Mengetahui ciri-ciri psikopat boleh membantu anda untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya terdapat orang disekeliling anda mempunyai masalah kesihatan mental ini.
Artikel ini akan membincangkan ciri-ciri psikopat, bagaimana untuk mengenal pasti sekiranya seseorang itu adalah psikopat dan rawatan yang boleh membantu.
Apa itu Psikopat?
Psikopat adalah istilah yang tidak formal yang sering digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental. Walau bagaimanapun, psikopat bukanlah satu diagnosis rasmi. Sebaliknya ia lebih merujuk kepada seseorang yang menghidap kecelaruan personaliti antisosial.
Banyak ciri-ciri psikopati yang mempunyai kesamaan dengan gejala-gejala kecelaruan personaliti antisosial. Tetapi hanya sebilangan kecil individu yang mengalami kecelaruan personaliti antisosial dianggap sebagai psikopat.
Ciri-ciri Psikopat
Tingkah laku psikopatik biasanya sangat berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Ada yang menjadi penjenayah dan ada juga yang menjadi seorang yang berjaya. Semua ini bergantung kepada ciri-ciri atau trait mereka.
Harus diketahui juga, walaupun seseorang itu menunjukkan beberapa ciri psikopat, namun ia tidak bermakna mereka itu menjadi seorang yang psikopat yang sebenar.
Orang yang mempunyai ciri-ciri psikopat tidak semestinya terlibat dalam tingkah laku psikopat. Hanya individu yang mempunyai ciri-ciri psikopat yang juga turut menunjukkan tingkah laku antisosial dianggap sebagai psikopat.
Ciri-ciri atau sifat psikopatik adalah:
- Tingkah laku antisosial
- Narsisisme
- Kurang rasa bersalah
- Kurang rasa empati
- Keimpulsifan
- Sifat tidak berperasaan, tidak beremosi
- Daya tarikan dangkal (luaran sahaja)
Tanda-tanda Psikopat
Ciri-ciri psikopat mungkin muncul semasa zaman kanak-kanak dan bertambah buruk dari semasa ke semasa. Terdapat beberapa tanda yang boleh membantu anda mengenali seseorang yang psikopat.
Antara tanda-tanda psikopat yang paling biasa adalah:
1. Kekurangan Empati
Seorang psikopat sukar untuk memahami perasaan orang lain. Mereka sukar untuk memahami perasaan takut, sedih atau bimbang orang lain.
Bagi mereka, ia tidak masuk akal kerana mereka tidak dapat membaca orang lain. Mereka benar-benar tidak peduli kepada orang yang menderita.
2. Daya Tarikan Dangkal
Psikopat biasanya mempunyai perwatakan atau daya tarikan yang menarik secara luaran sahaja. Mereka biasanya pandai berbicara dan suka berkongsi cerita bagi menunjukkan mereka seorang yang baik atau bagus. Malah, mereka juga boleh membawa perwatakan lucu dan berkarisma.
3. Kurang Penyesalan
Seorang psikopat juga tidak peduli akan bagaimana tindakan atau tingkah laku mereka memberi kesan terhadap orang lain. Mereka mungkin terlupa tentang sesuatu yang menyakiti seseorang atau mereka mungkin berkeras bahawa orang lain bertindak balas secara berlebihan apabila perasaan mereka terluka.
Lebih parah lagi, mereka tidak mempunyai perasaan bersalah apabila menyebabkan kesakitan terhadap orang lain.
4. Manipulatif
Psikopat memang pandai mengajak orang lain melakukan apa yang mereka mahu. Mereka mungkin mempermainkan rasa bersalah seseorang sambil berbohong untuk meminta orang lain melakukan kerja untuk mereka.
5. Suka Berbohong
Psikopat suka berbohong untuk menjadikan mereka kelihatan bagus dan untuk keluar daripada masalah. Mereka juga bercakap bohong untuk menutup pembohongan mereka sebelum ini.
Kadang-kadang, mereka mengalami kesukaran untuk memastikan cerita mereka lurus kerana mereka lupa apa yang mereka katakan.
6. Memerlukan Rangsangan
Psikopat suka keseronokan. Mereka suka melakukan tindakan yang berterusan dalam hidup mereka.
Selalunya, mereka memerlukan rangsangan yang melibatkan pelanggaran peraturan. Mereka mungkin menikmati keseronokan melepaskan diri dengan sesuatu atau mereka mungkin juga menyukai fakta bahawa mereka boleh “tertangkap” pada bila-bila masa.
7. Gaya Hidup Parasit
Seorang psikopat mungkin mempunyai sejarah hidup yang menyedihkan seperti dianiaya oleh orang lain atau mempunyai kehidupan yang sukar. Keadaan ini menyebabkan orang lain kesian atau bersimpati terhadap mereka.
Malangnya, mereka akan mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang tersebut. Mereka menggunakan orang lain untuk mendapatkan apa yang mereka mahu tanpa mempedulikan perasaan orang tersebut.
8. Melakukan Seks Rambang
Psikopat juga suka melakukan seks rambang atau menggunakan seks untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Seks bukanlah satu tindakan emosi atau rasa cinta buat mereka.
9. Masalah Tingkah Laku Pada Awal Usia
Kebanyakan psikopat mempunyai masalah tingkah laku pada awal usia mereka. Mereka mungkin terlibat dengan pelbagai kesalahan pada usia kanak-kanak atau remaja. Contohnya seperti mencuri, vandalisme, poteng sekolah, penyalahgunaan dadah dan keganasan.
Salah laku mereka cenderung meningkat dari semasa ke semasa dan lebih serius daripada salah laku rakan sebaya mereka.
10. Keimpulsifan
Psikopat bertindak balas terhadap sesuatu mengikut perasaan mereka. Mereka tidak berfikir atau menilai tentang risiko atau faedah terhadap pilihan mereka. Sebaliknya, mereka mahukan kepuasan segera.
Justeru itu, mereka mungkin melakukan sesuatu sesuka hati mereka. Contohnya seperti berhenti kerja, berpindah ke tempat baru atau memutuskan hubungan.
11. Tidak Bertanggungjawab
Psikopat juga adalah seorang yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak menerima tanggungjawab untuk masalah dalam hidup mereka. Bahkan, mereka melihat masalah mereka sebagai kesalahan orang lain.
Mereka sering berlakon seperti mereka adalah mangsa dan suka berkongsi cerita tentang bagaimana orang lain telah mengambil kesempatan terhadap mereka.
Rawatan
Terdapat perdebatan sama ada psikopat boleh dirawat atau tidak. Sesetengah pengkaji melaporkan bahawa rawatan tidak membantu. Manakala, terdapat juga pengkaji yang menyatakan rawatan khusus boleh membantu mengurangkan tingkah laku tertentu.
Satu kajian pada tahun 2010 ada melaporkan bahawa rawatan terhadap masalah kesihatan mental ini didapati lebih berkesan terhadap pesakit yang muda (berusia muda) berbanding pesakit dewasa. Ini bermakna rawatan pada peringkat awal lebih berkesan.
Manakala, satu kajian kes melaporkan bahawa pesakit yang menerima terapi (Schema Therapy) menunjukkan penambahbaikkan dalam ciri-ciri psikopat, kognitif dan hasil yang berkaitan risiko.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian masih diperlukan untuk merancang rawatan terbaik untuk gangguan atau masalah kesihatan mental ini.
Ringkasan
Psikopat selalunya menunjukkan ciri-ciri (sifat) atau kelakuan yang dingin, manipulatif, antisosial dan narsisistik. Ciri-ciri atau kelakuan ini mungkin dipengaruhi oleh pengalaman semasa zaman kanak-kanak. Namun, punca sebenar kepada kecelaruan mental ini tidak diketahui sepenuhnya.
Seorang psikopat mungkin menunjukkan sikap atau tanda-tanda seperti ganas, tidak bertimbang rasa, tidak mempunyai perasaan, suka berbohong, mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang dan lain-lain lagi.
Walaupun sesetengah pengkaji percaya bahawa masalah kesihatan mental ini tidak boleh dirawat, tetapi terdapat juga kajian yang menunjukkan sebaliknya.
Rujukan
- Morin, A. (2021). What Is a Psychopath? verywellmind