Selari dengan peningkatan usia, ingatan atau memori manusia turut merosot. Sehingga kepada satu tahap, ia boleh menjejaskan kehidupan harian. Meskipun begitu, terdapat cara yang boleh membantu meningkatkan ingatan atau memori ini.
Menariknya, otak manusia boleh berubah dan mengembangkan sambungan saraf baru setiap hari, walaupun pada usia tua. Konsep ini dikenali sebagai “neuroplasticity.”
Melalui penyelidikan berkenaan neuroplasticity, para saintis telah mendapati bahawa kapasiti ingatan manusia tidak tetap, tetapi agak mudah dibentuk seperti plastik.
Untuk memanfaatkan sepenuhnya neuroplasticity, anda perlu melatih otak anda dan menjaga badan anda.
Berikut adalah beberapa cara untuk meningkatkan ingatan yang boleh anda amalkan:
1. Belajar Sesuatu yang Baharu
Seperti otot anda, ingatan juga memerlukan latihan atau digunakan untuk lebih kuat. Tetapi anda tidak boleh mengangkat berat yang sama setiap hari dan mengharapkan untuk menjadi lebih kuat.
Apa yang perlu anda lakukan untuk meningkatkan ingatan atau memori anda adalah dengan kerap mencabar minda anda.
Belajar sesuatu yang baru atau kemahiran yang baru adalah salah satu cara terbaik untuk menguatkan kapasiti memori otak anda.
Terdapat banyak aktiviti yang boleh dipilih, tetapi apa yang paling penting adalah anda perlu mencari sesuatu yang memaksa anda keluar dari zon selesa dan memerlukan perhatian penuh anda.
Contohnya seperti:
- Bermain catur dan Sudoku
- Belajar bahasa baru
- Belajar peralatan baru
- Menghasilkan tembikar
2. Ulang dan Hafal
Apa-apa maklumat baru yang anda belajar, anda akan lebih mengingatinya sekiranya anda mengulang-ulanginya sehingga menghafalnya.
Pengulangan menguatkan hubungan yang kita cipta antara neuron. Ulang apa yang anda dengar dengan kuat. Cuba gunakannya dalam bentuk ayat. Tulis dan baca dengan kuat.
Walau bagaimanapun, proses ini tidak terhenti di situ. Anda perlu menguji hafalan yang telah anda lakukan dengan mendapatkan semula maklumat tanpa melihat di mana anda menulisnya.
3. Membiarkan Diri Anda Sibuk
Mempunyai jadual yang padat boleh mengekalkan ingatan episodik anda.
Terdapat kajian yang mengaitkan jadual yang oadat dengan fungsi kognitif yang lebih baik. [1]
4. Makan Makanan yang Berkhasiat
Pengambilan makanan yang berkhasiat adalah salah satu cara yang boleh meningkatkan ingatan.
Makanan yang berkhasiat seperti melalui diet DASH dan diet Mediterranean boleh membantu meningkatkan ingatan dan mengurangkan risiko kepada penyakit Parkinson dan Alzheimer.
Diet-diet ini menumpukan kepada makanan-makanan seperti:
- Makanan berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran hijau
- Bijian penuh
- Kekacang
- Herba dan rempah
- Minyak sihat seperti minyak zaitun
- Ikan terutamanya ikan berlemak seperti ikan sardin atau ikan kembung
- Ayam atau itik
Menariknya, terdapat kajian yang melaporkan bahawa pengambilan ikan boleh memperlahankan kemerosotan kognitif dalam kalangan mereka yang telah berusia. [2]
5. Elakkan Makanan yang Kurang Menyihatkan
Selain itu, cara meningkatkan ingatan yang berikutnya adalah mengehadkan atau mengelakkan sesetengah makanan yang boleh menjejaskan ingatan atau otak. Antaranya adalah:
- Gula
- Makanan diproses
- Garam
- Makanan bergoreng
- Mentega
- Keju
Gula dan lemak telah didapati boleh menjejaskan ingatan atau memori manusia.
Kajian terkini mendapati pemakanan yang tinggi dengan lemak dan gula boleh melemahkan ingatan yang bergantung kepada hipokampus. [3]
6. Aktif Secara Fizikal
Slogan “Badan Sihat Otak Cerdas” ada benarnya.
Mempunyai badan yang sihat melalui senaman atau aktiviti fizikal boleh memberikan kebaikan kepada otak termasuklah ingatan.
Senaman atau aktiviti fizikal boleh meningkatkan penghantaran oksigen dan nutrien ke badan, dan membantu mencipta sel-sel baru dalam otak yang penting untuk penyimpanan ingatan.
Terdapat banyak pilihan senaman termasuklah yang paling mudah iaitu berjalan.
7. Menikmati Keindahan Alam Semula Jadi
Menikmati keindahan alam semula jadi bukan sahaja baik untuk emosi, bahkan juga untuk ingatan anda.
Menikmati alam semula jadi boleh dianggap satu meditasi yang baik untuk mengurangkan tekanan kepada emosi serta memulihkan keadaan kesihatan mental anda.
Satu kajian oleh pengkaji dari University of Michigan mendapati bahawa berjalan di taman boleh menambah baik memori (ingatan) dan tumpuan berbanding berjalan di bandar. [4]
8. Gunakan Semua Deria
Cara meningkatkan ingatan yang berikutnya adalah dengan menggunakan semua deria bagi membantu mengekalkan maklumat.
Jangan hanya bergantung kepada satu deria untuk mengekalkan maklumat. Sebaliknya, kaitkan maklumat yang ingin disimpan atau dikekalkan dengan deria lain seperti rasa, bau atau warna.
9. Kurangkan Bergantung Kepada Teknologi
Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi banyak membantu kerja-kerja manusia. Tetapi, teknologi juga boleh menjejaskan ingatan manusia sekiranya terlalu bergantung kepadanya.
Sebagai contoh, anda terlalu bergantung kepada GPS setiap kali anda memandu.
Kajian mendapati terlalu bergantung kepada teknik tindak balas seperti GPS untuk pandu arah boleh mengecutkan bahagian otak yang dipanggil hipokampus. [5]
Hipokampus adalah bahagian otak yang bertanggungjawab kepada memori ruang dan membawa informasi daripada memori jangka pendek kepada memori jangka panjang.
Hipokampus yang tidak sihat dikaitkan dengan demensia (nyanyuk) dan kemerosotan ingatan.
10. Kekal Teratur
Seorang yang teratur atau tersusun lebih mudah untuk mengingati.
Senarai semak adalah satu alat yang baik untuk pengaturan. Menulis senarai semak anda secara manual (bukannya melakukannya secara elektronik) juga meningkatkan kemungkinan anda akan mengingati perkara yang telah anda tulis.
Rujukan
- Festini Sara B. et al. (2016). The Busier the Better: Greater Busyness Is Associated with Better Cognition. Frontiers in Aging Neuroscience.
- Morris, M. C. et al. (2005). Fish consumption and cognitive decline with age in a large community study. Archives of neurology.
- Atak, S. et al. (2023). High-fat-sugar diet is associated with impaired hippocampus-dependent memory in humans. Physiology & behavior.
- Berman, M. G. et al. (2008). The cognitive benefits of interacting with nature. Psychological science.
- Konishi, K., & Bohbot, V. D. (2013). Spatial navigational strategies correlate with gray matter in the hippocampus of healthy older adults tested in a virtual maze. Frontiers in aging neuroscience.