Panduan

7 Cara Untuk Menghadapi Keresahan Akibat Coronavirus

Pinterest LinkedIn Tumblr

Pandemik COVID-19 sememangnya membawa satu impak yang besar kepada manusia di seluruh dunia. Tidak kira dari segi emosi, ekonomi dan juga gaya hidup masyarakat. Keadaan ini sememangnya akan membawa kebimbangan serta keresahan akibat coronavirus ini.

Ada antara kita yang hilang punca pendapatan. Ada juga yang kehilangan pekerjaan akibat sekatan-sekatan yang terpaksa dikenakan oleh pihak kerajaan. Ada juga yang mengalami tekanan, keresahan dan berasa kesunyian akibat penjarakan fizikal dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Keresahan akibat coronavirus ini adalah perkara biasa dan boleh berlaku kepada semua orang. Apa yang penting adalah menanganinya sebaik mungkin bagi mengelakkan ia membawa kesan buruk.

keresahan akibat coronavirus

7 langkah ini boleh dicuba bagi mengurang atau menghilangkan keresahan, kebimbangan atau rasa takut yang dialami akibat coronavirus ini.

1. Melihat haiwan atau pemandangan hijau

Melihat teletah haiwan dan pemandangan tumbuhan-tumbuhan terutamanya tumbuhan hijau boleh menenangkan fikiran dan hati yang resah.

Sekiranya anda mempunyai haiwan peliharaan, bermain dengan haiwan peliharaan boleh mengalihkan perasaan bimbang atau resah daripada terus menghantui diri anda.

Selain itu, permandangan tumbuhan-tumbuhan hijau disekeliling rumah juga boleh dimanfaatkan untuk dijadikan sumber untuk menenangkan fikiran dan jiwa.

Sekiranya anda tidak mempunyai semua itu, anda masih boleh melihat teletah haiwan dan pemandangan alam semulajadi melalui siaran lansung di Explore.org.

Aktiviti-aktiviti seperti ini boleh sedikit sebanyak mengurangkan rasa resah akan pandemik yang berlaku.

2. Kekal berhubung dengan keluarga dan kawan-kawan

Walaupun tidak dapat bersua muka atau berkumpul secara beramai-ramai. Ini tidak bermakna anda tidak boleh terus kekal berhubung dengan ahli keluarga atau kawan-kawan.

Teknologi canggih masa kini membolehkan anda berhubung melalui panggilan telefon, panggilan video atau media sosial.

Dengan terus kekal berhubung dengan orang lain, sedikit sebanyak boleh mengurangkan keresahan dan kesunyian yang berlaku.

3. Membaca Al-Quran

Bagi orang Islam, Al-Quran adalah ubat kepada jiwa. Jiwa yang gundah-gulana dan jiwa yang resah dapat ditenteramkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Selain membaca, anda juga boleh mendengar bacaan-bacaan ayat Al-Quran secara atas talian seperti melalui platform Youtube.

4. Dapatkan tidur yang cukup

Tidur yang cukup bukan sahaja penting untuk tubuh badan malah turut penting untuk emosi seseorang itu. Kajian yang dijalankan juga turut mendapati keresahan akibat coronavirus menyebabkan gangguan tidur dalam kalangan peserta yang terlibat.

Selain itu, tidur yang mencukupi juga penting untuk menyokong sistem pertahanan badan.

5. Hindari berita palsu

Adalah penting untuk kekal mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai apa yang berlaku dalam komuniti kita. Tetapi masalah berita palsu yang mudah tersebar melalui media sosial seperti di Facebook atau Whatsapp boleh mendatangkan keresahan yang tidak perlu.

Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan berita-berita mengenai coronavirus dan langkah-langkah tindakan daripada kerajaan daripada sumber yang sahih seperti daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan WHO.

6. Luahkan apa yang anda bimbangkan

Kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan adalah antara isu yang paling banyak didengari semasa pandemik coronavirus ini.

Adalah OK untuk menceritakan masalah atau kebimbangan yang anda alami kepada ahli keluarga atau rakan karib. Sekiranya tindakan ini tidak membantu, anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada badan-badan yang menyediakan perkhidmatan kaunseling atau nasihat seperti befrienders.

Pihak kerajaan juga ada menyediakan bantuan-bantuan untuk rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik ini seperti Bantuan Prihatin Nasional dan PENJANA.

7. Membantu orang lain

Membantu orang lain yang memerlukan sebenarnya dapat membuat anda lebih gembira dan bersyukur dengan nikmat yang dinikmati. Secara tidak langsung ia dapat menghilangkan kebimbangan atau keresahan yang menghantui diri anda.

Dengan mengamalkan ‘norma baru’, sertailah badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi-misi untuk membantu mereka yang susah dan terkesan teruk akibat pandemik coronavirus ini.

Selain membantu dari segi tenaga dan masa, anda boleh juga membantu dari segi wang ringgit ataupun sumbangan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Konklusi

Semua orang terkesan akan impak pandemik coronavirus ini. Ia telah menyebabkan panik di seluruh dunia dan sudah tentu mengundang rasa resah dalam diri kita.

Apa yang penting adalah bagaimana kita menguruskan keresahan tersebut. Adalah penting untuk mengekalkan emosi dan mental pada landasan yang betul.

7 cara ini boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan seseorang itu terjerumus dalam keresahan yang teruk sehingga membahayakan diri mereka sendiri.

Rujukan