Melupakan seseorang yang telah menyakiti kita bukanlah perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi jika orang tersebut pernah dicintai. Walau bagaimanapun, dengan masa dan kesabaran, anda boleh mengatasinya. Sebagai satu panduan untuk anda, artikel ini menyenaraikan cara melupakan seseorang yang berkesan untuk dilakukan.
Adalah mustahil untuk melupakan seseorang itu 100%. Namun, kita boleh menyimpan memori tersebut jauh di dalam ingatan kita sehingga suatu masa kita tidak lagi memikirkannya.
Beberapa cara atau tindakan perlu diambil bagi membantu anda untuk mencapai tujuan ini.
Berikut adalah beberapa cara melupakan seseorang yang telah menyakiti anda atau mereka yang pernah anda cintai:
1. Putuskan Hubungan Sepenuhnya
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh anda adalah memutuskan hubungan sepenuhnya dengan individu tersebut.
Adalah sukar untuk melupakan seseorang sekiranya anda masih berhubungan dengan mereka termasuklah di media sosial.
Justeru itu, apa yang perlu dilakukan adalah berhenti berkawan dengan individu tersebut di semua media sosial atau memadamkan nombor telefon individu tersebut.
2. Berhenti Berharap
Sesetengah orang mungkin terus berharap walaupun mereka beberapa kali disakiti. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda mungkin akan kembali bersamanya. Itu hanya membuatkan anda berharap dan berkhayal tentang orang itu.
Sebaliknya, katakan kepada diri anda, “Anda berhak untuk berasa bahagia dan berhak untuk meneruskan hidup anda dengan orang yang baru.”
3. Padam Semua SMS, WhatsApp atau Email
Cara melupakan seseorang yang seterusnya adalah memadam semua SMS, email, perbualan WhatsApp, Telegram atau platform perbualan yang lain.
Langkah ini adalah untuk mengelakkan anda daripada kembali membaca dan kembali mengingatinya.
4. Padam Semua Gambar atau Video
Anda juga harus memadamkan semua gambar atau video yang pernah diambil bersama termasuklah di dalam telefon, komputer atau akaun sosial media. Gambar atau video tersebut mungkin boleh menjadi penyebab anda kembali mengingati individu tersebut.
Sekiranya anda turut memiliki gambar dalam album atau bingkai gambar, anda mungkin boleh memilih untuk membuang atau menyimpan gambar-gambar tersebut di dalam stor.
5. Bakar atau Buang Barang-barang Menjadi Kenangan
Setiap perhubungan sudah pasti ada kenangannya. Sekiranya kenangan itu turut diabadikan dalam bentuk barangan atau hadiah. Anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk membakar atau membuangnya.
Sekiranya barang-barang tersebut mempunyai manfaat atau fungsi yang berguna, anda mungkin boleh menghadiahkannya kepada orang kurang berkemampuan atau sesiapa sahaja yang memerlukan. Pastikan barang-barang tersebut keluar dari rumah atau jauh dari pandangan mata anda.
Kadang-kadang anda perlu melakukan semua ini untuk membersihkan minda anda daripada mengingati orang itu.
6. Maafkan dan Lupakan
Menahan kesakitan dan kemarahan hanya akan membuat anda menjadi lebih teruk. Tidak salah untuk anda merasai kesakitan tersebut tetapi apabila anda telah bersedia, biarkan semuanya berlalu dan maafkan orang itu atas apa-apa kesalahan yang telah mereka lakukan.
Memaafkan dan melupakan boleh mendatangkan ketenangan dalam hidup anda. Seterusnya, anda boleh terus mengorak langkah untuk memajukan diri anda.
7. Menerima Ketentuan Takdir
Cara melupakan seseorang yang terakhir adalah menerima ketentuan takdir yang telah ditetapkan untuk diri kita.
Menerima ketentuan takdir akan mendatangkan ketenangan diri, menjadikan kita lebih rasional dan tidak menyalahkan diri sendiri. Tetapkan didalam hati bahawa orang itu bukan jodoh anda, orang itu tidak sesuai dengan anda atau anda berhak mendapat orang yang lebih baik.
Allah SWT tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-Nya. Allah SWT akan ketemukan kita dengan seseorang yang kita perlukan.