Ada masanya kita berada pada paras paling bawah dalam kehidupan kita. Mungkin memulakan sesuatu pekerjaan menjadi sangat berat bagi diri anda yang sedang bergelut secara mental. Anda mungkin memerlukan lebih motivasi untuk meneruskan tugasan harian anda. Jadi, bagaimana cara untuk memotivasikan diri?
Terdapat beberapa cara atau kaedah yang boleh anda lakukan untuk berasa lebih bersemangat untuk melakukan tugasan harian walaupun mental anda tidak berada pada tahap terbaik pada hari atau minggu tersebut.
Tidak dapat dinafikan lagi keadaan pada masa kini sangat menekan, tidak kira siapa pun diri mereka. Pelbagai perkara menganggu mental dan motivasi diri untuk menjalani rutin harian termasuklah pekerjaan.
Cara dan teknik yang disenaraikan dalam artikel ini boleh membantu memberikan bimbingan untuk anda memotivasikan diri setiap kali anda menghadapi masalah untuk meneruskan aktiviti harian.
1. Rancang Hari Anda
Kerja atau tugasan yang bertimbun boleh membuatkan anda berasa tertekan dan tidak bermotivasi untuk memulakan kerja anda. Dalam situasi seperti ini pengurusan masa adalah kuncinya.
Rancang hari anda dengan mencatatkan apa yang perlu dilakukan mengikut tempoh masa tertentu. Strukturkan tugasan yang perlu dilakukan mengikut keselesaan atau mengikut keutamaan.
Melalui kaedah ini, tugasan yang banyak akan nampak lebih ringan dan dapat diuruskan.
Anda boleh menggunakan diari, buku catatan atau aplikasi di telefon pintar untuk membuat perancangan harian tersebut.
2. Pecahkan Tugasan Kepada Beberapa Bahagian Kecil
Sesuatu kerja atau tugasan mungkin kelihatan sangat susah atau berat untuk dilaksanakan sebelum ia dilaksankan.
Oleh itu, untuk mengurangkan tekanan kepada emosi dan mental anda, pecahkan tugasan tersebut kepada beberapa bahagian kecil yang lebih mudah untuk diuruskan.
Senaraikan apa yang perlu dilakukan. Kaedah ini boleh memberikan anda motivasi dan kekal fokus untuk menyiapkan tugasan yang pada awalnya kelihatan berat.
Mulakan dengan tugasan yang anda paling suka dan cekap untuk melakukannya. Melalui cara ini, akan akan kekal bermotivasi dan bersemangat sehingga tugasan tersebut selesai.
3. Berehat Sejenak – Take Five
Berehat sejenak (kira-kira 5 minit) atau ‘take five‘ daripada apa yang anda sedang lakukan boleh membantu anda kembali fokus apabila anda sedang bergelut secara mental di tempat kerja.
Anda boleh melakukan regangan di tempat duduk anda, mendapatkan minuman di pantri, berjalan-jalan sekejap di koridor pejabat atau mengambil angin di balkoni pejabat bagi menghilangkan tekanan yang dirasai.
Tindakan ini boleh membantu anda kembali segar dan produktif untuk menyambung tugasan yang sedang dilakukan.
4. Dengar Senarai Audio Motivasi
Mendengar audio motivasi juga adalah cara yang boleh memotivasikan diri anda semasa sedang bergelut secara mental.
Buatkan senarai audio video (playlist) motivasi yang sesuai untuk diri anda. Anda boleh mendengarnya semasa anda sedang berusaha menyiapkan tugasan atau kerja yang sukar.
Cara ini boleh membantu anda mempunyai penetapan minda yang betul dan boleh membuatkan anda lebih tenang tatkala anda sedang bergelut, tidak bermotivasi atau keresahan.
5. Audit Diri dan Prestasi
Salah satu strategi lain yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan motivasi diri adalah dengan mengaudit diri dan prestasi anda secara mingguan.
Ambil sedikit masa untuk melihat kembali apakah pencapaian yang anda telah kecapi, tugasan yang telah disempurnakan dan tugasan yang belum disempurnakan.
Kaedah ini boleh mengurangkan tekanan dan memberikan kelegaan kepada anda sekiranya anda mempunyai banyak tugasan atau kerja yang perlu dilaksanakan. Sedikit sebanyak ia boleh membantu meningkatkan motivasi diri anda untuk terus bergerak ke hadapan.
6. Jaga Apa yang Anda Makan
Pemakanan juga adalah faktor penting semasa anda kurang bermotivasi atau bergelut secara mental.
Mungkin ramai memilih untuk meminum kopi atau minuman berkafein untuk kekal bekerja sepanjang hari. Walau bagaimanapun, pengambilan kafein yang berlebihan mungkin boleh menyebabkan anda keresahan (anxiety), terketar-ketar atau insomnia.
Selain itu, anda harus mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan gula tambahan seperti air berkarbonat, gula-gula, kek dan makanan manis yang lain. Makanan dan minuman ini mungkin “OK” pada kadar yang sikit atau sederhana.
Namun, sekiranya anda mengambilnya secara berlebihan, ia mungkin menyebabkan kenaikan dan penurunan paras gula darah yang mendadak yang akhirnya menyebabkan anda berasa tidak selesa dan kabur.
Sebaliknya, amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang yang tinggi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan segar.