Jika selama ini anda menghukum diri anda dengan berasa rendah diri, kini tibalah masa untuk anda berubah. Ketahui cara tingkatkan keyakinan diri berdasarkan perkongsian daripada pakar motivasi, Dr. Fadzilah Kamsah ini.
Mungkin ramai yang berasa kurang keyakinan diri atau berasa rendah diri. Mungkin disebabkan kekurangan atau perbezaan yang terdapat pada diri masing-masing.
Sebenarnya, anda silap! Setiap manusia adalah unik! Allah SWT mencipta setiap manusia itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apa yang penting adalah individu tersebut mengenali potensi dirinya dan berusaha menjadi lebih baik.
Usah berlengah lagi, jom tingkatkan keyakinan diri melalui cara-cara yang diajar oleh Dr. Fadzilah Kamsah ini:
1. Mengenali Diri Sendiri
Untuk mempunyai keyakinan diri, adalah penting untuk seseorang itu mengenali diri mereka sendiri.
Hal ini demikian kerana, jika anda mengenali diri sendiri, tahu potensi sebenar dan halatuju yang ingin dicapai, anda tidak memerlukan orang lain untuk menentukan sama ada apa yang kamu buat itu betul atau tidak.
2. Berusaha Mendapatkan Keyakinan Diri
Keyakinan diri tidak akan datang dengan sendirinya. Sebaliknya, anda perlu berusaha untuk mendapatkannya.
Ini bermakna, berdiam diri tidak akan menjadikan anda seorang yang mempunyai keyakinan diri.
Tetapi, berusaha dengan melakukan perkara-perkara yang membantu anda mendapatkan keyakinan diri akan membuatkan anda menjadi seorang yang tabah dan yakin pada diri sendiri.
3. Bersabar Menghadapi Dugaan
Sudah semestinya perjalanan yang akan diharungi itu akan penuh dengan cabaran dan dugaan. Apa yang penting adalah anda bersabar menghadapi segala cabaran dan dugaan tersebut.
Ingatlah, Allah SWT ada untuk membantu mempermudahkan urusan anda. Berdoalah kepada-Nya untuk membantu anda.
Teruskan berusaha dan jangan terpengaruh dengan orang di sekeliling.
4. Tidak Mempedulikan Kata Orang
Keyakinan bukannya ‘mereka akan suka aku’ tetapi keyakinan sebenar adalah, ‘sungguhpun mereka tidak suka aku, aku tetap okay sahaja.’
Jangan mempedulikan kata-kata negatif orang sekeliling. Mereka lebih suka melihat anda jatuh daripada anda berjaya.
5. Bebaskan Diri Daripada Belenggu “Apa Orang Fikir”
Cara tingkatkan keyakinan diri yang seterusnya adalah bebaskan diri anda daripada belenggu ‘apa orang fikir?’
Sekiranya anda terbelenggu dengan ‘apa orang fikir’, anda mungkin tidak kemana-mana. Anda mungkin gagal untuk melakukan perubahan diri.
Dunia media sosial sekarang penuh dengan orang-orang yang suka mengherdik, menghina atau merendah-rendahkan orang lain.
Elakkan terperangkap dalam jerat ini jika anda ingin menjadi seorang yang lebih baik.
6. Buang Fikiran Negatif
Membina keyakinan diri memerlukan anda membuang pemikiran negatif yang menjadi ‘musuh’ utama di dalam minda anda.
Pilihlah untuk kekal positif dan optimis.
7. Raikan Kejayaan
Cara yang berikutnya adalah meraikan kejayaan yang anda kecapi setiap hari tidak kira kejayaan itu kecil atau besar.
Dengan cara ini, anda akan mendapat lebih semangat dan mendapat motivasi baru untuk mengekalkan perubahan yang dilakukan.
8. Jangan Biarkan Hubungan Toksik Mengubah Diri Anda
Sesetengah orang mungkin pernah mengalami hubungan toksik pada masa lalu mereka. Hubungan toksik ini mungkin menyebabkan mereka berasa rendah diri.
Sekiranya anda turut mengalami situasi yang sama, apa yang perlu dilakukan adalah melupakan pengalamam tersebut dan terus maju ke hadapan.
Jangan biarkan pengalaman tersebut membentuk peribadi anda.
9. Katakan Kata-kata Positif Ini
Katakan kata-kata positif ini dihadapan diri sendiri dengan lantang (sambil berdiri):
- Aku tenang!
- Aku kuat!
- Aku berdisiplin!
- Aku yakin aku boleh!
- Aku hebat!
- Aku unik!
- Aku boleh buat semua perkara hebat!
Mulai hari ini, jangan pernah merendahkan diri sampai menghukum diri. Allah jadikan kita ini unik, penuh kekuatan dan potensi yang bermanfaat untuk dunia.
Jangan pernah kecilkan potensi diri dan jangan biarkan orang sekeliling membuli kita untuk kepentingan mereka. Bangkit! Jadi orang berbeza hari ini!