Fobia spesifik adalah ketakutan yang kuat atau tidak rasional terhadap sesuatu yang mendatangkan bahaya yang sedikit atau tiada bahaya yang sebenar.
Pesakit yang menghidap fobia spesifik akan mengalami keresahan yang tinggi bersama-sama ketakutan yang berlebihan dan tidak munasabah akibat daripada terdedah kepada pencetus fobia, menjangkakan akan berhadapan dengan pencetus fobia atau bercakap mengenai pencetus fobia yang ditakutkan itu.
Fobia spesifik boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
- Jenis kecederaan: Ketakutan berkaitan dengan kecederaan atau kemudaratan terhadap badan. Contohnya takut kepada jarum atau suntikan (trypanophobia) atau takut kepada doktor gigi (dentophobia).
- Jenis haiwan: Fobia jenis ini melibatkan ketakutan terhadap haiwan atau serangga. Contohnya takut kepada ular (ophidiophobia), labah-labah (arachnophobia), anjing (cynophobia) atau serangga (entomophobia).
- Jenis persekitaran atau alam sekitar: Fobia jenis ini melibatkan ketakutan kepada cuaca, alam semula jadi atau peristiwa alam. Contohnya seperti takut kepada guruh dan kilat (astraphobia) atau air (aquaphobia).
- Jenis situasi: Fobia jenis ini melibatkan rasa takut yang dicetuskan situasi tertentu. Contohnya takut tempat yang tertutup seperti lif (claustrophobia), takut untuk menaiki kapal terbang (aerophobia) atau takut untuk mandi (ablutophobia).
- Jenis-jenis lain: Ketakutan yang tidak termasuk daripada 4 jenis fobia yang dinyatakan di atas. Contohnya seperti takut kepada bunyi yang kuat, takut untuk muntah atau takut kepada anak patung.
Simptom-simptom atau Gejala
Fobia spesifik melibatkan rasa takut yang kuat dan berterusan terhadap objek atau situasi yang melebihi risiko yang sebenar. Fobia spesifik boleh berlaku bersama-sama dengan jenis-jenis kecelaruan keresahan yang lain.
Secara umumnya, tidak kira jenis fobia yang dihadapi, lazimnya pesakit akan menunjukkan simptom atau tindak balas seperti berikut:
- Ketakutan yang kuat, keresahan atau panik apabila terdedah kepada perkara atau objek yang ditakuti tersebut. Malah turut berfikir akan sumber yang menyebabkan ketakutan tersebut.
- Keresahan yang semakin teruk apabila objek atau situasi tersebut semakin dekat dengan pesakit (secara fizikal atau masa).
- Melakukan apa sahaja yang termampu untuk mengelak daripada objek atau situasi yang ditakuti tersebut atau melaluinya dengan ketakutan atau keresahan yang kuat.
- Sedar bahawa ketakutan itu adalah tidak berpatutan atau berlebihan tetapi tidak mampu untuk mengawalnya.
- Sukar untuk berfungsi seperti biasa kerana rasa takut.
- Sensasi atau tindak balas fizikal seperti berpeluh, deyutan jantung menjadi laju atau sukar bernafas.
- Bagi kanak-kanak, mungkin akan meragam, menangis atau tidak mahu berpisah dengan ibu bapa.
Punca
Punca atau penyebab sebenar fobia spesifik tidak diketahui dengan jelas. Tetapi, beberapa perkara berikut boleh menyebabkan fobia ini:
- Pengalaman negatif: Banyak fobia terjadi akibat daripada pengalaman negatif seseorang atau serangan panik yang berkaitan dengan sesuatu objek atau situasi.
- Keturunan atau persekitaran: Faktor keturunan juga boleh menyebabkan fobia spesifik. Ia mungkin berkait dengan fobia atau keresahan yang dialami oleh ibu bapa pesakit.
- Fungsi otak: Perubahan dalam fungsi otak juga boleh memainkan peranan dalam pembentukan fobia spesifik
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami fobia spesifik. Antaranya:
- Umur. Biasanya fobia ini bermula seawal usia kanak-kanak sekitar usia 10 tahun. Tetapi boleh juga berlaku lebih lewat.
- Saudara-mara. Tindak balas fobia yang dialami oleh saudara-mara mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak mempelajarinya dan membentuk fobia yang sama.
- Pembawaan. Risiko lebih tinggi bagi mereka yang sensitif atau lebih negatif.
- Pengalaman negatif. Pengalaman buruk atau trauma boleh membentuk fobia spesifik.
- Mengetahui mengenai pengalaman negatif. Sesetengah orang mungkin turut membentuk fobia ini melalui pengalaman atau maklumat yang negatif seperti kemalangan kapal terbang atau lif terhempas.
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), untuk seseorang itu didiagnosis dengan fobia spesifik, mereka mestilah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
- Menunjukkan ketakutan atau keresahan yang kuat dan berterusan terhadap sesuatu objek atau situasi yang khusus.
- Situasi atau objek yang difobiakan selalunya menyebabkan ketakutan atau keresahan yang serta-merta.
- Situasi atau objek yang difobiakan selalunya dielakkan atau dihadapi dengan ketakutan atau keresahan yang kuat.
- Ketakutan dan keresahan melebihi bahaya yang sebenar yang ditimbulkan oleh sesuatu objek atau situasi.
- Ketakutan, keresahan dan penghindaran lazimnya berlanjutan selama 6 bulan atau lebih.
- Ketakutan, keresahan dan penghindaran menjejaskan kehidupan peribadi, kerja atau sekolah.
- Gangguan ini tidak disebabkan oleh kecelaruan mental yang lain.
Rawatan
Rawatan terbaik untuk fobia spesifik adalah psikoterapi yang dipanggil terapi pendedahan. Kadang-kadang doktor mungkin menyarankan gabungan antara psikoterapi dan ubat-ubatan.
Matlamat rawatan ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit agar tidak lagi dihantui dengan fobia tersebut.
1. Psikoterapi
Terapi pendedahan dan terapi tingkah laku kognitif adalah dua rawatan psikoterapi yang berkesan.
- Terapi pendedahan: Terapi ini mengutamakan kepada mengubah tindak balas pesakit terhadap situasi atau objek yang ditakuti. Pendedahan yang berkala dan berulang-ulang kepada penyebab fobia spesifik boleh membantu pesakit menguruskan ketakutan dan keresahan yang dialami.
- Terapi tingkah laku kognitif: Terapi ini melibatkan kombinasi pendedahan dan teknik lain untuk mempelajari cara untuk melihat dan menghadapi objek atau situasi yang ditakuti pada sudut yang berbeza. Teknik ini turut menekankan kesedaran bahawa pencetus fobia tersebut adalah selamat dan tidak seperti yang digambarkan oleh pesakit.
2. Ubat-ubatan
Kadang-kadang, ubat-ubatan mungkin diperlukan untuk mengurangkan keresahan dan panik yang dialami.
Ubat-ubatan mungkin digunakan semasa rawatan awal atau penggunaan yang sementara atau terhadap situasi yang khusus seperti semasa menaiki kapal terbang atau semasa pengucapan awam.
Antara ubat-ubatan yang lazim digunakan adalah:
- Beta blockers. Ubat ini digunakan untuk menghalang kesan daripada adrenalina (adrenaline) seperti peningkatan kadar deyutan jantung, suara bergetar atau peningkatan tekanan darah.
- Sedatif.Ubat ini membantu pesakit untuk lebih tenang dengan mengurangkan jumlah keresahan yang dialami. Ubat jenis ini harus digunakan secara berhati-hati kerana boleh menyebabkan ketagihan. Antara jenis ubat ini adalah benzodiazepines.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, fobia spesifik boleh menjejaskan kehidupan pesakit. Sekiranya pesakit tidak dapat terlibat dalam dinamik sosial, pesakit mungkin akan terpisah daripada masyarakat.
Rujukan
- Samra CK, Abdijadid S. Specific Phobia. [Updated 2021 May 15]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK499923/
- Mayo Clinic Staff. (2016). Specific phobias. MayoClinic.
- American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders. Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association. 2013.