Semua orang tidak sempurna, pasti ada kekurangan yang tidak dapat dielakkan. Tetapi semua orang ada peluang, peluang untuk berhijrah menjadi seorang yang lebih baik. Maka, bagaimana cara hijrah diri untuk menjadi seorang yang lebih baik?
Sebagai seorang manusia, pasti ada suatu ketika yang dipanggil “zaman gelap” di mana kita banyak melakukan kesilapan. Tidak semua kesilapan itu adalah buruk kerana daripada kesilapanlah kita boleh belajar membaiki diri kita.
Jika terdetik di hati bahawa anda ingin berubah dan berhijrah, maka sahutlah seruan tersebut. Jika anda tidak pasti apakah cara yang perlu dilakukan untuk hijrah diri menjadi seorang yang lebih baik, ikuti beberapa panduan dalam artikel ini.
Semak Kembali Persekitaran Anda
Persekitaran di sini bermaksud apa sahaja yang berada disekeliling anda termasuklah tempat tinggal, tempat kerja, kawan-kawan, jiran tetangga atau masyarakat setempat.
Persekitaran memainkan peranan membentuk perwatakan. Sekiranya persekitaran anda dipenuhi dengan orang yang positif dan baik, tempat tinggal yang tenang atau jiran tetangga yang baik, sudah tentu ia boleh membantu anda untuk berhijrah dan berubah menjadi seorang yang lebih baik.
Berhijrah ke Tempat yang Sesuai dengan Matlamat Anda
Kadang-kadang tempat tinggal, tempat kerja atau kejiranan boleh menjurus atau menggalakkan anda untuk berbuat keburukan atau menjadi diri anda yang lama. Maka, berpindah atau bertukar tempat kerja boleh membantu anda untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik.
Tetapkan matlamat anda dan pilihlah tempat yang mempunyai aura positif. Ia sedikit sebanyak akan membantu anda kekal dengan perubahan yang anda lakukan.
Malah, kajian turut menyokong bahawa kejiranan mempunyai pengaruh terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan orang muda. Tambahan lagi, kesihatan mental dan kesejahteraan tersebut lebih kerap dikaitkan dengan persekitaran sosial kejiranan berbanding status sosio-ekonomi kejiranan dan gangguan kejiranan.
Semak Kembali dengan Siapa Anda Berkawan
Tidak boleh dinafikan bahawa kawan-kawan mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam kehidupan kita. Walau bagaimanapun, tidak semua daripada kita bernasib baik untuk mendapat kawan-kawan yang baik.
Fasa ketika remaja dan belia adalah waktu dimana pemilihan kawan adalah sangat penting. Sekiranya anda tersilap memilih kawan, besar berkemungkinan anda akan turut terjebak melakukan perkara yang tidak baik atau buruk yang dilakukan oleh kawan anda.
Justeru itu, adalah amat penting untuk anda melihat kembali dengan siapakah anda berkawan? Adakah kawan-kawan anda suka melakukan kejahatan atau keburukan yang anda ingin tinggalkan? Atau kawan-kawan anda sering mengajak anda untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik.
Sokongan sosial seperti ini boleh membantu anda terus istiqamah dengan perubahan yang anda lakukan.
Mulakan Perubahan yang Kecil Tetapi Berterusan
Mengubah tabiat atau tingkah laku yang telah lama sebati dengan diri kita bukanlah perkara yang mudah.
Oleh itu, salah satu cara melakukan hijrah diri untuk menjadi seorang yang lebih baik adalah dengan memulakan perubahan yang kecil terlebih dahulu. Tidak perlu anda berubah 360 darjah dalam satu malam atau sekelip mata.
Setiap perubahan itu memerlukan masa dan ketekunan. Justeru itu, perubahan yang kecil tetapi dilakukan secara berterusan boleh membantu anda terus kekal pada landasan yang betul.
Sentiasa Muhasabah Diri
Muhasabah diri boleh membantu kita menyemak diri kita sendiri. Adakah tindakan yang dilakukan oleh kita itu betul atau salah?
Ambillah sedikit masa dalam sehari untuk bermuhasabah diri, dari situ anda boleh melihat kembali kekurangan atau kesilapan yang telah dilakukan oleh anda dan cubalah membaikinya.
Mempunyai “Role Model” atau Suri Teladan
Suri Teladan yang terbaik bagi umat manusia adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah contoh terbaik dari segala aspek baik dari segi akhlak, kepimpinan, keperibadian dan lain-lain lagi.
Tidak tertakluk kepada orang Islam sahaja, orang yang bukan Islam juga boleh mempelajari dan mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW.
Mempunyai suri teladan atau role model ini boleh memberikan anda semangat dan panduan untuk berhijrah menjadi seorang yang lebih baik.
Bertawakkal
Sesungguhnya sebagai seorang hamba dan makhluk, kita hanya boleh berusaha. Selebihnya, ia terserah kepada keizinan daripada pencipta kita, Allah SWT.
Setelah berusaha melakukan hijrah yang terbaik untuk membaiki diri, maka bertawakkallah kepada Allah SWT. Insya-Allah, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya anda dapat terus kekal dengan hijrah yang anda lakukan.