Seorang pemimpin ialah seorang individu yang bertanggungjawab mengetuai sebuah organisasi atau kumpulan. Setiap organisasi atau kumpulan mengharapkan pemimpin yang baik. Jadi, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin?
Dari sekecil-kecil kumpulan seperti keluarga hinggalah sebesar-besar kumpulan iaitu rakyat, pemimpin adalah seorang yang diharapkan dapat membantu orang bawahan mereka dan membantu mencapai sesuatu matlamat.
Tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seorang pemimpin amatlah besar dan penting. Maka, jawatan sebagai seorang pemimpin bukanlah jawatan yang boleh diambil mudah.
Oleh itu, jika anda ingin menjadi seorang pemimpin atau anda ingin memilih seorang pemimpin, ciri-ciri seorang pemimpin yang perlu ada kepada individu tersebut adalah:
1. Seorang yang Jujur dan Amanah
Seorang pemimpin yang hebat mesti mempunyai sifat amanah dan jujur.
Sebagai contoh, sekiranya anda diamanahkan untuk menjadi seorang pengarah syarikat, sudah tentu ia melibatkan pengurusan kewangan dan aset syarikat.
Jika anda tidak mempunyai sifat jujur dan amanah, sudah tentu akan berlaku banyak penyelewengan dan akibatnya ia memberi kesan terhadap syarikat atau organisasi tersebut.
Oleh itu, adalah penting untuk seorang pemimpin mempunyai ciri-ciri ini.
2. Seorang yang Berkeyakinan Tinggi
Untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa, anda perlu menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi. Ini membolehkan anda menjadi inspirasi kepada orang lain.
Pemimpin yang berkeyakinan tinggi boleh membawa aura positif yang secara tidak langsung boleh memotivasikan pekerja-pekerja lain.
Pemimpin yang berkeyakinan tinggi juga penting kerana mereka adalah golongan yang membuat keputusan penting.
Tanpa keyakinan, sudah pasti agak sukar untuk membuat keputusan.
3. Seorang yang Adil dan Menegakkan Keadilan
Ciri-ciri seorang pemimpin yang seterusnya adalah bersikap adil dan menegakkan keadilan.
Keadilan adalah sangat penting bagi memastikan semua orang mendapat hak mereka. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.
Keadilan dalam kepimpinan akan membawa kepada kestabilan. Ketidakadilan boleh membawa kepada permusuhan dan pemberontakan.
4. Seorang yang Boleh Berkomunikasi dengan Baik
Pemimpin yang bagus juga mestilah seorang yang boleh berkomunikasi dengan baik.
Komunikasi yang baik adalah penting bagi memastikan setiap perancangan syarikat atau organisasi dapat dilaksanakan dengan baik.
Tambahan itu juga, komunikasi yang baik turut bermakna anda boleh mendengar dan mengambil nasihat daripada mereka yang dibawah jagaan anda.
5. Seorang yang Berfikiran Jauh
Pemimpin yang hebat juga merupakan seorang yang berfikiran jauh.
Ciri-ciri ini penting untuk ada pada seorang pemimpin. Hal ini demikian kerana, pemimpin yang berfikiran jauh akan mengambil sesuatu tindakan yang akan mendatangkan manfaat dalam jangka masa panjang.
Selain itu, pemimpin yang berfikiran jauh juga mampu menghasilkan satu perancangan jangka masa panjang yang berkesan untuk organisasi mereka.
6. Seorang yang Berilmu
Pemimpin juga mestilah seorang yang berilmu. Adalah menjadi satu kesilapan besar jika anda memilih pemimpin yang dungu.
Ilmu adalah penting dalam setiap aspek kehidupan. Tanpa ilmu, seseorang itu cenderung untuk melakukan kesalahan dan kemungkaran.
Pemimpin berilmu boleh membuat keputusan yang bernas dan tidak meletakkan organisasi yang dipimpin dalam keadaan yang berisiko.
7. Seorang yang Komited
Seorang pemimpin juga perlu komited dan bersedia untuk bekerja dengan lebih keras berbanding pekerja atau orang di bawah anda.
Pemimpin perlu menjadi contoh yang baik. Pekerja atau orang bawahan anda akan menjadikan anda sebagai rujukan dan mengikut apa yang dilakukan oleh anda.
Jika anda sebagai pemimpin menunjukkan sikap yang bagus seperti bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi, ia sedikit sebanyak akan mendorong pekerja anda untuk melakukan perkara yang sama.
8. Seorang yang Mempunyai Sifat Empati
Ciri-ciri seorang pemimpin yang baik yang berikutnya adalah mempunyai sifat empati.
Pemimpin yang mempunyai sifat empati bermaksud mereka boleh menyelami atau memahami perasaan orang lain.
Ciri-ciri ini penting kerana keputusan yang dibuat oleh seorang pemimpin boleh memberi kesan kepada ramai pihak.
Justeru itu, jika seorang pemimpin mempunyai sifat empati, maka keputusan-keputusan yang dibuatnya juga akan mengambil kira pihak-pihak yang mungkin terjejas.
9. Seorang yang Penyabar dan Tabah
Menjadi seorang pemimpin juga memerlukan kesabaran dan kekal tabah dalam menjalani pelbagai dugaan dan ujian.
Tidak semua yang dirancang akan berjalan seperti yang diharapkan. Maka, anda perlu bersabar dan tidak mudah mengalah.
Sekiranya seorang pemimpin mudah mengalah, maka orang lain yang berada dibawahnya juga akan turut terkesan.
10. Seorang yang Berani
Akhir sekali, seorang pemimpin juga perlulah seorang yang berani.
Pemimpin perlu berani untuk menghadapi segala rintangan yang mendatang, termasuklah mereka yang tidak menyukai pendekatan yang dibawanya.
Pemimpin juga perlu berani menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.