Kemurungan adalah kecelaruan mental yang lazim berlaku. Kesedihan atau kemurungan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang mengalami satu peristiwa besar dalam hidup mereka seperti kematian, penceraian, cabaran hidup dan sebagainya. Bermotivasi tinggi boleh membantu seseorang itu keluar daripada kemurungan, bagaimana cara meningkatkan motivasi tatkala mengalami kemurungan?
Artikel ini menyediakan panduan bagaimana cara untuk meningkatkan motivasi ketika anda mengalami kemurungan.
Kemurungan biasanya bersifat sementara, tetapi sekiranya seseorang itu mengalami kemurungan yang berterusan dan rasa sedih yang kuat pada satu masa yang lama mungkin mengalami kecelaruan kemurungan.
Simptom-simptom kemurungan boleh menjadi ringan atau teruk. Ia juga boleh berlaku secara kronik atau boleh berlaku secara berepisod. Antara simptom-simptom atau gejala kemurungan adalah:
- Kurang berminat dengan aktiviti yang biasanya disukai
- Tidak cukup tidur atau terlebih tidur
- Kurang selera makan atau makin kuat makan
- Rasa penat, tidak bertenaga atau kelesuan
- Sukar untuk memberi tumpuan
- Berfikir untuk membunuh diri
Panduan ini mungkin kelihatan sukar pada peringkat awal, tetapi jika anda sudah biasa dengannya anda mungkin tidak lagi merasakan bahawa ia adalah satu bebanan.
Sebagai permulaan, tetapkan satu matlamat yang kecil dan boleh diuruskan. Apabila anda sudah mencapainya, anda boleh menambah matlamat yang lain sehinggalah anda mencapai semua matlamat yang anda idamkan.
Berikut adalah beberapa cadangan atau cara untuk meningkatkan motivasi yang boleh anda cuba.
1. Bersiar-siar
Bersiar-siar, berjoging atau berlari adalah senaman yang boleh membuatkan badan anda menghasilkan hormon endorfin iaitu hormon yang membuatkan anda berasa gembira.
Bersenam selama 35 minit sehari, 5 hari seminggu boleh mengurangkan simptom-simptom kemurungan.
Satu kajian mendapati senaman aerobik selama 4 minggu boleh mengurangkan simptom-simptom kemurungan.
2. Hindari Kenegatifan
Melayari media sosial, membaca berita atau bercakap dengan orang yang mempunyai pemikiran negatif boleh meninggalkan kesan terhadap mood dan motivasi anda.
Elakkan daripada melakukan aktiviti ini ketika anda mengalami kemurungan atau tidak bermotivasi. Sebaliknya, anda boleh menggantikan aktiviti ini dengan membaca buku yang mendatangkan semangat atau motivasi dan bercakap dengan mereka yang kaya dengan aura positif.
3. Mulakan Pagi dengan Positif
Mulakan pagi anda dengan positif. Elakkan bermalas-malasan atau membiarkan rasa tidak bermaya mengawal diri anda daripada terus ceria dan cergas pada hari tersebut.
Anda boleh menampal poster atau nota positif yang mudah untuk diliihat semasa anda bangun daripada tidur setiap hari.
Contohnya seperti “Never give up!“, “Yes, you can do it“, atau “Ia selalu kelihatan mustahil sehingga ia dilakukan”.
Minda yang menghadam kata-kata atau aura positif ini menjadikan anda seorang yang positif.
4. Hargai Diri Sendiri
Cara untuk meningkatkan motivasi anda yang seterusnya adalah menghargai diri sendiri.
Setiap orang pasti ada kekurangan. Maka, sekiranya anda hanya mampu untuk menyempurnakan hanya beberapa tugasan atau pekerjaan, ia tidak mengapa.
Ucapkan tahniah pada diri anda setiap kali anda menyempurnakan tugasan atau mencapai matlamat anda. Anda juga boleh memberikan ganjaran kepada diri anda. Ini boleh membantu anda terus bersemangat, bermotivasi dan yakin diri.
5. Kekal dengan Satu Rutin
Panduan yang seterusnya adalah kekal dengan satu rutin. Senaraikan rutin harian anda dan lekatkan ditempat yang mudah untuk anda akses. Setiap kali anda menyiapkan satu tugasan, tandakan.
Aktiviti ini boleh mendatangkan rasa sejahtera dan memberi anda inspirasi untuk menyasarkan matlamat yang lebih tinggi setiap hari.
Anda juga boleh menulis diari sebagai salah satu rutin harian anda. Diari boleh menjadi tempat untuk anda menguburkan pemikiran negatif dan memberi ruang kepada pemikiran positif.
6. Bersosial
Pilih perhubungan yang positif, galakkan orang ramai untuk bersosial dengan anda apabila anda bersedia untuknya dan beri peluang untuk diri anda menjadi sukarelawan.
Membantu seseorang yang memerlukan akan meningkatkan mood anda dan meningkatkan motivasi anda untuk bangun dari katil pada keesokan harinya.
7. Dapatkan Tidur yang Cukup
Kemurungan boleh meletihkan secara fizikal. Tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit menjejaskan mood anda. Dapatkan tidur yang cukup iaitu 7-8 jam sehari boleh membuatkan anda berasa lebih baik.
Ringkasan
Kurangnya motivasi adalah salah satu simptom kepada kemurungan walaupun ia boleh juga disebabkan oleh perkara lain.
Jika kemurungan menjadi punca kepada kekurangan motivasi anda, anda mungkin mendapati tahap motivasi anda secara langsung berkaitan dengan perasaan tertekan yang anda rasakan. Jika anda atau orang tersayang berasa kurang bermotivasi kerana kemurungan, terdapat cara untuk membantu memperbaiki keadaan tersebut.
Ia mungkin kelihatan sukar pada mulanya, tetapi kegigihan akan membantu meningkatkan motivasi dan anda akan mendapati bahawa dari masa ke masa ia menjadi lebih mudah untuk bangun dan melakukan sesuatu.