Bagaimana cara untuk mengekalkan tahap motivasi diri? Selalunya, pada peringkat permulaan ramai yang bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk mencapai matlamat yang telah sasarkan.
Tetapi, lama-kelamaan motivasi ini akan beransur-ansur hilang serta anda akan mula berasa tidak bersemangat untuk melakukan sesuatu.
Maka, sudah tentu anda perlu melakukan sesuatu bagi mengekalkan motivasi diri anda. Oleh itu, artikel ini menyenaraikan beberapa cara untuk mengekalkan motivasi diri yang boleh anda amalkan.
Kunci utama untuk mengekalkan motivasi diri adalah mengekalkan momentum diri. Motivasi anda akan hilang jika momentum anda hilang.
Jadi, adalah penting untuk terus mengekalkan momentum ini dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:
1. Jangan Biarkan Sehari Tanpa Melakukan Sesuatu
Apabila anda terasa bersemangat dan bermotivasi untuk memulakan sesuatu, misalnya seperti perniagaan atas talian. Lakukan dengan serta-merta dan jangan berhenti.
Jangan biarkan sehari tanpa melakukan sesuatu untuk perniagaan atas talian tersebut.
Sekiranya anda berhenti, momentum akan menurun. Apabila momentum menurun, motivasi juga akan turut menurun dan hilang.
2. Memikir dan Menulis Nota serta Idea
Kadangkala ada masanya anda terpaksa berhenti mungkin selama beberapa hari atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Jadi, bagaimana cara untuk mengekalkan motivasi diri ketika ini?
Jawapannya adalah teruskan momentum anda dengan sering memikirkan atau menulis nota dan idea tentang apa yang anda ingin lakukan berkenaan dengan perniagaan anda tersebut.
Momentum tidak semestinya berbentuk fizikal, ia juga boleh dengan minda anda. Teruskan momentum walaupun dalam kepala.
3. Meneroka Benda-benda Baru
Ada masanya, anda akan mencapai satu peringkat yang membuatkan anda berasa jemu atau bosan dengan perkara yang anda lakukan.
Keadaan ini boleh membawa kepada rasa ingin berputus asa, berhenti atau menghilangkan motivasi anda.
Maka, cara untuk mengatasinya adalah dengan meneroka benda-benda baru atau perkara baru yang berkaitan dengan bidang yang anda tengah usahakan.
4. Membaca atau Meneliti Kisah-kisah Kejayaan Tokoh-tokoh lain
Selain itu, membaca atau meneliti kisah-kisah kejayaan tokoh-tokoh lalu juga merupakan cara yang boleh mengekalkan motivasi diri anda.
Kisah-kisah tersebut boleh menjadi tauladan dan pembakar semangat untuk anda turus berusaha. Secara tidak langsung, motivasi anda untuk mencapai matlamat anda juga akan terus meningkat.
5. Semak Matlamat dan Kemajuan Anda dengan Kerap
Menyemak matlamat dan kemajuan anda dengan kerap juga boleh menjadi motivasi kepada diri anda.
Melihat kemajuan yang telah dicapai membuatkan anda terus bersemangat untuk maju kehadapan. Ia juga boleh membantu meningkatkan keyakinan diri.
Jika kemajuan atau matlamat tidak seperti yang diharapkan, anda sentiasa ada ruang untuk memperbaikinya.
Jangan cepat berputus asa kerana putus asa adalah pembunuh kepada kejayaan anda.
6. Menetapkan Matlamat Baru Secara Berterusan
Cara mengekalkan motivasi diri yang seterusnya adalah menetapkan matlamat baru secara berterusan.
Fikirkan apa yang anda ingin capai minggu hadapan, bulan hadapan dan tahun hadapan. Capai matlamat tersebut satu persatu agar anda tidak rasa terbeban.