Kecelaruan keresahan perpisahan atau dalam bahasa Inggerisnya separation anxiety disorder (SAD) adalah kecelaruan keresahan yang lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Kecelaruan keresahan perpisahan ini adalah keadaan dimana kanak-kanak menjadi takut atau resah apabila berjauhan dari rumah atau daripada ibu bapa atau penjaga mereka.
Adalah normal bagi kanak-kanak yang berusia 8 hingga 14 bulan untuk mempunyai keresahan perpisahan. Kebiasaannya, kanak-kanak tersebut akan mengatasi keresahan perpisahan pada usia kira-kira 3 tahun.
Namun, terdapat segelintir kanak-kanak yang mengalami keresahan perpisahan yang kuat dan berpanjangan sehinggakan menjejaskan persekolahan atau aktiviti harian. Golongan kanak-kanak ini mungkin mempunyai kecelaruan keresahan perpisahan.
Kecelaruan keresahan perpisahan boleh menjadi gerbang kepada kecelaruan keresahan yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental. Ini termasuklah kebimbangan yang berlebihan, masalah tidur, prestasi akademik yang merosot dan aduan somatik.
Kecelaruan jenis ini juga boleh berlaku kepada remaja atau orang dewasa sehingga mendatangkan masalah ke tempat kerja atau meninggalkan rumah.
Berbeza dengan kanak-kanak, orang dewasa akan mengalami keresahan apabila berpisah daripada anak, pasangan atau kekasih mereka.
Simptom-simptom
Gejala atau simptom-simptom kecelaruan keresahan perpisahan berbeza-beza antara kanak-kanak dan orang dewasa. Ia boleh dipengaruhi oleh perbezaan antara persekitaran atau aktiviti.
Untuk seseorang itu dianggap menghidap kecelaruan ini, simptom-simptom yang dialami mestilah benar-benar teruk dan menjejaskan aktiviti harian.
Antara simptom-simptom yang boleh diperhatikan adalah:
- Berasa cemas atau keresahan dalam menjangkakan penjaga atau individu yang rapat dengannya akan beredar
- Rasa bimbang yang berlebihan akan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada penjaga atau individu yang rapat dengannya
- Takut diculik atau sesat
- Takut berjauhan dengan penjaganya seperti ke sekolah atau tidur berasingan
- Takut bersendirian di rumah
- Mengelak daripada duduk berseorangan
- Enggan ke sekolah
- Kencing malam
- Mimpi ngeri
- Tidak dapat memberikan tumpuan
- Prestasi akademik yang teruk
- Interaksi sosial yang tidak baik
- Sering mengadu sakit kepala, sakti perut, loya, muntah-muntah, sakit dada atau simptom-simptom yang berkaitan dengan badan yang lain
Punca
Kecelaruan keresahan perpisahan boleh diakibatkan oleh tekanan hidup yang berpunca daripada perpisahan dengan orang yang tersayang. Genetik juga mungkin memainkan peranan.
Faktor Risiko
Walaupun kecelaruan jenis ini lazimnya berlaku kepada kanak-kanak, tetapi ia tidak mustahil untuk berlanjutan sehingga usia remaja atau dewasa.
Terdapat juga beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan kecelaruan ini. Antaranya:
- Tekanan hidup atau kehilangan yang menyebabkan perpisahan. Seperti kematian orang yang tersayang, perceraian ibu bapa.
- Pembawaan atau perangai.
- Keturunan. Termasuk saudara mara yang mempunyai masalah keresahan atau kecelaruan keresahan.
- Persekitaran. Pernah mengalami bencana yang menyebabkan perpisahan.
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) untuk seseorang itu didiagnosis menghidap kecelaruan keresahan perpisahan beberapa kriteria yang perlu dinilai adalah:
- Membentuk ketakutan atau keresahan yang berlebihan atau tidak wajar yang berkaitan dengan perpisahan dengan individu yang rapat dengannya. Menunjukkan sekurang-kurangnya 3 simptom yang dinyatakan di atas (simptom-simptom).
- Ketakutan, keresahan atau pengelakan berterusan sekurang-kurangnya 4 minggu bagi kanak-kanak dan remaja serta 6 bulan atau lebih bagi orang dewasa.
- Gangguan tersebut menyebabkan tekanan atau kemerosotan yang signifikan secara klinikal dalam bidang sosial, akademik, pekerjaan, atau bidang fungsi penting lain.
- Gangguan ini tidak disebabkan oleh kecelaruan mental yang lain.
Rawatan
Rawatan untuk kecelaruan ini bergantung kepada keterukan simptom-simptom yang dialami.
Bagi kes-kes yang ringan, pendidikan, sokongan, dan galakkan kepada pesakit dan ibu bapa mencukupi untuk pesakit kembali kepada aktiviti normal.
Bagi kes sederhana atau teruk, rawatan menggunakan psikoterapi atau ubat-ubatan mungkin diperlukan.
1. Psikoterapi
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah rawatan pertama bagi kecelaruan keresahan ini. Semasa terapi ini pesakit akan diajar untuk berhadapan dan menguruskan ketakutan tentang perpisahan atau ketidakpastian.
Ibu bapa pula boleh belajar untuk menyediakan sokongan emosi atau galakkan yang sesuai dan berkesan.
2. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang terdiri daripada selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) biasanya akan dipreskripsi sekurang-kurangnya selama 6 bulan sebelum beransur-ansur dihentikan.
Gabungan kaedah rawatan menggunakan menggunakan terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan pengambilan SSRI adalah kaedah paling berkesan untuk mengurangkan simptom-simptom keresahan.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, kecelaruan keresahan perpisahan ini boleh mengakibatkan tekanan dan masalah untuk berfungsi dalam situasi sosial atau di tempat kerja atau di sekolah.
Gangguan atau kecelaruan lain yang mungkin turut berlaku bersama-sama kecelaruan keresahan ini adalah:
- Kemurungan
- Kecelaruan obsesif-kompulsif
- Kecelaruan keresahan yang lain seperti kecelaruan panik, kecelaruan keresahan menyeluruh, fobia, agorafobia atau kecelaruan keresahan sosial.
Rujukan
- Feriante J, Bernstein B. Separation Anxiety. [Updated 2021 Jul 26]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK560793/
- Mayo Clinic Staff. (2021). Separation anxiety disorder. MayoClinic.
- American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical. Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association. 2013.