada satu tempoh masa yang singkat dan tidak mampu untuk mengawal berapa banyak makanan yang dimakannya.
Kecelaruan makan gelojoh (KMG) atau binge eating disorder ini menjejaskan kira-kira 2% penduduk dunia dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang lain seperti obesiti, diabetes atau kolesterol tinggi.
Kecelaruan makan gelojoh ini bukanlah semata-mata melibatkan makan gelojoh atau makanan sahaja. Sebenarnya, kecelaruan makan jenis ini terbentuk semasa seseorang itu menangani isu yang lebih mendalam atau keadaan psikologi lain, seperti kebimbangan atau kemurungan.
Kecelaruan makan gelojoh boleh berlaku kepada orang yang mempunyai berat badan purata, tetapi ia lebih lazim berlaku kepada mereka yang menghidap obesiti terutamanya obesiti yang teruk.
Orang-orang muda atau di pertengahan usia adalah golongan yang paling lazim mengalami kecelaruan makan gelojoh.
Kecelaruan makan ini juga turut lazim berlaku dalam kalangan penghidap penyakit diabetes jenis 1 dan 2.
Simptom-simptom atau Gejala
Penghidap kecelaruan makan gelojoh selalunya makan secara gelojoh pada masa singkat. Walaupun mereka tidak lapar.
Pesakit mungkin berasa lega semasa makan tersebut tetapi mungkin berasa malu atau hilang kawalan selepas itu.
Antara simptom-simptom kecelaruan makan gelojoh adalah:
- Makan terlalu banyak secara laju daripada biasa
- Makan sehingga terlalu kenyang
- Makan terlalu banyak walaupun tidak lapar
- Makan bersendirian akibat rasa malu
- Rasa bersalah atau meluat terhadap diri sendiri
Penghidap KMG selalunya akan berasa sangat tidak gembira dan tertekan dengan keadaan mereka yang terlebih makan, tertekan dengan bentuk badan dan berat mereka.
Punca
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan KMG ini iaitu:
- Genetik – Penghidap KMG sensitif kepada hormon dopamin.
- Jantina – Wanita lebih lazim menghidap KMG berbanding lelaki.
- Perubahan pada otak – Penghidap KMG mungkin mengalami perubahan pada struktur otak yang menyebabkan mereka kurang kawalan diri dan tindak balas yang tinggi terhadap makanan.
- Trauma emosi – Penderaan, kematian, berpisah dengan ahli keluarga atau dibuli boleh menyebabkan KMG.
- Masalah psikologi – Majoriti penghidap KMG turut mengalami masalah psikologi yang lain seperti fobia, kemurungan, PTSD, kecelaruan bipolar, keresahan atau penyalahgunaan bahan terlarang.
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), beberapa kriteria dalam mendiagnosis KMG adalah:
- Episod makan gelojoh yang berulang-ulang
- Episod makan gelojoh yang berkait dengan 3 atau lebih keadaan berikut:
- Makan banyak lebih laju daripada biasa
- Makan sehingga berasa terlalu kenyang
- Makan banyak walaupun tidak lapar
- Makan seorang diri kerana malu
- Rasa meluat terhadap diri sendiri, kemurungan atau rasa bersalah selepas itu
- Wujud tanda tertekan berkenaan dengan makan gelojoh
- Makan gelojoh berlaku secara purata sekurang-kurangnya sekali seminggu selama 3 bulan
- Tidak mengambil langkah untuk ‘mengundurkan’ kegelojohan. Berbeza dengan bulimia nervosa, penghidap KMG tidak memuntahkan makanan yang dimakan, tidak mengambil laksatif atau bersenam berlebihan untuk mengatasi episod makan gelojoh.
Rawatan
Rawatan kepada kecelaruan makan gelojoh bermatlamat untuk mengurangkan kegolojohan makan dan mencapai tabiat makan yang sihat.
Rawatan juga turut memfokuskan kepada rawatan terhadap isu-isu berkaitan kesihatan mental seperti keresahan dan kemurungan.
Psikoterapi
Psikoterapi adalah kaedah rawatan yang akan mengajar pesakit mengubah cara makan yang tidak sihat kepada cara makan yang sihat seterusnya mengurangkan episod makan gelojoh.
Terdapat beberapa contoh psikoterapi yang boleh digunakan dalam merawat kecelaruan makan ini, antaranya adalah:
- Terapi kognitif tingkah laku (CBT). CBT membantu pesakit untuk lebih baik dalam menghadapi isu-isu yang boleh mencetuskan episod KMG.
- Psikoterapi interpersonal. Terapi ini memfokuskan kepada hubungan pesakit dengan orang lain. Matlamatnya untuk meningkatkan kemahiran interpersonal.
- Terapi tingkah laku dialektik. Terapi jenis ini boleh membantu kemahiran tingkah laku untuk membantu bertolak ansur dengan tekanan, mengawal selia emosi dan menambah baik hubungan dengan lain.
Ubat-ubatan
Ubat yang diluluskan oleh U.S. Food and Drug Administration (FDA) untuk merawat kecelaruan makan gelojoh adalah Lisdexamfetamine dimesylate (Vyvanse). Ubat ini juga digunakan untuk merawat gangguan kurang tumpuan atau hiperaktiviti (ADHD).
Selain itu, ubat-ubatan seperti topiramate dan antidepresan juga boleh mengurangkan simptom-simptom kecelaruan ini.
Kebanyakan ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan seperti mulut kering, insomnia, pening atau sukar untuk memberi tumpuan. Oleh itu, berundinglah dengan doktor atau ahli profesional kesihatan mental sebelum mengambilnya.
Rujukan
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. (2021). Binge Eating Disorder.
- Mayo Clinic Staff. (2018). Binge-eating disorder. MayoClinic
- Legg, T.J. (2019). Binge Eating Disorder: Symptoms, Causes and Asking for Help. Healthline.