Kecelaruan keresahan menyeluruh atau generalized anxiety disorder (GAD) ialah sejenis kecelaruan keresahan yang boleh dirawat. Cara untuk merawat kecelaruan keresahan menyeluruh ini biasanya melibatkan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.

Kecelaruan keresahan menyeluruh ini boleh terjadi tidak kira sama ada individu tersebut adalah kanak-kanak atau orang dewasa.

Beberapa simptom atau ciri-ciri mereka yang mengalami kecelaruan keresahan menyeluruh (GAD) adalah seperti:

  • sukar untuk memberi tumpuan, minda menjadi kosong
  • beranggapan sesuatu situasi atau peristiwa sebagai satu ancaman
  • sukar untuk menguruskan ketidaktentuan
  • sukar untuk bertenang atau rasa bertenang
  • takut untuk membuat keputusan yang salah
  • kerisauan yang berpanjangan mengenai perkara yang tidak memberi impak kepada sesuatu peristiwa
  • terlebih berfikir mengenai perancangan dan penyelesaian bagi sesuatu perkara atau perancangan sekiranya berlaku senario yang tidak diingini
Kanak-kanak: Kecelaruan keresahan menyeluruh (GAD)

Kecelaruan keresahan menyeluruh ini turut akan memberi kesan kepada fizikal mereka yang mengalaminya. Kesan ini boleh dilihat melalui tanda-tanda atau simptom-simptom berikut:

  • sukar untuk tidur
  • rasa tidak bermaya dan keletihan
  • kekejangan atau ketegangan otot
  • berpeluh
  • mengigil atay berasa resah
  • rasa gementar dan mudah terkejut
  • rasa loya, cirit-birit atau mengalami sindrom usus rengsa
  • denyutan jantung menjadi laju

Bagaimana Membezakan Kecelaruan Keresahan Menyeluruh dengan Masalah Mental yang Lain?

Keresahan adalah masalah kesihatan mental yang sering berlaku sepertimana kemurungan dan fobia.

Kecelaruan keresahan menyeluruh (GAD) mempunyai sedikit perbezaan daripada kemurungan atau fobia. Lazimnya, mereka yang mengalami kemurungan akan merasa resah sekali sekala dan mereka yang mengalami fobia hanya risau akan sesuatu perkara sahaja.

Tetapi, mereka yang mengalami GAD ini akan risau akan beberapa perkara yang berlainan pada satu jangka masa yang lama iaitu kira-kira 6 bulan atau lebih. Selain itu, mereka juga mungkin tidak tahu atau tidak dapat mengenal pasti punca kebimbangan mereka.

Punca dan Risiko yang Menyumbang Kepada Kecelaruan Keresahan Menyeluruh

Beberapa punca atau faktor risiko yang menyebabkan terjadinya kecelaruan keresahan menyeluruh adalah seperti:

  • Faktor genetik atau keturunan (ada ahli keluarga yang pernah mengalami keresahan)
  • Terdedah kepada keadaan yang memberikan tekanan terlalu lama
  • Pengambilan kafein dan tembakau yang berlebihan
  • Penderaan kanak-kanak
  • Perbezaan dari segi fungsi dan kimia otak
  • Pernah mengalami situasi yang menyebabkan trauma

Ujian atau Diagnosa

Untuk tujuan ujian atau diagnosa, doktor atau pakar kesihatan mental mungkin akan melakukan perkara-perkara berikut:

  • Pemeriksaan fizikal untuk melihat tanda-tanda keresahan yang mungkin berkaitan dengan ubat-ubatan atau masalah kesihatan yang lain
  • Ujian darah atau air kencing sekiranya doktor merasakan masalah yang dialami berkaitan dengan penyakit atau masalah kesihatan
  • Menggunakan soal selidik untuk membantu diagnosa
  • Soal selidik mengenai sejarah perubatan atau simptom-simptom yang dialami

Keresahan atau kebimbangan boleh juga disebabkan oleh faktor kesihatan seperti:

  • penyakit jantung
  • menopaus
  • penyakit tiroid
  • penyakit refluks gastroesofagus (GERD)

Rawatan Kecelaruan Keresahan Menyeluruh

Terdapat beberapa kaedah rawatan bagi masalah kesihatan mental ini yang merangkumi ubat-ubatan, psikoterapi dan perubahan gaya hidup atau rawatan dirumah.

1. Ubat-ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang mungkin dipreskripsi oleh doktor kepada pesakit berdasarkan simptom-simptom yang didiagnosa. Antaranya adalah:

  • selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs)
  • serotonin-norepinephrine reuptake inhibitors (SNRIs)
  • buspirone
  • benzodiazepines
  • tricyclic antidepressants
  • monoamine oxidase inhibitors
  • atypical antipsychotic medications

2. Psikoterapi

Psikoterapi ialah rawatan yang melibatkan sesi kaunseling psikologi bersama-sama ahli terapi, ahli psikologi atau kaunselor. Kaedah ini adalah antara kaedah yang berkesan untuk mengurangkan simptom-simptom keresahan (anxiety).

Terapi Tingkah Laku Kognitif

Terapi tingkah laku kognitif (cognitive behavioral therapy) adalah antara rawatan paling berkesan bagi masalah kecelaruan keresahan ini.

Terapi ini menyasarkan kepada simptom-simptom yang memberi kesan kepada fizikal, kognitif dan tingkah laku pesakit. Tujuan terapi ini adalah untuk mengurangkan keresahan dan kebimbangan, tekanan dan menenangkan sistem saraf.

Terapi ini mempunyai beberapa sesi dan bergantung kepada keterukan simptom yang dialami.

Biasanya kaedah ini memerlukan pesakit berjumpa dengan ahli terapi tetapi kajian terkini melaporkan bahawa kaedah rawatan melalui medium internet juga boleh membantu [1].

Terapi Penerimaan dan Komitmen

Terapi jenis ini merawat pesakit agar belajar menerima pemikiran mereka tanpa mengubah atau mengurangkannya.

Kaedah rawatan ini juga membantu pesakit agar memberi tumpuan terhadap situasi semasa dan persekitaran semasa. Kaedah ini turut mengajar pesakit untuk mengambil tindakan berdasarkan penilaian mereka tanpa dipengaruhi oleh keresahan.

3. Rawatan Dirumah & Perubahan Gaya Hidup

Selain rawatan menggunakan kaedah psikoterapi dan ubat-ubatan, kecelaruan keresahan menyeluruh juga boleh mendatangkan kesan positif terhadap pesakit.

Antara rawatan dirumah atau perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan adalah:

i) Minyak pati

Sesetengah minyak pati boleh membantu kecelaruan keresahan. Kajian menunjukkan minyak pati lavender mempunyai kesan antikeresahan dan antidepresi [2].

ii) Kekal aktif

Jadikan aktiviti fizikal sebagai satu rutin harian. Senaman adalah satu kaedah yang berkesan untuk mengurangkan tekanan dan menyihatkan.

iii) Dapatkan tidur yang mencukupi

Tidur yang cukup juga penting untuk kesihatan tubuh badan dan juga emosi. Tidak cukup tidur boleh mencetuskan keresahan atau kebimbangan dan membuatkan pesakit lebih sensitif kepada perkara yang mendatangkan tekanan.

iv) Gunakan teknik santaian

Membaca buku, mendengar muzik, mendengar bacaan al-Quran, membaca al-Quran dan berzikir adalah beberapa teknik santaian yang boleh menenangkan diri dan mengurangkan keresahan.

v) Jauhi barang terlarang

Arak, dadah atau ganja adalah bahan-bahan yang boleh membuat keresahan atau kebimbangan bertambah teruk.

vi) Berhenti merokok dan minuman berkafein

Kafein dan nikotin adalah dua bahan yang boleh memburukkan lagi keresahan atau kebimbangan.

vii) Makan makanan yang sihat

Makan makanan yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijian penuh dan ikan boleh membantu mengurangkan keresahan [3, 4, 5].

Rumusan

Kecelaruan keresahan menyeluruh (GAD) adalah salah satu masalah kesihatan mental yang sering terjadi kepada masyarakat kini.

Masalah kesihatan mental ini boleh dirawat dan tidak harus dibiarkan tanpa rawatan. Berdasarkan simptom-simptom yang dialami kaedah rawatan psikoterapi atau ubat-ubatan boleh membantu mengurangkan kecelaruan keresahan yang berlaku.

Perubahan gaya hidup dan rawatan dirumah juga adalah antara kaedah yang boleh dipraktikkan bagi mengurangkan simptom-simptom keresahan ini.

Rujukan
  1. Olthuis, J. V. et al. (2016). Therapist-supported Internet cognitive behavioural therapy for anxiety disorders in adultsThe Cochrane database of systematic reviews.
  2. Malcolm, B. J., & Tallian, K. (2018). Essential oil of lavender in anxiety disorders: Ready for prime time?The mental health clinician.
  3. Sadeghi, O. et al. (2019). The association of whole and refined grains consumption with psychological disorders among Iranian adultsEuropean journal of nutrition.
  4. Taylor, A. M., & Holscher, H. D. (2020). A review of dietary and microbial connections to depression, anxiety, and stressNutritional neuroscience.
  5. Ramón-Arbués, E. et al. (2019). [Eating behavior and relationships with stress, anxiety, depression and insomnia in university students.]. Nutricion hospitalaria.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder)

Keresahan adalah sifat semulajadi manusia apabila ingin membuat keputusan yang penting, mengambil…

Kemurungan (Depresi): Ketahui Punca, Gejala dan Rawatan

Kemurungan atau kecelaruan episod kemurungan major atau kemurungan klinikal adalah kecelaruan mental…

Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)

Kecelaruan Obsesif Kompulsif atau lebih dikenali sebagai OCD ialah penyakit mental yang…

Fobia Sosial (Kecelaruan Keresahan Sosial)

Fobia sosial atau turut dikenali sebagai Kecelaruan Keresahan Sosial adalah perasaan gerun…