Apakah Kecelaruan Jati Diri?
Kecelaruan jati diri atau turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti kecelaruan identiti disosiatif, dissociative identity disorder (DID), multiple personality disorder atau split personality disorder adalah kecelaruan mental yang menyebabkan penghidapnya mempunyai 2 atau lebih personaliti berbeza.
Personaliti-personaliti ini akan mengawal kelakuan mereka pada masa yang berbeza-beza. Setiap personaliti ini mempunyai sejarah tersendiri, sifat, apa yang disukai dan apa yang dibenci.
Kecelaruan jati diri adalah salah satu daripada beberapa kecelaruan disosiatif. Kecelaruan jenis ini memberi kesan terhadap keupayaan seseorang itu untuk berhubung dengan realiti.
Dianggarkan kira-kira 1% hingga 1.5% populasi dunia menghidap kecelaruan jati diri atau DID ini. Pesakit mungkin menghabiskan masa selama 5 hingga 12 tahun dalam rawatan sebelum didiagnosis dengan DID.
Simptom-simptom atau Gejala
Seseorang yang menghidap kecelaruan ini mempunyai 2 atau lebih identiti yang berbeza. Identiti “teras” individu tersebut adalah personaliti biasanya. Penghidap kecelaruan ini boleh mempunyai sehingga 10 personaliti berbeza.
Personaliti-personaliti ini boleh mempunyai jantina, etnik, minat dan cara berinteraksi dengan persekitaran yang berbeza-beza.
Selain itu, beberapa simptom-simptom atau gejala yang mungkin ditunjukkan oleh penghidap DID ini adalah:
- Delusi
- Keresahan
- Kemurungan
- Hilang ingatan
- Disorientasi
- Penyalahgunaan dadah dan alkohol
- Berfikir untuk membunuh diri atau ingin mencederakan diri
Punca yang Menyebabkan Kecelaruan Jati Diri
Lazimnya, kecelaruan jati diri berpunca daripada penderaan fizikal dan seksual semasa zaman kanak-kanak.
Kadang-kadang kecelaruan ini terbentuk hasil daripada tindak balas terhadap bencana alam atau peristiwa yang menyebabkan trauma seperti peperangan.
Diagnosis
Diagnosis biasanya melibatkan penilaian simptom dan menolak sebarang keadaan perubatan yang boleh menyebabkan gejala. Ujian dan diagnosis selalunya melibatkan rujukan kepada ahli profesional kesihatan mental untuk menentukan diagnosis pesakit.
Penilaian mungkin melibatkan:
- Pemeriksaan fizikal.
- Pemeriksaan psikiatri.
- Kriteria diagnostik berdasarkan DSM-5.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), kriteria-kriteria diagnostik adalah seperti berikut:
- Pesakit mengalami gangguan identiti yang dicirikan oleh dua atau lebih keadaan personaliti berbeza yang boleh digambarkan dalam sesetengah budaya sebagai kerasukan.
- Pesakit mempunyai jurang yang berulang-ulang dalam ingatan untuk peristiwa harian, kemahiran, maklumat peribadi penting dan peristiwa traumatik yang terlalu luas untuk dijelaskan oleh sifat pelupa biasa.
- Simptom-simptom bukan sebahagian daripada amalan budaya atau agama yang diterima secara meluas.
- Simptom-simptom bukan disebabkan oleh alkohol, ubat atau keadaan perubatan. Bagi kanak-kanak, simptom-simptom bukan disebabkan oleh khayalan atau permainan fantasi lain.
- Simptom atau gejala menyebabkan tekanan atau masalah yang ketara dalam perhubungan, kerja atau bidang penting lain dalam hidup pesakit.
Bagaimana untuk Merawat Kecelaruan Jati Diri?
Kecelaruan jati diri atau DID boleh dirawat melalui kaedah psikoterapi, hipnosis dan ubat-ubatan. Rawatan kepada kecelaruan ini melibatkan 3 fasa iaitu:
- Fasa pertama: Memberikan tumpuan kepada keselamatan pesakit kerana ramai pesakit yang hadir dengan idea untuk membunuh diri dan tingkah laku yang boleh mencederakan diri sendiri. Adalah penting untuk mengurangkan risiko tersebut.
- Fasa kedua: Memberikan tumpuan kepada memori traumatik termasuk bertolak-ansur, memproses dan mengintegrasikan trauma masa lalu.
- Fasa ketiga: Memberikan tumpuan kepada hubungan pesakit dengan diri secara keseluruhanya dan dengan seluruh dunia.
Psikoterapi
Pendekatan psikoterapi yang terkini adalah melibatkan terapi tingkah laku kognitif berfokuskan trauma dan terapi tingkah laku dialektik (DBT).
Matlamat rawatan ini adalah untuk membantu “menyatukan” ciri-ciri personaliti yang berasingan menjadi satu personaliti yang boleh dikawal.
Hipnoterapi
Hipnoterapi adalah kaedah rawatan yang menggunakan hipnosis. Hipnosis klinikal digunakan untuk membantu mengakses ingatan yang tertahan, mengawal beberapa tingkah laku bermasalah yang mengiringi DID serta membantu menyepadukan personaliti menjadi satu.
Terdapat beberapa kajian seawal 2009 yang telah menunjukkan keberkesanan dalam penggunaan hipnosis untuk merawat DID.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan bukanlah rawatan utama kepada DID tetapi ubat-ubatan diberikan untuk mengurangkan simptom-simptom yang mungkin berkait dengan DID.
Ubat-ubatan biasanya diberikan kepada pesakit untuk merawat kecelaruan mood dan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD).
Antara ubat-ubatan yang selalunya diberikan adalah ubat antipsikotik, penstabil mood atau perangsang.
Rujukan
- Mitra P, Jain A. Dissociative Identity Disorder. [Updated 2021 May 18]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK568768/
- Cleveland Clinic. (2021). Dissociative Identity Disorder (Multiple Personality Disorder).