Apa itu Kaizen?
Kaizen adalah satu konsep atau falsafah yang diketengahkan oleh orang Jepun yang bermaksud perubahan ke arah kebaikan sedikit demi sedikit. Ringkasnya, ia membawa maksud “penambahbaikan yang berterusan.”
‘Kai’ bermaksud ‘ubah’ dan ‘zen’ pula bermaksud ‘untuk lebih baik’. Orang Jepun berpegang teguh kepada konsep ini sejak tamatnya Perang Dunia II lagi dan sehingga kini.
Selain boleh dijadikan prinsip atau falsafah bagi individu untuk berjaya, kaizen juga banyak dijadi nilai teras bagi banyak organisasi Jepun. Contohnya seperti Toyota.
Bagaimana Konsep Kaizen Boleh Menjadi Pegangan Untuk Berjaya?
Bagi individu, konsep kaizen boleh dijadikan pegangan atau motivasi untuk berjaya. Bayangkan diri anda sebagai jentera yang menuju ke arah kejayaan.
Setiap hari, anda hanya menambah 1% daripada usaha anda. Kemudian, esoknya pula anda menambah 2% usaha anda.. lusa pula 3%.. dan dalam masa 100 hari dari sekarang sekiranya setiap hari anda dedikasikan untuk tambah cuma 1% daripada usaha anda ke arah kejayaan, anda berjaya membaiki diri anda 100% daripada keadaan anda kini!
Perubahan yang perlahan tetapi konsisten ini membolehkan anda kekal bertahan dan tidak mudah jemu dengan usaha yang anda lakukan.
Selain itu juga, falsafah kaizen juga membawa satu kepercayaan bahawa semuanya boleh ditambah baik dan tiada yang tidak boleh diubah.
Dalam usaha anda untuk berjaya, sudah semestinya anda akan menghadapi banyak cabaran. Cabaran-cabaran ini adakalanya memerlukan perubahan.
Maka, falsafah ini boleh menjadi “pemandu” untuk anda berubah. Jangan takut untuk melakukan perubahan kerana ada masanya perubahan perlu dilakukan sekiranya anda ingin berjaya.
Adakah Kaizen Bermanfaat dalam Organisasi atau Syarikat?
Kaizen juga banyak digunakan oleh organisasi atau syarikat sebagai nilai teras mereka.
Sebagai contoh, syarikat Toyota menjadikan kaizen sebagai salah satu daripada nilai teras dalam Sistem Penghasilan Toyota (Toyota Production System).
Bagi mereka, penambahbaikan kaizen boleh membantu memaksimumkan produktiviti di setiap tapak kerja.
Falsafah ini juga memanusiakan tempat kerja, memperkasakan setiap individu untuk mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan dan mencadangkan penyelesaian praktikal.
Idea Asas
Idea asas kaizen ialah orang yang melaksanakan tugas dan aktiviti tertentu paling mengetahui tentang kerja tersebut.
Maka, memperkasakan orang tersebut untuk melaksanakan perubahan ialah strategi terbaik untuk penambahbaikan.
Manfaat Kaizen Kepada Syarikat
Terdapat banyak kebaikan atau manfaat kaizen kepada sesebuah syarikat yang mengamalkannya, antaranya adalah:
- Kepuasan kakitangan yang lebih baik
- Kepuasan pelanggan ditambah baik
- Kos rendah
- Menguatkan kesetiaan pekerja atau kakitangan
- Pengurangan dalam penggantian kakitangan
- Penyelesaian masalah yang lebih baik
- Produktiviti dan kecekapan yang lebih baik
Kesimpulan
Kaizen adalah satu falsafah yang mengajar kita agar melakukan perubahan yang berterusan walaupun sedikit demi sedikit.
Falsafah ini sesuai dipegang untuk anda yang ingin berjaya. Perubahan yang berterusan boleh membantu kita membaiki diri tanpa membebankan.
Falsafah ini juga banyak dipraktikkan dalam organisasi atau syarikat bagi menambah baik kualiti kerja dan produktiviti mereka.
Rujukan
- Hargrave, M. (2022). Kaizen: Understanding the Japanese Business Philosophy. Investopedia.
- Toyota UK Magazine. (2013). What is kaizen and how does Toyota use it?