Beristiqamah dalam beribadah sudah tentu bukan perkara yang mudah. Sekiranya anda mencari cara untuk istiqamah dalam ibadah seperti solat, zikir atau apa-apa sahaja kebajikan, ikuti panduan yang kami sediakan ini.
Istiqamah adalah istilah arab yang bermaksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus termasuklah urusan agama.
Menjadi satu cabaran untuk sesiapa sahaja jika mereka ingin berubah dan kekal dalam perubahan tersebut. Dalam konteks ibadah, jika anda ingin istiqamah dalam mengerjakan ibadah tersebut, anda haruslah mengetahui cara-cara atau kaedah yang betul.
Mulakan dengan Sedikit
Adalah penting untuk anda ketahui bahawa setiap amalan atau ibadah yang ingin dilakukan secara terus-menerus haruslah bermula dengan kadar yang sedikit terlebih dahulu.
Sebagai contoh, matlamat anda adalah ingin melakukan zikir atau wirid sebanyak 1,000 kali sehari. Langkah yang perlu anda ambil bagi membolehkan anda istiqamah untuk melakukannya adalah bermula dengan jumlah yang kecil terlebih dahulu.
Mungkin 100 kali sehari selama sebulan atau lebih mengikut kemampuan anda. Apabila anda sudah yakin boleh mengekalkan jumlah tersebut, maka tambahlah kepada 200, 300 atau lebih untuk bulan-bulan berikutnya.
Melalui kaedah ini, ia boleh mengelakkan anda untuk cepat berasa letih dan berputus asa.
Buat Selama 40 hari
Salah satu kaedah yang sinonim dalam agama Islam adalah melakukan sesuatu perubahan atau amalan selama 40 hari secara berterusan.
Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyebut akan keistimewaan 40 hari tersebut. Contohnya dalam surah Al-A’raaf ayat 142 yang bermaksud:
Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.
Surah Al-A’raaf (ayat 142)
Dalam ayat ini dapat diperhatikan firman Allah SWT yang jelas menyebut tempoh 40 hari.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Abu Na’im, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa mengikhlaskan dirinya kepada Allah (ibadah dan taat) selama 40 hari maka akan zahir sumber-sumber hikmah daripada hati melalui lidahnya”.
HR. Abu Dawud dan Abu Na’im dalam Al-Hilyah 5/189
Terdapat banyak lagi ayat Al-Quran dan hadis yang menyebutkan mengenai tempoh 40 hari. Oleh sebab inilah, ulama tasawuf berijtihad bahawa tempoh 40 hari mempunyai keistimewaan khusus.
Sertai Kumpulan yang Sama-sama Mengerjakan Ibadah Tersebut
Cara istiqamah dalam ibadah yang seterusnya adalah menyertai kumpulan atau orang yang turut melakukan ibadah yang sama.
Melalui kelompok atau kumpulan yang melakukan ibadah yang sama dengan anda, ia boleh memberikan anda semangat atau dorongan untuk terus istiqamah dengan amalan yang dilakukan.
Kawan-kawan atau kelompok ibadah ini juga boleh membantu mengingatkan sekiranya kita terlupa atau lalai.
Wujudkan Suasana yang Mendatangkan Semangat
Selain itu, cara lain yang boleh dilakukan adalah mewujudkan suasana yang mendatangkan semangat untuk anda mengerjakan ibadah atau amalan.
Contohnya seperti menyediakan ruangan atau bilik solat. Menyediakan ruangan untuk berzikir dengan tempat duduk yang selesa, suasana yang tenang dan membolehkan anda untuk fokus.
Tempat dan suasana seperti ini akan memberikan anda dorongan dan semangat untuk terus istiqamah untuk melakukan sesuatu amalan dengan khusyuk.
Berdoa dan Bertawakkal
Sudah tentut setiap amalan kebaikan yang ingin dilakukan mempunyai cabaran dan ujian yang tersendiri. Kita sebagai seorang makhluk kerdil hanya boleh berusaha tetapi Allah SWT jugalah yang menentukannya.
Sulamilah usaha anda dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT agar Dia mengizinkan untuk anda dapat beristiqamah dalam beribadah atau melakukan kebaikan.
Teruskan semangat anda dan jangan mudah untuk mengalah dan berasa jemu!
Rujukan Hadis
- Maahad Al-Tahzib Wa Al-Ta’alim. (2021). Rahsia Amalan 40 Hari Berterusan.