Bercakap dengan seseorang yang narsisistik atau mereka yang mempunyai cenderung narsisistik mungkin berbeza dengan bercakap dengan orang biasa. Mengetahui cara bercakap dengan seseorang yang narsisistik atau mempunyai kecenderungan narsisistik boleh membantu anda berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Umumnya, kita semua mahu berasa didengari, difahami, dihubungkan dan disokong dalam perbualan kita. Keadaan ini mungkin berbeza sekiranya anda berbual dengan orang yang menghidap kecelaruan personaliti narsisistik atau mereka yang mempunyai kecenderungan terhadap kecelaruan ini.
Seorang yang mempunyai kecelaruan ini selalunya dianggap mementingkan diri, kurang empati serta sangat memerlukan perhatian dan pengiktirafan.
Awasi Perkara Ini Apabila Bercakap dengan Seseorang yang Narsisistik
Adalah penting untuk diketahui bahawa walaupun seseorang itu mempunyai ciri-ciri personaliti narsisistik, ia tidak selalu bermakna mereka menghidap kecelaruan personaliti narsisistik (NPD).
Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai kecenderungan kepada narsisistik boleh mempunyai ciri-ciri yang sama dengan penghidap NPD.
Apabila anda bercakap atau berbual dengan golongan ini, mereka mungkin akan mengatakan:
- Anda seorang yang beremosi
- Anda seorang yang terlalu sensitif
- Menyalahkan orang lain bagi kesilapan mereka
- Tidak mahu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka
Selain itu, perbualan juga akan menjadi:
- Sebelah pihak sahaja (kebanyakan mengenai diri mereka)
- Mengutamakan topik yang dangkal dan material
- Menghukum
- Manipulatif
- Seolah-olah mereka bercakap pada anda dan bukan dengan anda
Apa yang Perlu Saya Katakan Kepada Seseorang yang Narsisistik?
Mungkin agak sukar untuk anda mengenali sama ada seseorang itu mempunyai ciri-ciri atau simptom narsisistik.
Jika anda berfikiran bahawa rakan atau kenalan anda menunjukkan ciri-ciri narsisistik, terdapat cara bercakap dengan orang narsisistik yang membolehkan komunikasi yang sihat antara anda dengan mereka.
Pertimbangkan 7 cara ini bila-bila masa anda berbual atau bercakap dengan seseorang yang memiliki ciri-ciri narsisistik:
1. Gunakan Perkataan “Saya”
Penggunaan frasa “saya” dilihat lebih berkesan sekiranya berkomunikasi dengan seorang yang narsisistik.
Ia termasuklah kenyataan yang ingin menjelaskan perasaan, pemikiran atau keperluan anda dalam hubungan atau komunikasi tersebut.
Sebagai contoh, anda berkata ” Saya rasa awak tidak mendengar apa yang saya katakan tadi” berbanding ” Awak tidak pernah dengar cakap saya!”
Golongan yang cenderung dengan narsisistik ini lebih bertindak balas dengan baik sekiranya perbualan tersebut bermula dengan:
- “Saya dengar..”
- “Saya rasa..”
- “Saya mahu…”
- “Saya harap…”
2. Kekal Tenang dan Hormat
Gunakan nada suara yang tenang dan hormat apabila anda berkata-kata dengan penghidap kecelaruan personaliti narsisistik.
Elakkan merendah-rendahkan mereka, memperkecilkan mereka atau melayan mereka dengan buruk seperti mana mereka melayan anda.
Tindakan ini boleh memakan diri atau mungkin membawa kepada perbalahan.
3. Ingat Bahawa Anda Tidak Bersalah
Orang yang mempunyai kecenderungan narsisistik cenderung mengelak daripada mengambil tanggungjawab atas kesilapan mereka sendiri.
Akibatnya, mereka mungkin cuba meletakkan kesalahan kepada anda, walaupun ia tidak wajar.
4. Elakkan Perkataan-perkataan Tertentu
Bahasa yang anda gunakan turut memainkan peranan penting apabila bercakap dengan orang yang mempunyai kecenderungan narsisistik.
Sesetengah frasa mungkin segera menutup dan menghalang mereka daripada mendengar.
Elakkan menggunakan perkataan seperti:
- “Awak selalu…”
- “Awak tidak pernah…”
Kata-kata ini akan membuatkan mereka bertindak lebih defensif atau bertengkar.
5. Wujudkan Sempadan
Cara bercakap dengan orang yang narsisistik yang berikutnya adalah mewujudkan sempadan atau had bagi melindungi diri anda sekiranya anda ingin mempunyai hubungan dengan golongan ini.
Antara contoh mewujudkan sempadan adalah seperti:
Anda berkata, “Saya tidak akan meneruskan perbualan ini jika awak terus menghina saya atau memperkecilkan perasaan saya.”
atau “Saya tidak akan membenarkan awak bercakap dengan saya dengan cara ini lagi.”
6. Ketahui Bahawa Anda Tidak Boleh Mengubah Mereka
Ketahui bahawa anda tidak boleh mengubah orang yang hidup dengan NPD atau kecenderungan narsisistik.
Justeru itu, anda mungkin tidak perlu menghabiskan masa dan tenaga untuk cuba mengubahnya atau percaya bahawa mungkin suatu hari nanti anda boleh.
7. Tahu Bila Perlu Membawa Diri
Anda mungkin perlu mempertimbangkan memutuskan perhubungan sekiranya ia menunjukkan corak yang memberikan impak negatif terhadap emosi, kesihatan mental atau kesejahteraan anda.
Bukan mudah untuk memutuskan hubungan dengan seseorang yang anda sayangi, terutamanya jika mereka adalah pasangan atau orang tersayang.
Namun, mungkin sudah tiba masanya untuk menjauhi seseorang yang mempunyai kecenderungan narsistik jika anda berasa:
- Terancam
- Dikawal
- Dimanipulasi
- Didera secara mental, perkataan atau emosi
- Tidak dihormati secara berulang-ulang
- Perbualan sering menjadi tegang atau ‘panas’
Kesimpulan
Ringkasnya, adalah tidak mustahil untuk mempunyai hubungan atau komunikasi yang berjaya dengan seseorang yang mempunyai kecenderungan narsisistik atau kecelaruan personaliti narsisistik.
Walaupun agak mencabar, terdapat beberapa cara atau kaedah yang perlu diketahui oleh anda setiap kali anda mahu bercakap atau berbual dengan golongan ini.
Sebagai contoh, gunakan perkataan “Saya”, kekal tenang dan hormat, elakkan perkataan-perkataan tertentu dan lain-lain.
Sekiranya anda memerlukan bantuan, anda sentiasa boleh berjumpa dengan pakar atau ahli terapi bagi membantu atau menasihati anda.
Rujukan
- Mitra P, Fluyau D. Narcissistic Personality Disorder. [Updated 2023 Mar 13]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Mandriota, M. (2022). 10 Ways to Talk to Someone with Narcissistic Tendencies. PsychCentral.