Jenis-jenis

Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Keresahan adalah sifat semulajadi manusia apabila ingin membuat keputusan yang penting, mengambil ujian atau menghadapi masalah di tempat kerja. Keresahan yang berlaku sekali sekala itu adalah normal. Tetapi kecelaruan keresahan adalah berbeza, ia melibatkan kerisauan atau ketakutan yang lebih lama dan berterusan.

Akibatnya, kecelaruan keresahan ini akan menganggu aktiviti harian, prestasi kerja, perhubungan dan persekolahan bagi mereka yang mengalaminya.

kecelaruan keresahan

Jenis-jenis Kecelaruan Keresahan

Terdapat beberapa jenis kecelaruan keresahan. Contohnya adalah seperti berikut:

1. Kecelaruan keresahan menyeluruh

Mereka yang mengalami kecelaruan keresahan menyeluruh akan mengalami keresahan dan kebimbangan yang berlebihan walaupun dengan sebab yang kecil atau tanpa sebab.

2. Kecelaruan panik

Anda mengalami rasa takut secara tiba-tiba dan membawa kepada serangan panik. Serangan panik ini adalah rasa takut yang amat sangat dan memuncak hanya dalam beberapa minit. Serangan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau disebabkan oleh perasaan takut terhadap sesuatu objek atau situasi.

3. Agorafobia

Agorafobia adalah kecelaruan yang membuatkan seseorang itu takut yang amat sangat terhadap tempat-tempat luas atau tempat lapang. Golongan ini juga boleh mengalami rasa takut untuk menggunakan pengangkutan awam, berada diluar rumah seorang diri, berada di ruang yang tertutup atau berada dalam kesesakan orang ramai.

4. Fobia sosial

Fobia sosial melibatkan rasa resah, takut dan cuba untuk mengelak daripada bersosial akibat rasa malu, kurang keyakinan diri atau takut untuk dinilai atau dipandang negatif oleh orang lain.

5. Keresahan pemisahan

Keresahan pemisahan ini sering kali dikaitkan dengan kanak-kanak apabila terpisah daripada ibu bapa atau penjaga mereka. Namun begitu, orang dewasa juga boleh mengalami keresahan jenis ini. Mereka akan berasa takut untuk berpisah daripada pasangan atau individu yang rapat dengannya. Mereka juga sering kali bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa individu yang rapat dengan mereka.

6. Fobia spesifik

Fobia jenis ini melibatkan rasa takut yang amat sangat terhadap sesuatu objek atau situasi.Contohnya seperti fobia terhadap ketinggian, fobia terhadap darah dan fobia terhadap terhadap haiwan tertentu seperti ular atau lipas.

Tanda atau Gejala Kecelaruan Keresahan

Secara umumnya, gejala atau tanda keresahan termasuklah:

  • Rasa berdebar
  • Rasa tegang
  • Mempunyai rasa bahawa bahaya akan berlaku
  • Panik
  • Degupan jantung menjadi laju
  • Berpeluh
  • Menggeletar
  • Nafas menjadi laju
  • Sukar untuk tidur
  • Rasa lemah dan letih
  • Sukar untuk memberi tumpuan
  • Sukar untuk mengawal kebimbangan
  • Sentiasa ingin mengelakkan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kegelisahan
  • Mengalami masalah perut

Bagaimana Kecelaruan Keresahan Boleh Berlaku?

Secara umumnya, terdapat beberapa penyebab yang menyumbang kepada kecelaruan keresahan. Antaranya:

  • Faktor genetik. Kecelaruan ini boleh diwarisi dalam keluarga yang tersedia mempunyai masalah ini.
  • Tekanan persekitaran. Kehidupan yang menekan, penderaan, dibuli dan jenayah antara peristiwa yang boleh memberi tekanan dan membawa kepada keresahan.
  • Penyalahgunaan dadah.
  • Masalah kesihatan. Masalah kesihatan yang melibatkan jantung, paru-paru dan tiriod boleh menyebabkan gejala sama seperti gejala keresahan ini.

Selain itu, terdapat juga risiko-risiko lain yang boleh menjadi punca terbentuknya kecelaruan keresahan. Sesetengah faktor risiko ini boleh diatasi dan sesetengahnya tidak.

Antara faktor risiko yang menyumbang termasuklah:

  • Mempunyai sejarah masalah kesihatan mental. Kemurungan antara masalah kesihatan mental yang boleh meningkatkan risiko terjadinya kecelaruan keresahan.
  • Penderaan ketika kanak-kanak. Penderaan atau pencabulan ketika kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga atau orang terdekat akan mengganggu emosi dan fizikal mangsa seterusnya menyebabkan terjadinya kecelaruan ini.
  • Trauma. Trauma boleh menyebabkan serangan panik.
  • Pengalaman pahit dalam hidup. Pengalaman pahit dalam hidup atau kehilangan orang tersayang boleh menyebabkan keresahan.
  • Masalah kesihatan yang kronik. Sering bimbang akan kesihatan diri atau kesihatan orang yang tersayang meningkatkan risiko terjadinya keresahan yang melampau ini.
  • Kurang keyakinan diri. Kurang keyakinan diri menyebabkan seseorang itu menjauhi masyarakat seterusnya menyebabkan kecelaruan keresahan sosial.
  • Sifat malu sejak dari kanak-kanak. Perasaan malu sejak dari kecil boleh menyebabkan keresahan sosial bagi golongan remaja atau dewasa.

Terapi dan Rawatan

Kecelaruan keresahan mempunyai banyak pilihan rawatan. Mereka yang mengalami kecelaruan ini harus tampil kehadapan untuk mendapatkan rawatan. Mereka boleh berbincang dengan doktor mereka untuk memilih rawatan yang sesuai.

Rawatan terbahagi kepada dua iaitu melalui psikoterapi atau ubat atau kedua-duanya sekali.

Psikoterapi

Psikoterapi turut juga dikenali sebagai kaunseling psikologi atau terapi perbualan. Terapi ini melibatkan perbualan dengan ahli terapi mengenai keresahan yang dialami. Untuk lebih berkesan, terapi ini harus terus menumpu khusus kepada jenis keresahan yang dihadapi dan disesuaikan dengan keperluan pesakit.

Terapi tingkahlaku kognitif adalah antara psikoterapi yang berkesan untuk kecelaruan keresahan. Rawatan jenis ini akan menumpukan pengajaran kepada kemahiran tertentu yang boleh diaplikasikan untuk mengatasi simptom keresahan yang dialami.

Terapi tingkahlaku kognitif ini juga digunakan untuk membantu seseorang itu untuk belajar dan mengamalkan kemahiran sosial. Terapi ini juga turut melibatkan terapi pendedahan di mana seseorang itu didedahkan dengan objek atau situasi yang menyebabkan keresahan kepadanya.

Terapi ini menumpukan cara untuk melawan atau mengatasi rasa takut yang menyelubungi penghidap kecelaruan keresahan agar mereka boleh kembali melakukan aktiviti yang mereka hindari.

Rawatan perubatan

Ubat-ubatan tidak mampu untuk menyembuhkan kecelaruan keresahan tetapi boleh melegakan simptom-simptom keresahan ini. Ubat-ubatan ini akan dipreskripsi oleh doktor atau pakar psikiatri.

Ubat antikeresahan

Ubat antikeresahan digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom keresahan, serangan panik atau ketakutan yang melampau. Antara ubat yang biasa digunakan ialah benzodiazepines.

Ubat antidepresan

Sesetengah ubat kemurungan boleh juga digunakan untuk merawat keresahan. Ubat kemurungan mengambil masa sebelum dapat dilihat keberkesanannya. Oleh itu, jika anda mengambil ubat ini, dapatkan nasihat daripada doktor sebelum berhenti menggunakannnya.

Doktor juga akan membantu anda mengurangkan dos dan berhenti dengan selamat. Berhenti menggunakan ubat antidepresan ini secara tiba-tiba boleh menyebabkan simptom-simptom penarikan (withdrawal symptoms).

Simptom-simptom penarikan adalah perubahan fizikal atau psikologi akibat pemberhentian penggunaan ubat tertentu secara tiba-tiba. Contohnya seperti berpeluh, muntah, keresahan, insomnia dan sakit otot.

Antara agen antidepresan yang biasa digunakan adalah perencat pengambilan semula serotonin selektif (SSRl) dan perencat pengambilan semula serotonin dan noradrenalina (SNRI).

Beta-blockers

Beta-blockers adalah ubat darah tinggi yang turut boleh membantu mengurangkan simptom-simptom keresahan seperti degupan jantung laju, mengeletar atau mengigil.

Rujukan
  • The National Institute of Mental Health. 2018. Anxiety Disorders. [diakses pada 23 Julai 2020].
  • Hansa D. Bhargava. 2020. Anxiety Disorders. [diakses pada 24 Julai 2020].
  • Mayo Clinic Staff. 2018. Anxiety disorders. [diakses pada 24 Julai 2020].
  • Craske, M. G., & Stein, M. B. (2016). AnxietyLancet (London, England)388(10063), 3048–3059. [diakses pada 24 Julai 2020].