Panduan

Ciri-ciri Anak Autisme : Kenali 10 Tanda Ini

Pinterest LinkedIn Tumblr

Autisme atau Kecelaruan Spektrum Autisme adalah kecelaruan yang mempengaruhi komunikasi dan interaksi sosial. Artikel ini akan membincangkan mengenai ciri-ciri anak autisme yang boleh dijadikan rujukan awal untuk ibu bapa.

Setiap kanak-kanak yang mengalami autisme akan menunjukkan simptom atau ciri-ciri yang berbeza-beza. Istilah “spektrum” ini merujuk kepada simptom-simptom dan tahap keterukan penyakit ini yang luas.

Dalam konteks kanak-kanak, terdapat kanak-kanak yang menunjukkan ciri-ciri autisme seawal usia setahun dan ada juga yang membesar secara normal pada tahun pertama tetapi mula menunjukkan simptom autisme pada 18 hingga 24 bulan berikutnya.

Mengenalpasti dan merawat penyakit ini penting bagi meningkatkan kualiti hidup anak autisme ini.

ciri-ciri anak autisme

Secara umumnya, ciri-ciri autisme ini boleh dibahagikan kepada 2 kategori utama iaitu komunikasi dan interaksi sosial serta corak tingkah laku atau aktiviti yang terhad atau berulang-ulang.

Berikut adalah beberapa ciri-ciri anak autisme yang boleh menjadi panduan untuk ibu bapa mengambil tindakan sewajarnya.

Masalah Komunikasi dan Interaksi Sosial

1. Tidak bertindak balas terhadap namanya

Salah satu ciri-ciri anak Autisme ialah mereka tidak bertindak balas apabila dipanggil namanya dan kelihatan seperti tidak mendengar bahawa kita memanggil mereka.

Selalunya pada usia 1 tahun, kanak-kanak normal sudah boleh bertindak balas atau respon setiap kali ibu atau bapanya memanggil namanya. Namun, sebaliknya berlaku bagi kanak-kanak yang menghidap autisme.

Selain itu, ibu bapa akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan perhatian mereka dengan cara memanggil atau menggunakan lisan.

2. Masalah percakapan atau sukar untuk bercakap

Kanak-kanak yang menghidap autisme juga turut mengalami masalah dari segi kemahiran bahasa.

Sekiranya anak anda tidak bercakap pada usia 16 bulan, ini mungkin petanda kepada autisme.

Mereka juga mungkin tidak bercakap banyak sepertimana kanak-kanak yang lain. Biasanya, ibu bapa selalu tersalah tafsir bahawa anak mereka malu.

Ciri-ciri lain yang boleh dikenalpasti ialah kanak-kanak autisme ini menggunakan kata ganti nama yang terbalik. Contohnya, mereka sepatutnya menggunakan “saya” tetapi sebaliknya mereka menggunakan “awak”.

Kanak-kanak autisme ini juga mungkin akan bercakap menggunakan nada suara seperti bernyanyi atau suara robot.

3. Suka bermain seorang diri

Ciri-ciri anak autisme yang seterusnya ialah mereka suka bermain seorang diri berbanding bermain dengan kawan-kawan atau ahli keluarga yang lain. Mereka lebih memilih untuk berada di dunia mereka sendiri.

Ibu bapa juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk menarik perhatian mereka. Contohnya seperti mengajak mereka bermain permainan atau menyanyi bersama-sama.

Mereka juga tidak suka dipeluk atau dipegang dan akan cuba mengelak daripada sentuhan fizikal dengan orang lain.

4. Menggelak pertemuan mata atau ekspresi muka

Ciri-ciri lain bagi kanak-kanak autisme ini juga ialah mereka akan cuba mengelak daripada pertemuan mata (eye contact) dan tidak membuat sebarang ekspresi muka atau membuat ekspresi muka yang tidak sesuai dengan situasi.

Kanak-kanak ini mengalami kesukaran untuk menzahirkan perasaan mereka tidak kira melalui ekspresi muka atau perkataan. Malah, golongan ini turut mengalami kesukaran untuk memahami perasaan orang lain.

5. Cakap sesuatu perkataan berulang-ulang

Kanak-kanak autisme juga suka mengulangi sesuatu perkataan atau frasa secara berulang-ulang. Tetapi mereka tidak memahami bagaimana untuk menggunakan frasa atau perkataan tersebut dengan betul.

Mereka menggunakan ucapan yang dipanggil fiktif (rekaan) untuk menyatakan keperluan atau merujuk kepada individu atau peristiwa.

Sebagai contoh, mereka akan menyatakan “gol!” yang membawa maksud “bermain bola sepak.”

Kelakuan yang Terhad atau Berulang-ulang.

6. Melakukan pergerakan berulang-ulang

Bagi skop tingkah laku atau kelakuan pula, anak autisme ini akan melakukan sesuatu pergerakan secara berulang-ulang.

Contohnya, mereka mengepakkan tangan, menjentik jari, bergoyang ke depan dan ke belakang atau berpusing-pusing secara berulang-ulang kali.

Kelakuan berulang ini boleh berubah secara drastik dari seorang ke seorang yang lain. Ada yang menggunakan perkataan secara berulang-ulang manakala ada yang menunjukkan tindakan fizikal seperti menjentik jari atau mundar-mandir.

7. Tegar terhadap sesuatu rutin

Kanak-kanak autisme juga tegar terhadap sesuatu rutin dan mereka mudah untuk kecewa jika terdapat sedikit perubahan terhadap rutin harian mereka.

Sebagai contoh:

  • Jika mereka biasanya ke sekolah menggunakan jalan A. Tiba-tiba anda mengubah rutin tersebut menggunakan jalan B, ini akan membuatkan mereka kecewa dan bertegas untuk menggunakan jalan A.

Di samping itu juga, mereka juga sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pada jadual atau persekitaran.

Contohnya, mereka akan mengamuk jika anda mengubah susunan perabot atau tempat tidur berbeza daripada kebiasaannya.

8. Mempunyai obsesi terhadap sesuatu objek

Kanak-kanak autisme juga mempunyai obsesi terhadap sesuatu objek.

Contohnya, mereka gemar untuk menyusun objek atau mainan mereka pada satu susunan tertentu.

Selain itu, ibu bapa boleh melihat anak autisme ini mempunyai minat yang luar biasa terhadap alat permainan atau objek seperti kunci, gelang getah atau suis lampu.

Mereka juga boleh dilihat menghabiskan masa yang lama melihat objek bergerak seperti kipas siling yang berputar atau fokus terhadap bahagian yang khusus pada sesuatu objek seperti tayar kereta mainan.

9. Sensitif yang luar biasa

Kanak-kanak autisme mempunyai kepekaan yang luar biasa terhadap cahaya, bunyi, bau atau sentuhan.

Mereka mungkin sangat sensitif terhadap bunyi yang kuat. Tetapi boleh juga tidak responsif terhadap mereka yang keluar masuk atau kepada mereka yang cuba menarik perhatian mereka.

10. Mempunyai corak pergerakan yang ganjil

Ciri-ciri lain yang boleh dilihat bagi anak autisme ialah mereka mempunyai corak pergerakan yang ganjil, masalah dengan koordinasi atau postur badan yang tidak normal.

Mereka kelihatan cemerkap, berjalan menggunakan jari kaki atau mempunyai bahasa badan yang ganjil.

Apa yang Perlu Dilakukan Jika Anak Anda Mempunyai Ciri-ciri Autisme Ini?

Setiap bayi atau kanak-kanak membesar dengan cara mereka sendiri. Bagi anak-anak autisme, mereka memperlihatkan tanda-tanda perkembangan yang tertangguh sebelum usia 2 tahun.

Sekiranya anda mengesyaki atau mendapati anak anda mempunyai ciri-ciri autisme ini, sila dapatkan nasihat doktor.

Ciri-ciri yang berkaitan dengan autisme ini boleh juga disebabkan masalah yang lain.

Sila berjumpa dengan doktor atau mendapatkan ujian perkembangan sekiranya anak anda mengalami kelewatan dari segi percakapan dan interaksi sosial atau menunjukkan ciri-ciri berikut:

  • Tidak bertindak balas terhadap senyuman atau ekspresi gembira sehingga usia 6 bulan.
  • Tidak “babbling” atau “baby talk” sehingga usia 12 bulan.
  • Tidak memberi tindak balas terhadap panggilan namanya sehingga usia 12 bulan.
  • Tidak melambai atau menunjuk dengan jari sehingga usia 14 bulan.
  • Tidak bercakap sehingga usia 16 bulan.
  • Tidak bercakap frasa 2 perkataan sehingga usia 24 bulan.
  • Hilang skil sosial atau bahasa pada sebarang peringkat umur.

Rumusan

Harus diingat bahawa walaupun anak anda mempunyai satu atau dua ciri-ciri ini, tidak semestinya mereka mempunyai kecelaruan spektrum autisme. Kecelaruan spektrum autisme didiagnos berdasarkan kehadiran banyak simptom atau ciri-ciri yang menyebabkan gangguan terhadap keupayaan seseorang itu untuk berkomunikasi, bermain, belajar atau membina hubungan.

Rujukan