Bumi mana tidak ditimpa hujan. Begitu jugalah kehidupan. Setiap manusia akan diuji dan setiap orang diuji dengan tahap ujian yang berbeza-beza. Persoalannya, sejauh manakah kemampuan kita untuk menghadapinya? Islam telah menyediakan ubat sebelum penyakit itu datang, kita semua telah diwariskan dengan beberapa doa tenangkan hati yang boleh diamalkan untuk menenangkan jiwa yang sedang diuji itu.
Bagi umat Islam, doa adalah satu cara untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Doa juga melambangkan perhambaan kita kepada-Nya.
Mengapa aku diuji?
Masalah, musibah atau ujian adalah salah satu cara penghapus dosa (kifarah) dan tanda kasihnya Pencipta (Allah s.w.t) terhadap hambanya. Semakin tinggi darjat seseorang itu, semakin kuat atau susah ujian yang akan dihadapinya.
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Surah Al-Ankabut (ayat 2)
Begitu juga dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim yang bermaksud:
Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”
Hadith riwayat al-Bukhari (No:5641) dan Muslim (No:2573).
Sebagai seorang Muslim, kita harus percaya dan yakin bahawa setiap ujian, musibah, kesakitan atau kegusaran yang dihadapi kita mempunyai banyak hikmahnya dan menjadi petunjuk bahawa kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya.
Bagaimana Menghadapi Ujian?
Sabar adalah salah satu kunci dalam menghadapi ujian atau musibah yang dialami. Seterusnya diikuti dengan pelbagai cara lain yang boleh dilakukan dalam menghadapi musibah yang sedang dialami.
Salah satu caranya adalah dengan berdoa. Doa-doa tenangkan hati ini boleh diamalkan untuk menghadapi dugaan, ujian dan musibah yang dialami dengan harapan agar ia berakhir.
Amalan berdoa merupakan satu cara untuk menenangkan hati. Hati yang tenang akan melahirkan pemikiran yang waras. Pemikiran yang waras akan memandu kita untuk membuat keputusan dan pilihan yang betul.
Berikut dikongsikan beberapa doa berkaitan yang boleh diamalkan sekirannya jiwa tidak tenteram, mengalami kesusahan, atau rasa dukacita atau kesedihan.
1. Doa untuk jiwa tidak tenteram
Maksudnya:
“Dengan Allah, aku berlindung diri daripada kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaan-Nya, seksaan-Nya dan kejahatan para hamba-Nya daripada bisikan-bisikan syaitan dan jangan sampai mereka menggangguku.“
Daripada al-Walid bin al-Walid r.a. bahawa beliau telah mengadukan halnya kepada Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah, aku sering berasa tidak tenteram.”
Maka Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Apabila engkau hendak tidur, bacalah doa ini (doa di atas), nescaya mereka tidak dapat membahayakanmu atau mendekatimu sekalipun.”
(Rujukan Kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi)
2. Doa apabila ditimpa kesusahan atau kesukaran
Maksudnya:
“Ya Allah, tiadalah yang mudah melainkan yang Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran itu mudah bila sahaja Engkau kehendaki.“
3. Doa untuk mengelakkan daripada kesedihan, pemalas, bakhil, menangung hutang dan penindasan
Maksudnya:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rundungan sedih dan duka, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan orang.“
Daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya:
Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah r.a sedang duduk di sana.
Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?”
Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”
Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”
Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”
Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini (bacaan di atas).”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”
Hadis Riwayat Abu Daud (4/353) (rujukan)
Selain itu, harus diingati bahawa musibah atau masalah itu adalah ujian dari Allah untuk menjadikan kita seorang yang lebih sabar dan beriman kepada-Nya.
Allah juga menyuruh kita berdoa sekiranya ditimpa musibah dan masalah sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155-156 yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar; (Iaitu) orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.“
Allah juga berfirman bahawa setiap kesukaran itu disertai kemudahan sepertimana dalam surah Al-Insyiraah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.“
Oleh itu, berpegang teguhlah kepada ayat-ayat Allah dan percayalah dengan kesabaran, usaha dan tawakkal, setiap permasalahan dan musibah yang kita alami pasti ada jalan keluar dan penamatnya.
Akhir Kalam
Musibah atau ujian menyebabkan hati seseorang itu gundah, tidak tenteram, fikiran bercelaru dan mula berfikir bukan-bukan yang boleh membawa kepada kemurungan atau kecelaruan keresahan.
Amalkan doa-doa tenangkan hati ini sebagai tanda tawakkal kita kepada Allah setelah segala usaha yang kita lakukan.