Sama ada anda telah menjalani terapi untuk satu tempoh yang lama atau baru bermula, anda mungkin tertanya-tanya berapa lama anda perlu meneruskan terapi tersebut?
Anda mungkin tidak pasti bagaimana anda akan tahu bila masa untuk menghentikan terapi tersebut. Anda juga mungkin berharap anda akan dapat menamatkan terapi tidak lama lagi.
Mungkin juga selalu bermain difikiran anda bahawa anda telah menjalani terapi terlalu lama.
Secara ringkasnya, jawapan kepada persoalan ini agak kompleks dan ia bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis terapi, masalah kesihatan mental yang dialami dan keutamaan sendiri.
Dengan kata lain, tiada tempoh masa terapi yang sama bagi setiap orang dan mungkin terdapat sedikit perbezaan antara satu individu dengan individu yang lain.
Di sini, kami akan memecahkan perkara-perkara yang perlu anda ketahui tentang tempoh terapi dan cara menentukan tempoh terapi yang sesuai untuk anda.
Tempoh Terapi yang Diperlukan untuk Mendapat Hasil
Boleh dikatakan hampir semua daripada kita pergi ke terapi dengan harapan untuk melihat hasilnya.
Pada asasnya, tidak kira apa keadaan kesihatan mental yang mendorong anda untuk mendapatkan terapi, matlamat akhir adalah untuk berasa lebih bahagia, lebih seimbang dari segi emosi, dan lebih bersedia untuk berfungsi dan maju kehadapan.
Umumnya, kumpulan yang pergi mendapatkan terapi boleh dibahagikan kepada dua iaitu mereka yang berhadapan dengan isu akut dan mereka yang hidup dengan masalah kesihatan mental yang sudah bertahun lamanya.
Bagi golongan yang berhadapan dengan isu akut seperti gangguan makanan, episod psikotik atau ketagihan. Mereka mungkin mencari penyelesaian pantas daripada simptom-simptom yang dialami.
Manakala, bagi golongan yang hidup dengan masalah kesihatan mental yang sudah lama seperti kemurungan dan keresahan. Mereka mungkin mencari penyembuhan jangka panjang.
Tidak kira apa pun keadaannya, matlamatnya adalah satu iaitu penyembuhan.
Penyelidikan telah mendapati bahawa kebanyakan orang melihat beberapa hasil daripada terapi tidak lama selepas bermula. Menurut Persatuan Psikologi Amerika: [1]
- Kira-kira 50% orang akan mula berasa lebih baik selepas kira-kira 15-20 sesi terapi.
- Terapi jangka pendek tertentu boleh menghasilkan keputusan dalam tempoh 12-16 sesi.
- Keadaan psikologi yang lebih kompleks dan gangguan personaliti tertentu mungkin memerlukan rawatan yang lebih panjang (antara 12-18 bulan).
- Mereka yang mempunyai keadaan kronik mungkin memerlukan rawatan yang lebih lama dan lebih meluas.
Meskipun begitu, untuk mendapatkan hasil, apa yang penting adalah memberikan komitmen terhadap terapi yang diterima.
Malangnya, ramai yang hanya melakukan terapi setengah jalan. Menurut satu kajian, kira-kira 1 daripada 5 orang berhenti daripada psikoterapi secara pramatang (setengah jalan). [2]
Jenis dan Tempoh Terapi
Berapa lama tempoh anda perlu menjalani satu-satu terapi bergantung kepada jenisnya. Terapi berbeza mempunyai prinsip, struktur dan matlamat yang berbeza-beza.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, berikut adalah pengelasan terapi atau psikoterapi mengikut tempoh terapi tersebut.
Terapi Jangka Pendek
Beberapa terapi berikut dianggap terapi jangka pendek:
- Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT): CBT ialah sejenis terapi di mana anda belajar mengenal pasti pemikiran yang anda miliki dan menjadi lebih berhati-hati tentang cara fikiran ini mempengaruhi emosi dan tingkah laku anda. Lazimnya, CBT melibatkan 12-20 sesi. [3]
- Eye Movement Desensitization and Reprocessing Therapy (EMDR): Terapi EMDR menggunakan pergerakan mata khusus untuk membantu pesakit sembuh daripada PTSD dan trauma. Biasanya ia melibatkan 6-12 sesi. [4]
- Terapi Pendedahan: Terapi pendedahan ialah terapi yang digunakan untuk merawat PTSD dan fobia dengan pendedahan lembut kepada pencetus dalam persekitaran yang selamat dan terkawal. Ia biasanya mengambil masa kira-kira 3 bulan atau 8-15 sesi mingguan. [5]
Terapi Jangka Panjang
Terapi jangka panjang ditentukan sebahagian besarnya oleh ahli terapi dan pesakit secara kolaboratif.
Antara contoh terapi jangka panjang adalah:
- Terapi Psikodinamik atau Psikoanalitik: Terapi psikoanalitik dianggap terapi klasik atau tradisional. Terapi ini melibatkan anda menyelam jauh ke dalam masa lalu dan separa sedar anda, dan cuba memahami isu akar yang memberi kesan kepada kesihatan mental anda. Ia boleh berlangsung selama bertahun-tahun lamanya. Walau bagaimanapun, terapi psikodinamik adalah lebih pendek iaitu antara 12-24 sesi. [3]
- Terapi kemanusiaan: Terapi kemanusiaan adalah pendekatan empati, berorientasikan pertumbuhan kepada terapi yang sering dibezakan untuk memenuhi keperluan unik setiap pesakit. Tempoh terapi biasanya terbuka dan disesuaikan dengan keperluan anda. [3]
Berapa Lama Anda Perlu Berada Dalam Terapi?
Tempoh terapi yang tepat untuk mana-mana individu adalah keputusan yang sangat peribadi, berdasarkan beberapa faktor yang berbeza.
Dalam kebanyakan kes, anda dan ahli terapi anda akan memutuskan sebagai satu pasukan bahawa anda telah mencapai matlamat anda dan sudah tiba masanya untuk berhenti.
Dalam kebanyakan situasi terapi, ini akan menjadi perbincangan berterusan antara anda dan ahli terapi anda semasa menjalani terapi bersama-sama.
Anda Mungkin Menjalani Terapi Bertahun Lamanya
Jika anda berada dalam situasi di mana terapi berfungsi untuk anda, anda mungkin tidak mahu menamatkan terapi untuk beberapa lama!
Tidak mengapa kerana ramai sahaja orang yang kekal dalam terapi selama bertahun-tahun lamanya.
Bertukar-tukar Ahli Terapi
Kadang-kadang anda ingin menamatkan terapi dengan ahli terapi tertentu sebelum ia mencapai matlamat kerana anda rasa ia tidak berkesan untuk anda.
Jika ahli terapi anda tidak membuatkan anda berasa selamat atau selesa, jika anda tidak melihat kemajuan, atau jika anda berpendapat bahawa mencuba jenis terapi yang berbeza mungkin membantu, tidak mengapa untuk bertukar ahli terapi.
Dalam kebanyakan kes, secara puratanya, ia memerlukan 10 sesi untuk seseorang mengetahui sama ada ahli terapi mereka sesuai atau tidak.
Rujukan
- American Psychological Association. How Long Will It Take for Treatment to Work?
- Swift, J. K., & Greenberg, R. P. (2012). Premature discontinuation in adult psychotherapy: a meta-analysis. Journal of consulting and clinical psychology.
- Juul, S. et al. (2019). Short-term versus long-term psychotherapy for adult psychiatric disorders: a protocol for a systematic review with meta-analysis and trial sequential analysis. Systematic reviews.
- American Psychological Association. Eye Movement Desensitization and Reprocessing (EMDR) Therapy.
- American Psychological Association. Prolonged Exposure (PE).