Solat hajat atau solat sunat hajat adalah solat sunat yang didirikan sekiranya seseorang mempunyai sebarang permintaan atau ingin menolak sesuatu keburukan. Artikel ini menyediakan cara solat hajat berserta doa sebagai satu panduan untuk anda.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua rakaat.”
Riwayat At-Tirmizi
Dalil lain yang membincangkan mengenai solat sunat hajat adalah seperti berikut.
Daripada Abdullah Ibn Abi Awfa Al-Aslami r.a beliau berkata: Rasulullah SAW pada suatu hari telah keluar menuju ke arah kami lalu bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat lalu dia membaca:
Maksudnya: Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.
Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan.
Hadis Riwayat Ibn Majah (Rujukan)
Waktu Solat Hajat
Waktu untuk menunaikan solat hajat ini pula boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang dilarang.
Adalah lebih afdal untuk mendirikan solat sunat ini bersendirian pada waktu malam iaitu pada dua per tiga (2/3) malam.
Suasana pada waktu ini lebih sunyi dan boleh mendatangkan khusyuk.
Cara Menunaikan Solat Hajat
Sembahyang sunat hajat didirikan sebanyak dua rakaat dengan satu salam. Sembahyang ini boleh didirikan seorang diri atau secara berjemaah.
1. Niat
Lafaz niat solat sunat hajat adalah:
2. Rakaat Pertama
Membaca Surah Al-Fatihah (1 kali)
Kemudian, diikuti surah al-Kafirun sebanyak 7 kali.
atau boleh juga membaca ayat al-Kursi sebanyak 1 kali.
Kemudian, rukuk dan sujud seperti biasa.
3. Rakaat Kedua
Membaca surah al-Fatihah sebanyak 1 kali.
Kemudian, diikuti surah al-Ikhlas sebanyak 5 kali.
Kemudian, rukuk, sujud dan tahiyyat akhir.
Setelah memberi salam, bacalah zikir-zikir berikut:
a) Istighfar (sebanyak mungkin)
b) Selawat (sebanyak 10 kali)
4. Doa Solat Hajat
Kemudian, bacalah doa mengikut hajat apa yang dipinta (boleh dalam bahasa Melayu) dengan diawali dengan selawat ke atas nabi Muhammad SAW dan diakhiri dengan selawat ke atas nabi Muhammad SAW.
Boleh juga membaca doa berikut:
Maksudnya: “Tidak ada tuhan melainkan Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Pemurah, Maha Suci Allah, Tuhan Empunya Arash yang besar. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Aku bermohon kepada-Mu segala yang mewajibkan rahmat-Mu dan segala yang menjamin keampunan-Mu, mendapatkan keuntungan dari segala kebaikan dan selamat dari segala dosa. Janganlah Engkau biarkan adanya dosa pada diriku melainkan Engkau ampunkanlah dan jangan biarkan adanya kesusahan melainkan Engkau lepaskannya dan jangan biarkan adanya hajat yang Engkau meredainya melainkan Engkau makbulkannya wahai yang maha Pengasih di antara yang mengasihi.”
Kemudian, mintalah sebarang hajat yang berbentuk kebaikan yang dikehendaki. Seterusnya, tutuplah doa ini dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.