Adakalanya tekanan dan kesibukan kerja membuatkan anda berasa seperti “burnout” dan mungkin membuatkan anda ingin berhenti kerja. Tetapi sebenarnya, masih ada jalan lain yang boleh membantu anda mengelakkan burnout. Anda memerlukan 6 jenis rehat ini.
Burnout sudah semestinya membuatkan seseorang itu hilang minat terhadap kerjanya, seterusnya menyebabkan produktiviti menurun, masalah ketidakhadiran dan tekanan perasaan.
6 jenis rehat ini boleh membantu anda kembali kepada posisi yang seimbang dan mengelakkan daripada burnout yang boleh menjejaskan diri anda secara negatif.
1. Rehat Fizikal
Anda memerlukan rehat dari segi fizikal (tubuh badan). Rehat fizikal ini boleh dibahagikan kepada 2 iaitu pasif dan aktif.
Bagi rehat fizikal yang pasif, dapatkan tidur yang mencukupi iaitu 7 jam sehari. Bagi anda yang sukar untuk tidur, bersenam pada siang hari boleh membantu anda lebih mudah tidur pada waktu malam.
Selain itu, anda juga boleh mengamalkan tidur sebentar (qailullah) sekitar 10-15 minit pada waktu tengah hari.
Manakala, rehat fizikal yang aktif pula anda boleh pergi berurut atau melakukan regangan otot. Cara ini boleh mengurangkan ketegangan otot yang mungkin berlaku kerana kesibukan anda.
Tambahan itu, anda juga disarankan untuk menggunakan kerusi ergonomik dan meja yang sesuai dengan ketinggian tubuh badan bagi mewujudkan keselesaan dan mengurangkan ketegangan otot.
2. Rehat Mental
Sesetengah kerja mungkin memberi impak yang besar kepada mental.
Bagi membantu mengurangkan tekanan yang hadapi, langkah yang perlu dilakukan adalah senaraiakn perkara yang ingin anda lakukan (to-do list).
Langkah yang seterusnya adalah sentiasa berpegang kepada senarai semak (checklist) yang anda ingin selesaikan pada hari tersebut.
Cara-cara ini boleh membantu mengurangkan bebanan kepada mental anda dan membuatkan anda kekal fokus.
Di samping itu juga, biasakan diri anda untuk solat pada awal waktu. Solat juga adalah terapi yang baik untuk mental anda. Solat memberikan anda rehat dan mewujudkan ketenangan kepada minda.
3. Rehat Sosial
Jenis rehat yang seterusnya adalah rehat dari segi sosial.
Apa yang perlu dilakukan adalah menilai kembali setiap hubungan yang anda ada dengan orang penting dalam hidup anda. Contohnya seperti pasangan, anak-anak atau ahli keluarga.
Mungkin anda terlalu sibuk sehingga kurang masa untuk bersama orang tersayang. Maka, luangkan masa dengan mereka boleh membuatkan anda kembali ceria dan bersemangat.
Selain itu, anda juga perlu mengehadkan masa dengan orang selalu membuatkan kamu hilang tenaga, semangat atau tidak ceria.
4. Rehat Emosi
Rehat dari segi emosi pula boleh dilakukan dengan meluangkan masa dengan orang yang membuatkan anda boleh menjadi diri sendiri. Mungkin pasangan, ahli keluarga atau rakan karib.
Biasanya, ramai yang mengalami burnout akibat menahan dan memendam emosi. Anda tidak dapat mengekspresikan perasaan anda dengan baik. Akibatnya, anda hanya berpura-pura di depan orang lain.
Sudah tentu, sekiranya ia berterusan, pada satu titik anda akan mengalami burnout.
5. Rehat daripada Gadjet
Rehat daripada penggunaan gadjet seperti telefon pintar atau tablet adalah rehat yang turut diperlukan untuk mengelakkan burnout.
Apa yang perlu anda lakukan adalah:
- Letakkan telefon anda dalam mod senyap.
- Berehat daripada skrol media sosial.
- Kurangkan mesyuarat video.
- Letakkan telefon jauh daripada tempat yang mudah dicapai.
Jika anda susah untuk berpisah dengan telefon, jadikan telefeon anda sebagai kekuatan dengan membuka alunan bacaan Al-Quran, zikir atau bunyian alam.
6. Rehat dengan Alam
Kehijauan adalah salah satu sumber ketenangan. Maka, berehatlah dengan alam. Nikmati dan hargai keindahan alam sekeliling.
Pergilah memanjat bukit, gunung atau berkhemah di hutan. Sibukkan diri anda dengan menikmati alam yang menghijau, air sungai yang mengalir tenang dan unggas berkicau riang.
Dari situ, anda memperoleh idea-idea atau ilham baru yang mungkin sebelum ini tidak terjangkau.
Jangan biarkan burnout melemahkan tubuh badan kita. Badan kita bukan mesin. Sedangkan mesin pun perlu direhatkan, inikan pula kita manusia.
Maka, ambil waktu untuk berehat dan jangan terlalu menekan diri sendiri atau melakukan sesuatu yang diluar kesanggupan anda.