Doa naik kenderaan adalah antara amalan sunnah yang baik untuk diamalkan. Membaca doa ini menunjukkan sifat ‘Ubudiyyah kita sebagai seorang hamba yang bergantung harap kepada Allah SWT dan memohon agar perjalanan kita dipermudahkan-Nya.
Selain itu, walaupun kita sudah mahir memandu kenderaan kita, doa ini menunjukkan bahawa Allah-lah yang memberikan kemudahan untuk mengendalikan kenderaan.
Kebergantungan kepada Allah s.w.t amat perlu kerana Dialah yang menguasai setiap sesuatu.
Doa naik kenderaan adalah berdasarkan nas daripada Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu Surah al-Zukhruf ayat 12 hingga 14.
Menurut Imam al-Alusi rahimahullah, ayat 12 hingga 14 ini membawa maksud bahawa sesungguhnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menentukan arah tuju haiwan tunggangan mahupun alam semesta hanya Allah sahajalah yang mampu untuk berbuat demikian.
Doa Naik Kenderaan
Maksudnya:
Segala puji bagi Allah, Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya.
Amalan Sunnah dan Adab Semasa Keluar Rumah dan Menaiki Kenderaan
1. Membaca Ayat Al-Kursi
Selain membaca doa naik kenderaan, umat Islam juga disarankan untuk membaca ayat al-Kursi sebagaimana pesanan Rasulullah SAW kepada Saidina Ali r.a. yang bermaksud:
“Wahai Ali, jika kamu keluar dari rumah untuk hajat yang sangat penting maka bacalah ayat al-Kursi nescaya hajat kamu akan tercapai dengan keizinan Allah.”
Kitab al-Wasoya Karangan Ibnu Arabi (rujukan)
2. Melangkah Keluar dengan Kaki Kiri
Melangkah keluar rumah dengan kaki kiri juga antara amalan yang disarankan dalam Islam.
3. Membaca Doa Ketika Keluar Rumah
Daripada Anas bin Malik r.a, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki (termasuk perempuan) apabila dia keluar daripada rumahnya, lalu dia mengucapkan:
Maka akan dikatakan kepadanya (yakni para malaikat akan mendoakannya):
“Sesungguhnya kamu akan diberi hidayah, dicukupkan (keperluan) dan dipelihara (dalam musafir agar selamat sampai dan selamat kembali).”
Lalu syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripadanya, sedang syaitan yang lain berkata:
“Mana mungkin engkau boleh menghadapi seorang lelaki yang sudah dipandu dengan hidayah, dicukupkan dan dipelihara!”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
4. Melangkah Memasuki Kenderaan dengan Kaki Kanan
Ketika hendak menaiki kenderaan, kita digalakkan agar memulakan langkah dengan kaki kanan.
5. Mendahulukan Orang yang Lebih Tua
Sekiranya menaiki kenderaan awam atau kenderaan yang turut dinaiki orang yang lebih tua daripada kita, adalah dituntut untuk mendahulukan mereka yang lebih tua dan tidak berebut-rebut semasa menaiki kenderaan tersebut.