Keyakinan diri boleh ditafsirkan sebagai kepercayaan terhadap keupayaan, kualiti dan pertimbangan diri. Keyakinan diri penting untuk kesihatan dan kesejahteraan psikologi. Sesetengah orang mungkin mengalami masalah kekurangan keyakinan diri. Jadi, bagaimana cara untuk meningkatkan keyakinan diri?
Artikel ini mengulas dengan lebih lanjut mengenai cara untuk meningkatkan keyakinan diri sebagai satu panduan untuk anda yang berasa kurang keyakinan diri.
Dalam dunia ini, semua orang ingin berjaya dalam hidup mereka. Tetapi, tidak semua orang mempunyai kekuatan atau keyakinan untuk mengapai kejayaan tersebut. Ramai yang mempunyai keyakinan diri yang rendah, mereka menganggap diri mereka lemah dan tidak mampu untuk melakukan sesuatu.
Untuk menjadi seorang yang hebat dan berjaya, adalah penting untuk yakin dengan diri sendiri. Keyakinan diri boleh membantu anda kekal berdaya saing dan bertahan walau apa jua rintangan yang mendatang.
Jom tingkatkan keyakinan diri anda dengan tips dan panduan yang disenaraikan ini.
1. Berhenti Membandingkan Diri Anda dengan Orang Lain
Membandingkan diri anda dengan orang lain adalah bukan perkara yang sihat.
Tidak kira sama ada anda membandingkan paras rupa, gaji, kekayaan atau harta benda secara fizikal atau melalui media sosial.
Sekiranya, anda sering berbuat demikian. Maka, tiba masanya untuk anda berhenti.
Malah, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Personality and Individual Differences mendapati terdapat perkaitan langsung antara iri hati dengan harga diri anda.
Mereka yang suka untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain akan berasa iri hati. Kesannya, iri hati ini menyebabkan mereka berasa diri mereka adalah teruk.
2. Jauhi Kenegatifan dan Bawa Kepositifan
Seterusnya, apa yang perlu anda melakukan adalah menyemak kembali dengan siapa anda bergaul dan adakah orang disekeliling anda mendatangkan kesan positif atau negatif kepada anda.
Salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan diri adalah mempunyai pemikiran yang positif. Untuk menjadi seorang yang positif, anda juga harus mempunyai rakan-rakan atau ahli keluarga yang bersikap positif.
Hindari golongan yang penuh dengan pemikiran dan tanggapan negatif kerana golongan ini boleh membuatkan anda berasa sedih dan mengikis keyakinan diri anda.
3. Jaga Diri Anda
Sukar untuk anda berasa bagus tentang diri sendiri jika anda sering menzalimi diri anda. Sekiranya anda menjaga diri anda dengan baik, kesan positif pasti akan dirasai oleh minda, badan dan juga roh anda.
Amalkan penjagaan diri seperti berikut untuk meningkatkan keyakinan diri anda.
- Pemakanan: Amalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Pemakanan yang sihat boleh membuatkan anda lebih bertenaga, berasa lebih sihat dan kuat.
- Senaman: Senaman yang berterusan baik untuk keyakinan diri anda. Senaman secara tidak langsung memberikan bentuk badan yang cantik. Bentuk badan yang cantik boleh meningkatkan keyakinan diri.
- Tidur: Tidur yang mencukupi juga penting untuk emosi anda. Tidur yang cukup dan berkualiti dapat meningkatkan tumpuan dan produktiviti anda.
4. Ubah Bahasa Gerak-geri dan Imej
Bahasa gerak-geri (body language) dan imej turut memainkan peranan terhadap keyakinan diri seseorang.
Postur, senyuman, hubungan mata dan percakapan boleh menjadi indikator akan perwatakan seseorang, sama ada mereka mempunyai keyakinan diri atau tidak.
Hanya tindakan mudah seperti berdiri tegak semasa bercakap memberi gambaran kepada orang lain bahawa anda seorang yang yakin.
Begitu juga dengan senyuman, senyuman bukan sahaja akan membuatkan anda berasa lebih baik, tetapi akan membuatkan orang lain berasa lebih selesa di sekeliling anda. Bayangkan seseorang dengan postur yang baik dan senyuman, anda akan kelihatan seperti seorang yang mempunyai keyakinan diri.
5. Hadapi Rasa Takut
Salah satu cara untuk membina keyakinan diri adalah dengan menghadapi ketakutan.
Berlatih menghadapi ketakutan yang berpunca daripada kurangnya keyakinan diri. Jika anda takut memalukan diri sendiri atau berfikir anda akan merosakkannya, cubalah juga. Beritahu diri sendiri bahawa ia hanya percubaan dan lihat apa yang terjadi.
Anda akan berasa lebih yakin diri setelah anda mencuba melakukan apa yang ditakuti sebelum ini (walaupun ia tidak sempurna). Ini akan memberikan keyakinan untuk anda melakukan perkara tersebut pada masa akan datang.
6. Amalkan Kata-kata Positif Kepada Diri
Mengamalkan kata-kata positif kepada diri boleh membantu anda memupuk belas kasihan kepada diri, mengatasi keraguan dan menghadapi cabaran baru.
Bercakap kepada diri sendiri secara positif boleh mengikis pemikiran atau tanggapan negatif yang sering menyerang minda anda setiap kali ingin melakukan perkara baru atau yang sukar untuk dilakukan.
Antara contoh kata-kata positif yang boleh anda amalkan adalah:
- “Aku boleh melakukannya” atau “Apa yang perlu aku lakukan adalah mencuba.”
- “Aku boleh buat lebih baik pada masa akan datang” atau “Sekurang-kurangnya aku dapat mempelajari sesuatu.”
- “Belum cuba, belum tahu.”
Ringkasan
Semua orang pasti akan melalui isu keyakinan diri dari semasa ke semasa. Tetapi apa yang penting ialah melawan rasa tidak yakin diri itu dengan melakukan perkara-perkara yang boleh membantu meningkatkan keyakinan diri.
Dalam kebanyakan kes, mempelajari cara bagaimana untuk bertindak yakin sebenarnya boleh membantu anda berasa lebih yakin.