Minda yang sihat bukan lagi satu perkara yang boleh diremehkan pada zaman ini. Selalunya kita digalakkan untuk mempunyai badan yang sihat. Kini, minda yang sihat juga patut diberikan keutamaan. Justeru itu, artikel ini menyenaraikan cara membentuk minda yang sihat yang boleh diamalkan oleh anda.
Jika dilihat dari segi maknanya, minda ialah akal fikiran atau daya berfikir. Gaya hidup, rakan-rakan atau suasana persekitaran memainkan pelbagai peranan dalam membentuk akal fikiran yang sihat dan berdaya tahan.
Setiap orang pasti akan mengalami masalah dan cabaran dalam hidup mereka. Semua ini boleh menjejaskan emosi dan kesihatan mental seseorang. Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia boleh membawa kepada perkara-perkara negatif.
Di sini, minda memainkan peranan yang penting. Bagaimana ia memproses sesuatu perkara dan peristiwa akan mempengaruhi emosi dan tingkah laku seseorang. Bagi mengelakkan seseorang itu daripada melakukan perkara-perkara yang diluar kewarasan dan berbahaya, adalah penting untuk memiliki minda yang sihat.
Beberapa tips atau panduan berikut boleh diamalkan untuk membantu anda membentuk minda yang sihat:
1. Berkawan dengan Orang yang Betul
Mempunyai kawan atau rakan yang betul adalah sangat penting. Bermula daripada zaman persekolahan sehinggalah zaman pekerjaan, rakan-rakan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan kita.
Adalah penting untuk anda memilih rakan yang boleh membawa anda ke arah kebaikan. Bahkan, mereka akan melarang anda daripada melakukan sesuatu kejahatan atau perkara yang tidak bermanfaat.
Jauhi rakan-rakan yang biadap, bercakap kasar dan tidak menjaga perasaan orang lain.
Pilihlah rakan yang berkongsi nilai yang sama, saling memotivasikan diri dan mengajak ke arah kehidupan yang lebih baik.
2. Bermuhasabah Diri
Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Maka, ambillah sedikit masa untuk bermuhasabah diri bagi melihat kembali apa yang boleh diperbetulkan, apa yang harus diterima dan apa pengajaran yang boleh dipelajari.
Bermuhasabah diri boleh menenangkan minda anda. Anda tidak akan mudah melatah dan lebih berfikiran rasional dalam menghadapi pelbagai rintangan dalam kehidupan ini.
3. Cintai Diri Sendiri
Adalah penting untuk mencintai diri sendiri untuk membina aura dan pemikiran positif. Elakkan menzalimi diri sendiri dengan melakukan perkara yang merosakkan diri.
Mengenali diri dan melihat diri kita dalam sudut yang positif dapat mencungkil bakat-bakat atau potensi diri yang telah lama terpendam.
4. Terima Kekurangan Diri
Semua orang tidak sempurna dan pasti ada kekurangan diri. Terimalah kekurangan diri anda. Menerima kekurangan diri tidak bermakna anda menerima kesemua kekurangan walaupun sesetengahnya boleh diperbaiki.
Bagi keadaan atau kekurangan yang boleh diperbaiki dan ditambah baik, usahakan untuk memperbaikinya.
Bagi kekurangan diri yang diluar kekuasaan atau kemampuan anda, terima dengan seadanya. Melalui cara ini, anda dapat mengurangkan rasa tertekan atau rendah diri.
5. Bercuti
Ada masanya badan dan minda anda memerlukan rehat daripada kesibukan harian atau tanggungjawab harian.
Salah satu cara untuk merehatkan badan dan minda anda adalah dengan bercuti. Bercuti ditempat-tempat peranginan yang penuh dengan kehijauan dan kecantikan alam dapat menenangkan jiwa dan minda.
6. Mengamalkan Pemakanan yang Sihat
Pemakanan yang sihat juga merupakan salah satu cara untuk membentuk minda yang sihat.
Sudah tentu pemakanan memainkan faktor penting untuk kesihatan minda. Makanan yang sihat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan kekacang boleh membekalkan nutrien-nutrien penting untuk badan dan mencegah penyakit.
Hadkan pengambilan makanan segera, makanan yang diproses dan makanan yang tinggi dengan gula tambahan.
7. Sentiasa Melakukan Aktiviti Fizikal
Slogan “badan sihat, otak cerdas” sememangnya sesuai untuk dihayati.
Melakukan aktiviti fizikal boleh membantu meningkatkan kepekaan minda, tenaga dan mood yang positif.
Melakukan aktiviti fizikal boleh mencetuskan penghasilan hormon dopamin dan serotonin iaitu hormon yang boleh meningkatkan mood dan rasa gembira.
8. Membaca
Cara lain yang boleh membantu membentuk minda yang sihat adalah dengan membaca. Membaca boleh mengaktifkan minda dan menjadikan minda anda lebih kuat.
Ini telah dibuktikan dalam kajian yang dilaporkan dalam jurnal Neuroreport yang menunjukkan bahawa membaca melibatkan rangkaian litar dan isyarat yang kompleks di dalam otak. Apabila keupayaan membaca anda semakin matang, rangkaian tersebut juga menjadi lebih kuat dan lebih canggih.
9. Bermain Permainan Minda atau Kuiz
Permainan minda seperti catur, silang kata, sudoku atau menjawab kuiz boleh membantu menajamkan dan menguatkan minda.
10. Belajar Sesuatu yang Baru Setiap Hari
Belajar sesuatu yang baru setiap hari boleh membentuk minda yang sihat dan kuat.
Belajar sesuatu kemahiran atau perkara yang baru boleh meningkatkan keyakinan diri, membantu anda berhubung dengan orang lain dan membantu membina kepercayaan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara atau kaedah yang boleh dilakukan oleh anda untuk membentuk minda yang sihat.
Minda yang sihat boleh mempengaruhi kesejahteraan hidup anda secara keseluruhannya.