Kecelaruan dismorfik tubuh atau dalam bahasa Inggerisnya “body dysmorphic disorder” (BDD) adalah gangguan kesihatan mental yang membuatkan penghidapnya tidak berhenti berfikir mengenai satu atau lebih kecacatan atau kecacatan yang dilihat pada penampilan mereka.
Kecacatan tersebut mungkin kecil atau tidak dapati dilihat oleh orang lain. Tetapi penghidap kecelaruan ini berasa sangat malu dan resah membuatkan mereka ingin menghindari situasi sosial.
Penghidap kecelaruan ini juga bersungguh-sungguh menumpukan pada penampilan dan imej badan, berulang-ulang kali memeriksa cermin, berdandan atau mencari kepastian, kadangkala selama berjam-jam setiap hari.
Sesiapa sahaja tidak mengira umur atau jantina boleh menghidap BDD, tetapi ia paling biasa berlaku kepada remaja dan orang muda atau belia. Menghidap BDD bukan bermakna seseorang itu bermegah diri atau obses terhadap diri sendiri.
Punca yang Menyebabkan Kecelaruan Dismorfik Tubuh
Punca yang menyebabkan kecelaruan ini tidak diketahui dengan khusus. Seperti gangguan mental yang lain, kecelaruan dismorfik tubuh boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti keturunan, keabnormalan pada otak dan penilaian negatif terhadap tubuh badan sendiri.
Faktor risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko terjadinya BDD ini. Antaranya adalah:
- Mempunyai ahli keluarga atau saudara yang mengalami kecelaruan dismorfik tubuh atau kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).
- Pengalaman hidup yang negatif seperti diejek semasa zaman kanak-kanak, pengabaian atau penderaan.
- Ciri-ciri keperibadian tertentu seperti perfeksionisme.
- Tekanan masyarakat atau jangkaan kecantikan.
- Mempunyai gangguan kesihatan mental yang lain seperti keresahan atau kemurungan.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala yang mungkin ditunjukkan oleh penghidap kecelaruan dismorfik tubuh adalah:
- Terlalu bimbang akan bahagian tertentu badan (terutamanya muka).
- Menghabiskan banyak masa membandingkan rupa mereka dengan orang lain.
- Banyak melihat cermin atau mengelak melihat cermin.
- Memicit kulit untuk menjadikannya “licin”.
- Terlalu sibuk dengan kecacatan yang tidak dapat dilihat oleh orang lain atau kelihatan kecil.
- Kepercayaan yang kuat bahawa mereka mempunyai kecacatan dalam penampilan yang menjadikan mereka hodoh atau cacat.
- Percaya bahawa orang lain mengambil perhatian khusus tentang penampilan mereka secara negatif atau mengejek mereka.
- Terlibat dalam tingkah laku yang bertujuan untuk membetulkan atau menyembunyikan kecacatan yang dilihat sukar untuk ditentang atau dikawal. Contohnya seperti kerap memeriksa cermin, berdandan atau memicit kulit.
- Kerap mencari jaminan tentang penampilan mereka daripada orang lain.
Diagnosis
Pakar kesihatan mental akan mendiagnosis BDD berdasarkan simptom dan sejauh mana ia mempengaruhi kehidupan pesakit.
Untuk didiagnosis dengan BDD:
- Pesakit mesti bimbang secara luar biasa tentang kecacatan badan yang kecil atau tidak wujud.
- Fikiran pesakit tentang kecacatan badan mestilah cukup teruk sehingga mengganggu keupayaan mereka untuk hidup secara normal.
- Gangguan kesihatan mental yang lain mesti diketepikan sebagai punca gejala atau simptom.
Terdapat beberapa gangguan kesihatan mental yang lazim berlaku bagi mereka yang menghidap BDD. Contohnya seperti kecelaruan obsesif kompulsif, keresahan sosial, kemurungan dan kecelaruan makan.
Rawatan
Rawatan terhadap kecelaruan dismorfik tubuh biasanya melibatkan gabungan terapi tingkah laku kognitif dan ubat-ubatan.
Terapi Tingkah laku Kognitif (CBT)
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) boleh membantu penghidap BDD mengubah cara berfikir dan bertindak.
Selain itu, terapi ini membantu pesakit untuk:
- Belajar akan perkara yang mencetuskan simptom-simptom dan mengubah cara berfikir atau cara menguruskan tabiat pesakit.
- Mempelajari cara alternatif untuk mengendalikan desakan untuk membantu mengurangkan pemeriksaan cermin atau mencari jaminan orang lain.
- Mencabar pemikiran negatif tentang imej badan pesakit dan mempelajari cara berfikir yang lebih fleksibel.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan biasanya diberikan kepada pesakit untuk merawat gangguan kesihatan mental yang lain seperti kemurungan atau kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).
Antara ubat-ubatan yang didapati berkesan untuk merawat simptom berkaitan dengan BDD adalah:
- Fluoxetine
- Clomipramine
Komplikasi
Komplikasi yang mungkin disebabkan atau dikaitkan dengan kecelaruan dismorfik tubuh termasuklah:
- Kemurungan major atau kecelaruan mood lain.
- Fikiran atau tindakan ingin membunuh diri.
- Kecelaruan keresahan termasuk kecelaruan keresahan sosial (fobia sosial).
- Kecelaruan obsesif kompulsif.
- Kecelaruan makan.
- Penyalahgunaan bahan terlarang.
- Masalah kesihatan daripada tingkah laku seperti memicit kulit.
- Kesakitan fizikal atau risiko kecacatan akibat campur tangan pembedahan yang berulang.
Rujukan
- Nicewicz HR, Boutrouille JF. Body Dysmorphic Disorder. [Updated 2021 Jan 17]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI.
- Mayo Clinic Staff. (2019). Body dysmorphic disorder. MayoClinic.
- NHS. (2020). Body dysmorphic disorder (BDD).