Apa itu Katatonia?
Katatonia ialah kecelaruan yang mengganggu cara otak berfungsi, mengganggu cara seseorang memproses dan bertindak balas terhadap dunia di sekelilingnya.
Penghidap Katatonia selalunya tidak bereaksi kepada perkara yang berlaku berdekatan dengannya atau mungkin bereaksi dengan cara yang kelihatan pelik.
Komunikasi terjejas, pergerakan luar biasa atau kekurangan pergerakan, dan keabnormalan tingkah laku adalah ciri-ciri yang paling ketara bagi keadaan ini.
Katatonia boleh berlaku dari beberapa jam hingga minggu, bulan atau tahun. Ia boleh berulang dengan kerap selama beberapa minggu hingga bertahun-tahun selepas episod awal.
Bagaimana Katatonia Menjejaskan Badan ?
Katatonia mengganggu cara bahagian tertentu otak anda berfungsi, menyebabkan seseorang mengalami “keadaan katatonik” iaitu ketegaran otot dan pergerakan menjadi kaku.
Kawasan otak anda yang terjejas adalah yang mengawal atau mengurus:
- Pergerakan
- Memori
- Pemikiran dan tumpuan
- Emosi
- Motivasi
- Deria (rasa, penglihatan, bau, sentuhan dan pendengaran)
- Kawalan diri dan pertimbangan
Punca yang Menyebabkan Katatonia
Doktor tidak pasti apa yang membuatkan seseorang menjadi katatonik. Ia paling kerap berlaku kepada orang yang mengalami gangguan mood atau kecelaruan psikotik, seperti kemurungan, kecelaruan bipolar dan skizofrenia.
Terdapat juga keadaan neurologi dan perubatan yang terlibat dengan katatonia seperti:
- Kecelaruan spektrum autisme
- Penyakit autoimun seperti lupus
- Sindrom Down
- Penyakit demensia atau Parkinson
- Epilepsi
- Keadaan ketidakseimbangan elektrolit
- Ensefalitis
- Strok
- Sindrom Tourett
- Ketidakbolehan intelek
Gejala atau Simptom-simptom
Doktor boleh mendiagnos seseorang itu sebagai Katatonik sekiranya mereka mempunyai sebarang tiga daripada simptom-simptom berikut:
- Tidak bercakap
- Tidak bertindak balas terhadap orang lain atau persekitarannya
- Mengekalkan badan dalam posisi yang pelik atau luar biasa
- Agitasi
- Pergerakan yang berulang-ulang, seolah-olah tidak bermakna
- Meniru pertuturan orang lain
- Meniru pergerakan orang lain
Di samping itu juga, beberapa tanda berikut juga turut boleh menjadi petanda kepada Katatonia:
- Tidak mahu makan
- Termenung
- Negativisme iaitu sikap atau kelakuan yang berlawanan dengan sesuatu arahan atau norma
Rawatan
Ubat-ubatan atau terapi elektrokonvulsif mungkin digunakan untuk merawat Katatonia.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan adalah pendekatan pertama dalam merawat Katatonia. Antara jenis-jenis ubat yang mungkin dipreskribkan adalah:
- Benzodiazepines
- Pengendur otot
- Antidepresan trisiklik
Benzodiazepines biasanya ubat pertama yang dipreskripsi. Ubat jenis ini boleh meningkatkan GABA di dalam otak. Keadaan ini menyokong teori bahawa pengurangan GABA menjurus kepada Katatonia.
Contoh ubat benzodiazepines adalah:
- Lorazepam
- Clonazepam
- Diazepam
Selain itu, ubat-ubat lain mungkin turut dipreskripsi bergantung kepada kes individu tersebut. Antaranya adalah:
- Amobarbital
- Bromocriptine
- Carbamazepine
- Lithium carbonate
- Hormon tiroid
- Zolpidem
Terapi Elektrokonvulsif (ECT)
Terapi elektrokonvulsif adalah rawatan yang berkesan untuk Katatonia. Terapi ini dilakukan dibawah pengawasan ahli profesional kesihatan.
Sebaik sahaja seseorang dibius, mesin khas menghantar kejutan elektrik ke otak. Ini menyebabkan sawan di otak untuk tempoh kira-kira satu minit.
Sawan itu dipercayai menyebabkan perubahan dalam jumlah neurotransmiter di dalam otak. Ini boleh memperbaiki gejala Katatonia.
Kajian pada tahun 2018 melaporkan bahawa rawatan menggunakan benzodiazepines dan terapi elektrikonvulsif adalah rawatan berkesan yang mempunyai bukti klinikal.
Rujukan
- Pelzer, A. C. et al. (2018). Systematic review of catatonia treatment. Neuropsychiatric disease and treatment.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Catatonia. Cleveland Clinic
- Rasmussen, S. A. et al. (2016). Catatonia: Our current understanding of its diagnosis, treatment and pathophysiology. World journal of psychiatry.