Bagaimana untuk mengenali orang yang talam dua muka ini? Terdapat ciri-ciri yang boleh dijadikan panduan untuk anda mengenali orang yang talam dua muka. Panduan ini bertujuan supaya anda berhati-hati apabila berurusan dengan golongan seperti ini.
Peribahasa Melayu bagi “talam dua muka” membawa maksud seseorang yang bermuka-muka, bermuka dua atau munafik.
Mengapa golongan talam dua muka ini berbahaya? Hal ini demikian kerana, seseorang yang talam dua muka pandai untuk bermuka-muka dan mudah untuk mendapat kepercayaan dan diberikan amanah.
Malangnya, golongan ini adalah golongan yang suka mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka demi kepentingan peribadi.
Ciri-ciri Orang Talam Dua Muka
Terdapat beberapa ciri yang boleh membantu anda mengenali seorang yang talam dua muka iaitu:
1. Manis mulut
Seorang yang talam dua muka atau bermuka-muka pandai berkata-kata atau dipanggil “mulut manis.”
Golongan ini pandai menabur janji untuk menyakinkan orang terhadap diri mereka.
2. Tiada rasa malu dan simpati
Golongan talam dua muka ini juga mempunyai peribadi yang tiada rasa malu dan simpati. Mereka tidak peduli sekiranya yang dikhianati itu adalah rakan karibnya atau rakan sejawat.
Bahkan ada yang sanggup menganiaya ahli keluarga sendiri demi kepentingan peribadi.
3. Susah menerima teguran
Golongan ini juga adalah jenis yang susah untuk menerima teguran daripada orang lain. Mereka berpandangan apa yang dilakukan mereka itu tidak salah.
4. Pandai berlakon
Golongan talam dua muka ini juga pandai berlakon, berpura-pura seperti mereka mengambil berat atau peduli.
Selain itu, mereka juga akan berlakon menunjukkan kesungguhan untuk sesuatu organisasi atau masyarakat. Hakikatnya, mereka hanyalah bersungguh-sungguh untuk kepentingan diri sendiri.
5. Berdusta
Berdusta atau berbohong adalah kepakaran bagi orang yang talam dua muka. Mereka mudah untuk memperdayakan sesiapa sahaja.
6. Tujuannya ingin melaga-lagakan manusia
Ciri-ciri orang yang talam dua muka yang seterusnya adalah mereka mempunyai tujuan untuk melaga-lagakan orang lain.
Sifat mereka yang manis mulut, pandai berlakon dan pakar berdusta memudahkan untuk mereka melaga-lagakan orang lain.
Tambahan daripada itu, mereka akan mengambil kesempatan atas perbalahan antara dua pihak tersebut.
7. Inginkan pujian manusia dan dipandang mulia
Golongan talam dua muka ini juga suka dipuji dan dipandang mulia oleh orang lain.
Sudah tentu mereka akan melakukan sesuatu untuk dipuji atau dipandang mulia oleh orang lain.
8. Mengkhianati janji dan amanah
Ciri-ciri orang talam dua muka yang berikutnya adalah mengkhianati janji dan amanah yang diberikan kepada mereka.
Mereka adalah golongan yang tidak berpegang pada janji sekiranya mereka berjanji dan mereka akan mengkhinati amanah yang telah diberikan kepada mereka demi kepentingan diri mereka.
Hadith-hadith yang Mengecam Orang Talam Dua Muka
Terdapat beberapa hadith yang menceritakan mengenai kecaman atau hukuman bagi mereka yang mempunyai sifat talam dua muka.
Antaranya adalah:
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seburuk-buruk manusia ialah yang bermuka dua, yang mana dia datang pada suatu kaum dengan muka sekian, dan dengan kelompok yang lain dia bermuka yang lain.” (HR Bukhari dan Muslim)
Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan dalam Kitab Fathul Bari yang bermaksud:
“Dua wajah merangkumi juga orang yang melakukan adu domba (An-Namimah). Ia menjadi orang yang terburuk kerana keadaannya sama dengan orang munafik yang menyelitkan kebatilan dan kedustaan untuk merosakkan manusia.” (Kitab Fathul Bari, 10/475)
Daripada Ammar bin Yassir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang mempunyai dua muka di dunia, maka pada hari kiamat kelak dia akan diberi dua lidah dari api neraka.” (HR Abu Dawud, hadith sahih)
Berbeza Watak Tidak Semestinya Bersifat Talam Dua Muka
Namun, tidak semestinya berbeza watak pada kelompok berlainan bererti kita seorang yang bermuka-muka kerana terdapat tuntutan untuk kita pamerkan sikap yang berbeza sesuai dengan keadaannya dan ini tidak termasuk dalam bermuka-muka seperti yang dicela dalam hadith.
Contohnya:
- Seorang suami, ketika di tempat kerja dia bersikap kepimpinan dan tegas, tetapi ketika bersama keluarga, dia ceria dan banyak berjenaka.
- Seorang penuntut ilmu banyak berbicara dengan rakannya tetapi di depan guru dia banyak berdiam kerana menjaga adab.
Ini semua merupakan sikap terpuji kerana menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perlakukanlah orang lain dengan perlakuan yang sesuai untuk mereka masing-masing.” (HR Abu Daud, hadith sahih)
Doa Supaya Diberikan Akhlak yang Baik
Sama-sama kita amalkan doa ini agar Allah SWT menghiasi diri kita dengan akhlak yang indah:
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukilah aku akhlak yang baik, dan tak ada yang dapat menunjuki akhlak terbaik melainkan Engkau. Dan jauhkanlah aku daripada akhlak yang tercela, kerana tidak ada yang dapat menjauhkanku daripada akhlak tercela melainkan Engkau.” (HR Muslim, hadith sahih)
Penulisan ini bukanlah untuk kita mudah-mudah menilai dan melabel siapa talam dua muka tetapi lebih kepada muhasabah diri adakah kita sendiri mempunyai ciri orang yang berwajah dua? Mudah-mudahan kita dapat jauhi daripada bersikap begini, na’uzubillah