Setiap manusia mempunyai personaliti yang tersendiri. Bidang psikologi mengelaskan ciri-ciri atau trait personaliti manusia kepada Model Lima Faktor. Introversi (introversion) dan ekstroversi (extroversion) adalah salah satu daripadanya. Bagi membantu anda mengenali ciri-ciri personaliti ini, artikel ini menyenaraikan ciri-ciri orang introvert dan extrovert.
Apa itu Introvert dan Extrovert?
Introvert ialah orang yang bersifat suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pada dirinya sendiri, tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar.
Ekstrovert (extrovert) pula ialah orang yang berminat terhadap hal yang berlaku di sekitarnya (di luar dirinya dan tidak mengikut emosi) serta suka bergaul dengan orang lain.
Bagi memudahkan untuk anda mengenali dan membezakan ciri-ciri orang yang introvert dan extrovert, kami sertakan 10 ciri-ciri iaitu 5 ciri-ciri orang introvert dan 5 ciri-ciri orang extrovert.
Ciri-ciri Orang yang Introvert
Anda mungkin tertanya-tanya sama ada adakah anda seorang yang introvert? Atau mungkin anda tertanya-tanya sama ada pasangan atau rakan anda seorang yang introvert?
Penyelidik menggariskan empat domain introversi yang sejajar dengan ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan ciri personaliti ini: [1]
- Sosial: Introvert jenis ini lebih memilih kumpulan orang yang kecil berbanding kumpulan yang ramai. Atau mereka lebih memilih duduk berseorangan.
- Pemikiran: Introvert jenis ini pula cenderung untuk menghabiskan masa dengan berfikir. Mereka adalah kreatif dan mengkaji diri.
- Keresahan: Introvert jenis ini sentiasa berasa gementar atau tidak tenang berada di sekeliling orang semasa interaksi sosial.
- Tersekat laku: Intovert jenis ini cenderung untuk berfikir berlebihan, menghabiskan banyak masa untuk mempertimbangkan keputusan sebelum melakukan apa-apa tindakan.
Walau bagaimanapun, anda mungkin mendapati bahawa ramai introvert yang mempunyai gabungan kualiti antara empat jenis ini.
Berikut adalah beberapa tanda bahawa anda (atau seseorang yang anda kenali) mungkin seorang yang introvert.
1. Terlalu Banyak Bersosial Melemahkan Anda
Adakah anda pernah berasa letih selepas menghabiskan masa dengan ramai orang? Selepas seharian berinteraksi dengan orang lain, adakah anda sering perlu ke tempat yang sunyi dan menghabiskan masa yang panjang untuk diri anda sendiri?
Salah satu ciri utama personaliti introvert adalah anda kehilangan “tenaga” dalam situasi sosial. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna anda tidak suka bersosial langsung. Anda lebih memilih kenalan rapat sahaja.
2. Anda Memerlukan Banyak Masa untuk Diri Sendiri
Seseorang yang introvert juga suka menghabiskan masa untuk diri sendiri melakukan aktiviti yang disukai atau hobi. Meskipun begitu, ini tidak bermakna anda suka menyendiri sepanjang masa.
Selepas seharian melakukan aktiviti sosial, anda mungkin ingin pergi ke tempat yang sunyi untuk berfikir, merenung dan segarkan diri.
3. Orang Mungkin Sukar Mengenali Anda
Introvert sering digambarkan sebagai pendiam dan lembut, dan kadangkala disalah anggap sebagai pemalu.
Jika anda seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap, anda mungkin seorang yang introvert.
4. Anda Mempunyai Sekumpulan Kecil Rakan Karib
Salah satu tanggapan umum tentang introvert yang salah ialah mereka tidak suka orang. Walaupun introvert biasanya tidak suka banyak pergaulan, mereka mempunyai sekumpulan kecil kawan yang mereka rapat.
Orang yang introvert lebih suka berpegang pada hubungan yang mendalam dan berpanjangan yang ditandai dengan keakraban dan keintiman.
Jika lingkungan sosial anda kecil tetapi sangat rapat, ada kemungkinan besar anda seorang yang introvert.
5. Anda Lebih Suka Bekerja Sendirian
Seorang yang introvert lebih memilih untuk bekerja sendirian berbanding dalam kumpulan.
Bekerja mengikut kadar anda sendiri memberi anda masa untuk merenung dan mempertimbangkan pendekatan anda sebelum menumpukan tenaga anda pada tugas.
Sudah tentu, ini tidak semestinya bermakna anda menghadapi masalah untuk bergaul dengan orang lain. Anda mungkin lebih mudah untuk menumpukan perhatian apabila bekerja sendirian.
Ciri-ciri Orang yang Ekstrovert (Extrovert)
Anda mungkin tertanya-tanya adakah anda seorang yang ekstrovert (extrovert)? Ciri-ciri orang yang ekstrovert lebih mudah untuk dikenali.
Mereka mempunyai sifat yang suka bergaul dan bersemangat menarik orang ramai kepada mereka. Dari sisi positif, ekstrovert sering digambarkan sebagai banyak bercakap, mudah bergaul, berorientasikan tindakan, bersemangat, peramah, dan suka bergaul. Di sisi negatif, mereka kadang-kadang digambarkan sebagai pencari perhatian, mudah terganggu, dan tidak dapat menghabiskan masa bersendirian.
Berikut adalah beberapa tanda bahawa anda (atau seseorang yang anda kenali) mungkin seorang yang ekstrovert.
1. Anda Suka Bercakap
Anda bukan sahaja seronok bercakap dengan rakan, ahli keluarga dan rakan sekerja; anda juga suka memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenali.
Anda suka bertemu orang baru dan belajar tentang kehidupan mereka. Orang yang ekstrovert juga mempunyai kenalan yang ramai.
2. Anda Bincangkan Masalah Anda
Ciri-ciri orang yang ekstrovert yang seterusnya adalah suka membincangkan masalah anda dengan orang lain. Apabila anda menghadapi masalah, anda lebih suka membincangkan isu dan pelbagai pilihan dengan orang lain.
Bercakap mengenai masalah tersebut membantu anda meneroka isu ini secara mendalam dan mengetahui pilihan mana yang mungkin paling berkesan.
3. Anda Terinspirasi dengan Bersosial
Adakah anda cenderung untuk berasa “bertenaga” dan terinspirasi selepas anda meluangkan masa bersama orang lain?
Golongan ekstrovert cenderung untuk merasakan interaksi sosial menyegarkan dan mereka sebenarnya mendapat “tenaga” daripada interaksi sosial.
Jika diberi pilihan antara menghabiskan masa bersendirian dan meluangkan masa dengan orang lain, seorang ekstrovert sering memilih untuk meluangkan masa bersama orang lain atau kumpulan.
4. Anda Mesra dan Mudah Didekati
Memandangkan orang yang mempunyai jenis personaliti ini sangat suka berinteraksi dengan orang lain, orang lain cenderung mengenali anda sebagai seorang yang disukai dan mudah didekati.
Ciri-ciri ini menjadikan anda mempunyai ramai kawan dan mudah berjumpa orang baru.
5. Anda Sangat Terbuka
Walaupun introvert kadangkala dianggap tertutup dan menyendiri, ekstrovert biasanya sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi fikiran dan perasaan mereka.
Oleh sebab itu, orang lain secara amnya mendapati anda lebih mudah dikenali.
Rujukan
- Grimes, J. et al. (2011). Four Meanings of Introversion: Social, Thinking, Anxious, and Inhibited Introversion.
- Cherry, K. (2022). 8 Signs You’re an Introvert. verywellmind
- Cherry, K. (2022).5 Personality Traits of Extroverts . verywellmind
- McCabe, K. O., & Fleeson, W. (2012). What is extraversion for? Integrating trait and motivational perspectives and identifying the purpose of extraversion. Psychological science.