Tidak dapat dinafikan peredaran zaman telah mewujudkan satu norma baharu di mana kanak-kanak banyak didedahkan kepada media skrin seperti telefon pintar dan televisyen (TV). Mungkin menjadi satu persoalan bagi ibu bapa atau penjaga sama ada kanak-kanak boleh belajar daripada interaksi mereka dengan telefon pintar, peranti pintar atau TV?
Walau bagaimanapun, penyelidikan mengenai perkara ini masih menunjukkan penemuan yang bercampur-campur.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai apa yang dikatakan oleh penyelidikan semasa tentang keupayaan kanak-kanak untuk belajar daripada telefon pintar dan TV apabila mereka berumur dua tahun ke bawah dan apabila mereka lebih dari dua tahun.
Bolehkah Kanak-kanak Berusia 2 Tahun dan Kebawah Belajar Daripada Telefon Pintar dan TV?
Akedemi Pedriatik Amerika (AAP) mengesyorkan bahawa kanak-kanak di bawah umur 18 bulan (1 tahun 6 bulan) tidak sepatutnya menggunakan skrin media melainkan untuk perbualan video sahaja.
Manakala, kanak-kanak antara umur 18 hingga 24 bulan (2 tahun) pula seharusnya hanya didedahkan kepada program berkualiti tinggi yang ibu bapa atau penjaga menonton bersama mereka.
Walau bagaimanapun, realiti yang terjadi pada masa ini adalah berbeza.
Menurut satu laporan oleh Common Sense Media, tontonan video dalam talian mendominasi masa tayangan bagi kanak-kanak di Amerika Syarikat.
Pada tahun 2020, kanak-kanak kecil menghabiskan masa selama 39 minit menonton video dalam talian di platform seperti Youtube dan TikTok berbanding hanya 19 minit pada tahun 2017. [1]
Pemilikan terhadap peranti pintar menjadi penyumbang kepada kenaikan ini. Kira-kira hampir separuh daripada kanak-kanak berumur 2 hingga 4 tahun dan lebih dua pertiga kanak-kakak berumur 5 hingga 8 tahun mempunyai tablet atau telefon pintar sendiri.
Kajian oleh penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia pula mendapati kanak-kanak di Malaysia menghabiskan masa melayari internet secara purata selama 19 jam seminggu. [2]
Menjadi Persoalan, Adakah Masa yang Dihabiskan oleh Kanak-kanak ini Membantu Pembelajaran atau Perkembangan Mereka?
Walaupun terdapat tuntutan bahawa pendedahan terhadap media skrin seperti telefon pintar atau TV boleh memajukan pembelajaran dan perkembangan kognitif mereka.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa secara amnya, pembelajaran kanak-kanak dari skrin pada masa ini adalah sangat terhad dan hanya berlaku dalam keadaan tertentu. [3]
Tambahan itu lagi, satu kajian terkini mendedahkan bahawa untuk kanak-kanak memperolehi pengetahuan baru, mereka memerlukan bimbingan yang sewajarnya daripada penjaga mereka. [4]
Selain itu, pengkaji turut menegaskan bahawa menonton kandungan yang tidak sesuai, kandungan yang pantas, menonton tanpa pemantauan dan tiada penglibatan ibu bapa boleh mengganggu perkembangan kemahiran tumpuan, pembelajaran dan bahasa serta interaksi ibu bapa-anak. [4]
Kanak-kanak Mungkin Meniru Aksi yang Ditonton di TV atau Video Dalam Talian
Bermula seawal 6 bulan, kanak-kanak kecil berupaya untuk meniru aksi ringkas yang mereka lihat di dalam TV sehingga 24 selepas melihatnya.
Apabila mereka berusia 2 tahun, mereka boleh mengingati secara ringkas urutan rancangan TV sehingga sebulan kemudian.
Meskipun begitu, penyelidikan secara konsisten menunjukkan bahawa kanak-kanak kecil tidak belajar daripada media skrin semudah yang mereka lakukan daripada interaksi kehidupan sebenar.
Penyelidik beranggapan bahawa ia mungkin disebabkan oleh ketidakupayaan kanak-kanak kecil untuk memahami hubungan antara maklumat yang disampaikan pada skrin televisyen dengan dunia sebenar. [5]
Mengurangkan Pembelajaran Perkataan Baru
Menurut Profesor Madya Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, kanak-kanak yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya menonton TV atau bermain gadjet, cenderung untuk kurang belajar perkataan baharu dan berpotensi mengalami masalah lambat bercakap. [6]
Hal ini demikian kerana kebiasaannya, ibu bapa akan bercakap dalam 940 patah perkataan per jam apabila anak-anak ada bersama mereka. Itupun jika ibu bapa tersebut prihatin dan suka berbual.
Apabila TV di pasang, bilangan patah perkataan ini jatuh hingga ke 770 per jam. Semakin kurang perkataan yang di sebut, semakin kuranglah pembelajaran perkataan baru.
Kesannya, semakin kurang jugalah kosa kata yang boleh disimpan dalam otak kita.
Saranan Kepada Ibu Bapa dan Penjaga
Realiti pada hari ini sememangnya sukar untuk ibu bapa atau penjaga mencegah anak mereka daripada menonton TV atau menggunakan telefon pintar secara sepenuhnya.
Maka, apa yang boleh dilakukan adalah pengawalan dan campur tangan ibu bapa dalam aktiviti harian anak kecil mereka.
Ibu bapa perlu berinteraksi dengan lebih aktif dengan anak-anak mereka demi perkembangan mereka.
Sekiranya tiada pilihan, pendedahan terhadap telefon pintar, peranti pintar atau TV haruslah terkawal dan tidak menjejaskan aspek-aspek seperti:
- Waktu tidur kanak-kanak tersebut
- Masa mereka bermain bersama-sama dengan kawan-kawan atau ahli keluarga
- Tidak menjejaskan kerja rumah mereka
- Tidak menjejaskan senaman atau aktiviti riadah mereka
- Kanak-kanak berkelakuan positif selepas menonton
- Cerita atau video yang dilihat adalah kandungan yang berkualiti dan bersesuaian dengan usia mereka.
Rujukan
- Rideout, V., & Robb, M. B. (2020). The Common Sense census: Media use by kids age zero to eight, 2020. San Francisco, CA: Common Sense Media.
- Nahar, N. et al. (2018). IMPAK NEGATIF TEKNOLOGI MODEN DALAM KEHIDUPAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK HINGGA USIA REMAJA (NEGATIVE IMPACT OF MODERN TECHNOLOGY TO THE CHILDREN’S LIFE AND THEIR DEVELOPMENT). UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies.
- Barr R. et al. (2018). Screen Sense: What The Research Says About The Impact Of Media On Children Aged 0-3 Years Old. Washington, DC: Zero to Three.
- Swider-Cios, E. et al. (2023). Young children and screen-based media: The impact on cognitive and socioemotional development and the importance of parental mediation. Cognitive Development.
- Richert, R.A. et al. (2011). Media as Social Partners: The Social Nature of Young Children’s Learning From Screen Media. Child Development.
- Zulkifli, A.M. (2015). Kanak-kanak & Gadjet. Wadah ICT.