Pengenalan
Doa qunut ialah zikir yang mengandungi ucapan doa dan puji-pujian kepada Allah SWT yang dibaca ketika solat fardhu Subuh dan solat witir. Manakala, bagi qunut nazilah pula, ia dibaca pada setiap solat fardhu.
Walaupun pada dasarnya, doa ini boleh diucapkan dengan apa-apa lafaz yang mempunyai dua unsur iaitu doa dan puji-pujian, namun bacaan doa yang afdhal adalah seperti diriwayatkan daripada Rasulullah SAW oleh Abu Hurairah RA, iaitu apa yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini.
Menurut mazhab Syafii, bacaan doa qunut pada rakaat kedua selepas bangkit daripada rukuk (iktidal) ketika solat Subuh adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut.
Panduan Bacaan Doa Qunut Subuh
Doa qunut pada waktu solat Subuh dibaca dalam dua situasi iaitu ketika solat bersendirian atau berjemaah. Ia turut dikenali sebagai Qunut Ratibah.
Berikut adalah bacaan doa qunut sebagai panduan untuk anda:
Doa Qunut Subuh
Ini lafaz doa qunut bagi solat Subuh secara bersendirian:
Maksud atau Ertinya:
Ya Allah! tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang Engkau beri petunjuk. Dan sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Dan berkatilah hendaknya untuk aku apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan dan tidak sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka bagi Engkaulah segala pujian terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan para sahabat baginda.
Ini pula adalah lafaz doa qunut bagi seorang imam yang mengimamkan solat Subuh:
Maksud atau Ertinya:
Ya Allah! tunjukkanlah kami sebagaimana orang yang Engkau beri petunjuk. Dan sejahterakanlah kami sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah kami sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Dan berkatilah hendaknya untuk kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada kami.
Jauhkanlah kami daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan dan tidak sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka bagi Engkaulah segala pujian terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Kami minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan para sahabat baginda.
Doa Qunut Subuh dalam Rumi
Bagi mereka yang tidak fasih untuk membaca tulisan Arab, berikut adalah lafaz doa qunut di dalam rumi:
Allahhumma dinii fiiman hadait,
Wa’aa finii fiiman ‘aafait,
Watawallanii fiiman tawal-laiit,
Wabaariklii fiimaa a’thait,
Waqinii syarramaa qadhait,
Fainnaka taqdhii walaa yuqdha ‘alaik,
Wainnahu laayadzilu man walait,
Walaa ya’izzu man ‘aadait,
Tabaa rakta rabbanaa wata’aalait,
Falakalhamdu ‘alaa maaqadhait,
Astaghfiruka wa’atuubu ilaik,
Wasallallahu ‘ala Sayyidina Muhammadin
Wa’alaa aalihi washahbihi Wasallam.
Doa Qunut Ketika Solat Sunat Witir
Bacaan doa qunut yang sama turut dibaca ketika iktidal (selepas bangun daripada rukuk) yang terakhir dalam solat sunat Witir bermula pada pertengahan bulan Ramadhan.
Panduan Doa Qunut Nazilah
Qunut nazilah merupakan doa yang dibaca ketika solat semasa sesuatu bencana berlaku. Qunut nazilah boleh dibaca sama ada secara individu atau berjemaah. Ia juga boleh dibaca dalam setiap solat fardhu-fardhu termasuklah juga solat Jumaat.
Doa qunut nazilah biasanya dibaca pada rakaat terakhir semasa iktidal, selepas bangun dari rukuk. Disunnatkan juga untuk membaca doa qunut nazilah dengan jelas dan mengangkat kedua belah tangan.
Menurut Imam Nawawi di dalam kitab Syarh Sahih Muslim, qunut nazilah disunatkan untuk dibaca ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, diserang belalang dan sebagainya.
Namun, sekiranya musibah tersebut berbentuk peribadi seperti seseorang itu kehilangan duit, maka tidak sunat baginya untuk membaca qunut nazilah.
Doa Qunut Nazilah
Qunut nazilah ini dibaca ketika wabak:
Maksud atau Ertinya:
Ya Allah! Berikanlah kami hidayah sebagaimana mereka yang telah Engkau beri hidayah. Berikanlah kesihatan kepada kami sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan.
Peliharalah kami sebagaimana orang-orang yang telah Engkau peliharakan. Kurniakanlah keberkatan kepada kami pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan.
Dan selamatkanlah kami dari bahaya yang telah Engkau tetapkan. Maka sesungguhnya, Engkaulah yang menetapkan (hukuman) dan bukannya yang ditetapkan ke atasMu.
Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi.
Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan (Tuhan Yang) Maha Tinggi. Maka bagi Engkaulah segala pujian di atas apa yang Engkau tetapkan. Kami memohon ampun dariMu dan kami bertaubat kepadaMu.
Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila dan kusta serta daripada penyakit-penyakit yang buruk.
Ya Allah! Jauhkanlah kami, Raja kami dan negara kami serta seluruh orang-orang Islam di setiap pelusuk tempat daripada bala bencana, wabak penyakit, penyakit berjangkit, penyakit taun dan segala jenis penyakit.
Lindungilah kami daripada kebinasaan yang dahsyat dengan belas kasihMu ya Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Dan semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan para sahabat baginda.
Ini pula adalah versi qunut nazilah yang dibaca untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam daripada serangan musuh.
Maksud atau ertinya:
Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami letakkan Engkau di batang leher musuh kami, dan kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka.
Ya Allah leburkan kumpulan mereka, kacau bilaukan persatuan mereka, cerai beraikan pakatan mereka, goncangkan pendirian mereka, hantarkan anjing-anjing Engkau ke atas mereka.
Wahai Tuhan yang Maha Pemaksa, Wahai Tuhan yang Maha Perkasa, Wahai Tuhan yang bersifat Murka,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah
Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, Wahai Tuhan yang mengerakkan awan, yang menewaskan bala tentera al-Ahzab, kalahkan mereka, menangkan kami ke atas mereka.