Kecelaruan spektrum autisme adalah ketakupayaan perkembangan yang boleh menyebabkan cabaran sosial, komunikasi dan tingkah laku yang ketara. Sebelum tahun 2013, terdapat beberapa jenis autisme yang digunakan untuk mengelaskan ketakupayaan ini.
Penghidap autisme mungkin berkomunikasi, berinteraksi, berkelakuan atau belajar dengan cara yang berbeza daripada kebanyakan orang. Keupayaan pembelajaran, pemikiran dan penyelesaian masalah bagi penghidap autisme berbeza-beza dan boleh dikatakan “gifted” sehinggalah sangat mencabar.
Sesetengah penghidap autisme mungkin hanya memerlukan bantuan yang sedikit dalam menjalani kehidupan harian mereka dan sesetengahnya amat memerlukan bantuan.
Diagnosis kepada kecelaruan spektrum autisme kini telah memasukkan beberapa keadaan yang sebelum ini didiagnosis secara berasingan. Ini menjadikan secara umumnya, terdapat 4 jenis autisme yang boleh dikelaskan dibawah kecelaruan spektrum autisme.
Sebelum tahun 2013, ahli profesional kesihatan mengelaskan autisme kepada 4 jenis seperti yang dinyatakan dibawah.
Tetapi pada tahun 2013, Diagnostic and Statitical Manual of Mental Disorders (DSM-5) telah menyemak pengelasan tersebut. Kini, kesemua jenis autisme ini dikelaskan dibawah satu diagnosis yang sama iaitu kecelaruan spektrum autisme.
Perubahan dalam istilah mencerminkan diagnosis yang lebih baru. Tetapi terminologi sebelumnya tidak sepenuhnya dihentikan dalam perbualan.
Berikut adalah 4 jenis autisme sebagai panduan umum bagi ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak yang menghidap autisme.
1. Sindrom Asperger
Sindrom Asperger berada pada paras 1 kecelaruan spektrum. Penghidap sindrom Asperger sering dianggap “berfungsi tinggi” dengan kecerdasan purata hingga di atas purata dan tanpa kelewatan pertuturan.
Walaupun kanak-kanak ini mempunyai kecerdasan di atas purata dan skil pertuturan yang kuat tetapi mereka boleh mengalami cabaran dengan komunikasi sosial.
Secara umumnya, penghidap sindrom Asperger akan menunjukkan tanda dan simptom berikut:
- mempunyai masalah dalam interaksi sosial
- mempunyai masalah untuk membaca ekspresi muka, bahasa badan dan isyarat sosial
- kurang hubungan mata
- tidak memahami metafora, jenaka atau ironi
- menunjukkan bahasa badan yang janggal, berdiri terlalu dekat, atau bercakap terlalu kuat
- mengulangi kelakuan dan aktiviti yang sama
2. Kecelaruan Perkembangan Pervasif-Tidak Dinyatakan Sebaliknya (PDD-NOS)
Kecelaruan perkembangan pervasif-tidak dinyatakan sebaliknya atau dalam bahasa Inggerisnya “pervasive developmental disorder not otherwise specified” (PDD-NOS) adalah kecelaruan perkembangan yang sepertinya tidak menepati kriteria autism, sindrom Asperger, sindrom Rett atau kecelaruan disintegratif kanak-kanak.
PDD-NOS ini turut dipanggil dengan “autisme atipikal”.
Tanda atau simptom PDD-NOS ini adalah:
- perkembangan skil yang tidak sekata
- perkembangan pertuturam dan bahasa yang lemah
- kelakuan sosial yang kurang
- sukar menerima perubahan
- tindak balas yang luar biasa terhadap rasa, bunyi, bau, sentuhan atau pandangan
- kelakuan yang berulang-ulang
- minat yang sangat terhad dan tertumpu
3. Kecelaruan Disintegratif Kanak-kanak (CDD)
Kecelaruan disintegratif kanak-kanak atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai “childhood disintegrative disorder” (CDD) adalah gangguan perkembangan saraf yang ditakrifkan oleh kelewatan timbulnya masalah perkembangan dalam bahasa, kemahiran motor, atau fungsi sosial.
CDD ini turut dikenali dengan nama sindrom Heller atau psikosis disintegratif.
Kanak-kanak yang menghidap autisme jenis ini membesar dengan normal pada beberapa tahun diawal usianya. Selepas itu, berlaku kemerosotan yang ketara terhadap kemahiran-kemahiran berikut:
- komunikasi dan bahasa
- kemahiran sosial, penjagaan diri atau bermain
- kemahiran motor, kawalan pembuangan air kecil dan besar
Kecelaruan disintegratif kanak-kanak ini dikelaskan dalam spektrum autisme yang teruk.
4. Kecelaruan Autistik
Kecelaruan autistik adalah kecelaruan autisme yang teruk. Simptom atau gejala awal yang boleh dilihat adalah seperti:
- kesukaran dalam interaksi sosial
- masalah komunikasi
- kelakuan yang berulang-ulang
- meragam
- gangguan makan dan tidur
Kanak-kanak yang menghidap kecelaruan spektrum autisme yang teruk atau paras 3 kecelaruan spektrum ini lebih memilih untuk bermain seorang diri dan sukar untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang lain.
Golongan ini memerlukan sokongan yang tinggi daripada penjaga atau ibu bapa.
Kesimpulan
Kecelaruan spektrum autisme adalah istilah kecelaruan perkembangan yang meliputi beberapa jenis autisme yang sebelum ini dikenali sebagai sindrom Asperger, kecelaruan perkembangan pervasif-tidak dinyatakan sebaliknya, kecelaruan disintegratif kanak-kanak dan kecelaruan autistik.
Spektrum merangkumi pelbagai gejala dan keterukan. Evolusi kepada spektrum dan terminologi yang berubah seharus membantu memudahkan ia untuk difahami.
Walaupun penghidap spektrum autisme yang teruk mungkin memerlukan bantuan untuk berfungsi dan mengurus kehidupan mereka, dengan sokongan yang betul, ramai penghidap autisme boleh menjalani kehidupan yang produktif, berdikari dan memuaskan.
Rujukan
- Pietrangelo, A. (2021). Are There Different Types of Autism? Healthline
- American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association, 2013.