Panduan

9 Dasar Kesihatan Mental Negara Malaysia

Pinterest LinkedIn Tumblr

Dasar Kesihatan Mental Negara dibentuk bertujuan untuk menyediakan satu asas dalam merangka strategi serta menjadi halatuju dalam perancangan dan pelaksanaan program kesihatan. Dasar ini juga bertujuan untuk memperbaiki kesihatan mental dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Selain itu, dasar ini dapat membantu memperbaiki perkhidmatan kesihatan mental dan psikiatri bagi mereka berisiko atau yang mengalami gangguan mental serta berusaha membekalkan penjagaan serta perlindungan oleh keluarga, masyarakat dan badan-badan yang berkaitan.

dasar kesihatan mental negara Malaysia

1. Mudah Diperolehi dan Saksama

Dasar ini menggariskan agar setiap kelompok masyarakat mudah untuk memperolehi penjagaan kesihatan mental yang sama rata dan adil. Tidak kira mereka daripada latar belakang yang berbeza-beza.

Konsep ini memberi penekanan terhadap penyediaan peluang yang adil dan saksama untuk kesihatan sekaligus dapat mengurangkan jurang kesihatan ke tahap yang paling minima.

Dua aspek penting yang diberi keutamaan dalampembangunan perkhidmatan kesihatan mental adalah dari segi geografi dan harga.

2. Kelengkapan atau Komprehensif

Dasar kesihatan mental negara yang kedua ini merujuk kepada menyediakan penjagaan dan perkhidmatan kesihatan mental yang lengkap dan menyeluruh. Ia meliputi aktiviti-aktiviti promosi, pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Dasar ini membolehkan satu sistem kesihatan mental yang lengkap diwujudkan bagi membolehkan pelanggan beralih dari satu perkhidmatan ke perkhidmatan yang lain apabila keperluan mereka berubah. Dengan ini, pelanggan akan sentiasa mendapat perkhidmatan yang paling sesuai dengan keperluan mereka pada setiap masa.

3. Kesinambungan dan Integrasi

Seterusnya, perkhidmatan kesihatan mental akan disediakan pada peringkat Penjagaan Kesihatan Primer.

Program dan aktiviti kesihatan mental akan diintegrasikan ke dalam program yang telah disediakan melalui sistem Penjagaan Kesihatan Primer.

Kaedah ini akan mengurangkan stigma masyarakat terhadap mereka yang mengalami masalah emosi dan gangguan psikososial. Selain itu, ia juga menggalakkan orang ramai untuk:

  • Mendapatkan tindakan dan rawatan awal.
  • Menentukan kesinambungan rawatan.
  • Membolehkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental yang lebih dekat dengan keluarga dan masyarakat.
  • Mendapatkan kesaksamaan perkhidmatan perubatan atau perkhidmatan kesihatan bagi penghidap gangguan mental.

4. Kerjasama Pelbagai Sektor

Kementerian Kesihatan Malaysia akan bertindak sebagai pemudah cara bagi memudahkan kerjasama dalam kalangan pelbagai sektor melalui pelbagai program dan aktiviti kesihatan mental.

Dasar ini membolehkan pihak swasta menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dengan syarat mereka mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

5. Penglibatan Masyarakat

Dasar ini membolehkan penglibatan masyarakat dalam perancangan, pengurusan dan penilaian aktiviti-aktiviti yang berasaskan komuniti bagi menentukan hak, kebanggaan dan penerimaan aktiviti-aktiviti ini.

Komuniti di sini merujuk kepada pemimpin masyarakat, pakar-pakar profesional kesihatan mental, penjaga, sukarelawan, badan-badan sukarelawan dan pengguna yang bermotivasi untuk memenuhi keperluan orang ramai yang mengalami masalah kesihatan mental.

6. Sumber Manusia dan Latihan

Pihak kementerian kesihatan akan menjadikan perancangan dan pembangunan sumber manusia dalam kesihatan mental sebagai pelaburan utama dalam sektor kesihatan.

Tenaga kerja kesihatan mental yang terlatih atau pakar-pakar profesional kesihatan mental adalah komponen penting bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan kesihatan mental. Oleh itu, peruntukan belanjawan yang mencukupi akan disediakan untuk keperluan latihan.

7. Piawaian dan Pemantauan

Perkhidmatan kesihatan mental wajib menyediakan penjagaan dan piawaian berkualiti tinggi. Ia juga perlu mematuhi piawaian yang terkandung di dalam resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Perlindungan Hak orang yang menghidap penyakit-penyakit mental.

Setiap pengguna program kesihatan mental mempunyai hak untuk mendapatkan penjagaan yang berkualiti. Oleh itu, pembekal penjagaan kesihatan mental perlu menyediakan penjagaan berkualiti tinggi melalui amalan kesihatan saintifik yang memenuhi piawaian yang diterima umum dan berusaha meningkatkan kemahiran secara berterusan.

8. Penyelidikan

Dasar ini memastikan penyelidikan dan pembangunan akan terus dilaksanakan dan dibiayai oleh pihak kerajaan dan swasta.

Kesihatan mental pengguna yang lebih baik bergantung kepada penyelidikan yang mencukupi serta penilaian keberkesanan rawatan dan intervensi yang diambil.

Dasar ini juga mencadangkan penubuhan Institut Kesihatan Mental Negara untuk memudahkan penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan latihan.

9. Perundangan

Dasar yang terakhir ini menggariskan jaminan dan perlindungan dari segi undang-undang kepada hak dan kebebasan golongan yang mengalami masalah kesihatan mental dan gangguan mental.

Selain itu, industri pembiayaan kesihatan seperti syarikat insuran kesihatan mesti menyediakan perlindungan terhadap mereka yang menghidap penyakit mental dan tidak membezakan mereka. Imbuhan-imbuhan seperti rebat dan potongan cukai akan diberikan kepada penjaga dan majikan yang menjaga atau menggaji penghidap penyakit mental.

Rujukan