Jenis-jenis

Gangguan Kurang Tumpuan atau Hiperaktif (ADHD)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif (ADHD) ialah kecelaruan mental yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk memberi tumpuan, duduk diam atau mengawal kelakuannya. Selalunya gangguan ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja tetapi boleh berterusan sehingga dewasa.

Gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif ini juga lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Biasanya, ibu bapa atau penjaga akan mula perasan akan sifat kanak-kanak yang hiperaktif ini ketika awal persekolahan mereka. Kanak-kanak ini mempunyai masalah untuk memberi tumpuan.

gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif

Simptom-simptom Gangguan Kurang Tumpuan atau Hiperaktif

Simptom-simptom gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif ini bermula sebelum usia 12 tahun dan sesetengah kanak-kanak simptom boleh bermula seawal usia 3 tahun.

Simptom-simptom ini boleh jadi ringan, sederhana atau teruk.

ADHD ini lebih banyak berlaku dalam kalangan lelaki berbanding perempuan. Kelakuan mereka berbeza-beza mengikut jantina. Contohnya, kanak-kanak lelaki lebih cenderung bersifat hiperaktif manakala kanak-kanak perempuan pula lebih bersifat pendiam tanpa memberi perhatian. Tetapi ada juga yang mempunyai kedua-dua kelakuan ini.

Simptom-simptom ADHD ini boleh dibahagikan kepada dua berdasarkan kelakuan mereka iaitu:

Ketakperhatian

  • Selalu terlepas pandang atau cuai dalam melakukan kerja sekolah, di tempat kerja atau aktiviti lain.
  • Sukar untuk kekal memberikan perhatian ketika bermain atau melakukan tugasan.
  • Mempunyai masalah untuk menyusun atur tugasan atau aktiviti seperti melakukan tugasan mengikut susunan, mempunyai kerja yang tidak kemas dan pengurusan masa yang lemah.
  • Kelihatan seperti tidak mendengar walaupun bercakap terus kepadanya.
  • Tidak menyukai atau mengelak tugasan yang memerlukan tumpuan mental.
  • Selalu lupa untuk melakukan tugasan harian.

Hiperaktiviti-impulsiviti

  • Gelisah dan sentiasa gelisah di tempat duduk.
  • Berlari atau memanjat di tempat yang tidak sepatutnya.
  • Bercakap tidak berhenti.
  • Tidak boleh bermain atau melakukan hobi dengan senyap.
  • Sentiasa bergerak.
  • Menjawab soalan sebelum soalan habis dibacakan atau menyampuk.
  • Sukar untuk menunggu gilirannya.
  • Menganggu orang lain seperti dalam percakapan, aktiviti dan permainan.
  • Selalu meninggalkan tempat duduk dalam situasi yang sepatutnya memerlukan seseorang itu untuk duduk.

Diagnosis kepada masalah ini harus dilakukan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor, pakar psikiatri atau pakar psikologi. Untuk membolehkan seseorang itu dikelaskan mempunyai ADHD, gejala atau simptom-simptom yang berlaku ini mestilah kronik dan berpanjangan sehingga boleh mengganggu fungsi penghidapnya dan juga boleh membantutkan tumbesaran mereka.

Kanak-kanak yang menghidap ADHD biasanya menerima diagnosis semasa peringkat sekolah rendah. Manakala golongan remaja dan dewasa harus mempunyai simptom-simptom ADHD ini sebelum berumur 12 tahun sebelum didiagnosis menghidap ADHD.

Punca atau Faktor Risiko

Punca sebenar yang menyebabkan gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif ini tidak diketahui. Tetapi pengkaji percaya beberapa faktor berikut boleh menyumbang kepada penyakit ini.

  • Genetik
  • Merokok, menghisap dadah atau minum arak semasa mengandung.
  • Terdedah kepada toksik semasa mengandung.
  • Terdedah kepada toksik seperti plumbum yang tinggi semasa kecil (kanak-kanak).
  • Kecederaan otak.
  • Kelahiran pramatang yang menyebabkan berat lahir rendah.
  • Mengalami tekanan (stres) yang melampau.

Rawatan dan Terapi

Penyakit hiperaktif atau ADHD ini tidak mempunyai ubat. Tetapi rawatan dan terapi boleh diberikan bagi mengurangkan simptom-simptom yang dialami. Antara rawatan yang boleh diberikan adalah:

1. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan yang kebiasaannya diberikan kepada penghidap ADHD ialah ubat yang dipanggil “perangsang” seperti methylphenidate atau amphetamine. Ubat jenis ini boleh merangsang dan mengimbangkan kimia otak yang dipanggil neurotransmiter.

Selain itu, ubat bukan jenis perangsang juga turut boleh diberikan seperti atomoxetine dan ubat antidepresan. Ubat jenis ini mengambil masa lebih lama untuk memberikan kesan berbanding ubat jenis perangsang tetapi boleh menambah baik fokus, perhatian dan tingkah laku impulsif.

Ubat-ubat ini haruslah diambil berdasarkan prekripsi daripada doktor yang bertauliah. Ubat perangsang pada asasnya adalah selamat digunakan tetapi boleh mendatangkan kesan sampingan jika diambil berlebihan atau disalahgunakan.

2. Psikoterapi

Psikoterapi boleh dimanfaatkan untuk merawat pesakit ADHD sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.

  • Terapi tingkah laku kognitif. Terapi jenis ini akan mengajar pesakit skil tertentu untuk menguruskan kelakuannya dan mengubah pemikiran negatif kepada positif.
  • Terapi tingkah laku. Terapi ini akan membantu seseorang itu untuk mengubah kelakukannya termasuklah dalam menguruskan tugasan, kerja sekolah atau kerja di pejabat. Terapi ini juga mengaajr seseorang itu cara untuk mengawasi kelakuannya dan memberi penghargaan kepada dirinya sekiranya bertindak mengikut cara yang betul.
  • Terapi keluarga atau perkahwinan. Terapi ini melibatkan ibu bapa atau keluarga untuk menghadapi kehidupan bersama-sama penghidap ADHD.
  • Latihan kemahiran keibubapaan. Ia melibatkan latihan kepada ibu bapa dalam mengalakkan atau memberi ganjaran terhadap kelakuan positif oleh anak mereka. Ibu bapa akan diajar cara untuk memberi tindak balas positif dan pantas terhadap kelakuan positif dan mengabaikan kelakuan negatif.

Rujukan