Kecelaruan bahasa atau dalam bahasa Inggerisnya “language disorder” adalah kecelaruan komunikasi yang menjejaskan cara untuk kanak-kanak memahami dan menggunakan bahasa. Kecelaruan ini adalah berbeza daripada kecelaruan percakapan.
Pembelajaran bahasa sememangnya akan mengambil masa. Biasanya, kanak-kanak akan mempunyai keupayaan yang berbeza-beza dari segi berapa cepat mereka dapat menguasai bahasa dan percakapan.
Pada kelazimannya, adalah normal sekiranya kanak-kanak yang sedang membesar mempunyai masalah dengan sesetengah perkataan, ayat atau bunyi semasa mereka belajar. Namun, majoriti kanak-kanak boleh menggunakan bahasa dengan muda pada usia sekitar 5 tahun.
Jenis-jenis Kecelaruan Bahasa
Terdapat tiga(3) jenis kecelaruan bahasa iaitu:
- Kecelaruan bahasa reseptif: Kanak-kanak yang mengalami kecelaruan jenis ini akan mempunyai kesukaran untuk memahami bahasa. Mereka bergelut untuk memahami perkataan yang mereka dengar atau baca, serta apa yang orang lain katakan. Mereka sering bertindak balas dengan cara yang tidak masuk akal.
- Kecelaruan bahasa ekspresif: Kanak-kanak yang mengalami kecelaruan jenis ini akan mengalami masalah menggunakan bahasa. Mereka mungkin dapat memahami apa yang orang lain katakan tetapi menghadapi masalah bercakap dengan orang lain dan atau meluahkan fikiran, perasaan, keperluan dan idea mereka melalui bahasa.
- Kecelaruan bahasa ekspres reseptif bercampur: Kanak-kanak yang mengalami kecelaruan jenis ini mengalami kesukaran untuk memahami apa yang orang lain katakan serta difahami oleh orang lain.
Tanda-tanda atau Simptom-simptom
Tanda-tanda atau simptom-simptom kecelaruan bahasa boleh dibahagikan kepada jenis-jenis iaitu:
Kecelaruan bahasa reseptif
Kanak-kanak yang mengalami kecelaruan jenis ini akan menunjukkan tanda-tanda mengalami kesukaran untuk:
- Memahami makna perkataan atau ayat
- Memahami apa yang dikatakan oleh orang lain
- Memahami isyarat
- Belajar perkataan baharu
- Memahami apa yang mereka baca
- Memahami konsep dan idea baru
- Menjawab soalan
- Mengikuti arahan yang diberikan
- Mengenal pasti objek
Kecelaruan bahasa ekspresif
Kanak-kanak yang mengalami kecelaruan jenis ini akan menunjukkan tanda-tanda mengalami kesukaran untuk:
- Menggunakan perkataan dengan baik
- Bercakap menggunakan ayat yang pendek dan ringkas
- Bergelut untuk mengatur perkataan
- Bertanyakan soalan
- Menggunakan isyarat
- Menamakan objek
- Bercerita, menyanyi atau bersajak
- Menggunakan perkataan yang sesuai apabila bercakap
Selain itu, kanak-kanak tersebut turut menunjukkan tanda-tanda atau simptom seperti:
- Mempunyai kosa kata yang terhad
- Meninggalkan perkataan tertentu daripada ayat semasa bercakap
- Menggunakan frasa tertentu berulang-ulang
- Kelihatan malu atau mengelak daripada bercakap
Punca yang Menyebabkan Kecelaruan Bahasa
Punca atau penyebab yang tepat yang menyebabkan kecelaruan ini tidak diketahui, ia mungkin mempunyai perkaitan dengan masalah kesihatan atau kecacatan seperti:
- Penyakit pada otak
- Kecederaan otak
- Gangguan perkembangan seperti autisme atau kehilang upayaan pembelajaran
- Kerosakan pada sistem saraf pusat yang dipanggil afasia
- Kecacatan lahir seperti sindrom Down atau palsi serebrum
Rawatan
Langkah pertama yang harus diambil oleh ibu bapa adalah membawa anak mereka untuk menjalani pemeriksaan fizikal bagi mengetahui masalah sebenar yang dihadapi oleh anak mereka. Ia mungkin mempunyai kaitan dengan masalah pendengaran atau kecacatan pada sistem pendengaran.
Sekiranya ia melibatkan kecelaruan bahasa, kecelaruan ini boleh dirawat melalui beberapa cara. Antaranya adalah seperti berikut:
- Terapi bahasa dan percakapan: Ahli patologi akan menggunakan kaedah berbeza-beza untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah ini seperti:
- Membina kosa kata
- Menggunakan buku, gambar, objek atau mainan
- Bertanya dan menjawab soalan
- Menggunakan bahasa untuk mengekspresi idea yang kompleks
- Melibatkan diri dalam aktiviti mudah, seperti projek kraf
- Terapi tingkah laku kognitif dan kaunseling: Kaedah rawatan ini boleh membantu merawat masalah berkaitan tingkah laku dan emosi.
- Penjagaan dirumah: Ibu bapa boleh membantu perkembangan bahasa dalam kalangan kanak-kanak melalui:
- Membaca buku cerita atau bercerita
- Mendengar dan bertindak balas apabila anak-anak bercakap
- Bercakap dengan jelas, perlahan dan ringkas
- Mengekalkan suasana yang tenang
- Mengarahkan anak-anak mengulangi arahan menggunakan bahasa mereka sendiri
Komplikasi
Komunikasi berkesan adalah penting dalam perhubungan semasa di sekolah, tempat kerja dan sosial.
Masalah kecelaruan bahasa yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi atau kesan jangka panjang seperti kemurungan atau masalah tingkah laku semasa alam dewasa.
Rujukan
- Radhakrishnan, R. (2021). What Are the Different Types of Language Disorders? MedicineNet
- Badii, C. (2018). Language Disorder. Healthline