Solat adalah tiang agama bagi umat Islam. Jikalau sebuah rumah itu tidak mempunyai tiang, maka runtuhlah rumah tersebut. Begitulah juga bagi agama Islam. Solat 5 waktu adalah kewajipan bagi setiap umat Islam, sesiapa yang meninggalkannya sudah pasti akan mendapat balasan. Apakah balasan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja ini?
Solat fardhu 5 waktu sehari merupakan rukun Islam yang kedua. Kedudukan ini juga turut menjelaskan betapa pentingnya kewajipan ini bagi setiap umat Islam.
Terdapat banyak hadis yang menceritakan akan azab atau balasan bagi orang yang meninggalkan solat tanpa sebarang keuzuran.
Pada masa ini, ramai antara umat Islam yang mengabaikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Ramai yang alpa dengan keduniaan, malah ada yang sengaja meninggalkan kerana berasa malas dan tidak penting.
Antara hadis-hadis yang menyebut mengenai meninggalkan solat adalah:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Perjanjian diantara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.“
Riwayat Ahmad, al-Nasaie, al-Tirmizi dan Ibn Hibban
Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim dan Ahmad
Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau mempersenda-sendakan dan meremehkan solat, maka mereka tergolong dalam golongan yang dinyatakan dalam hadis berikut:
Daripada Jabir RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kafir itu ialah meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim
Menurut ulasan lanjut oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji, sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersenda-sendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.
Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat.
Manakala, orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqadha’kan solat, dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya.
Balasan dan Azab Orang yang Meninggalkan Solat dengan Sengaja
Ulama bersepakat bahawa meninggalkan solat 5 waktu dengan sengaja dikategorikan sebagai dosa besar.
Orang yang meninggalkan solat juga akan mendapat hukuman dan kemurkaan Allah SWT serta mendapat kehinaan di dunia dan akhirat.
Dalam surah al-Muddathir, Allah SWT berfirman mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja akan dicampakkan ke dalam neraka Saqar.
Rasulullah SAW juga turut bersabda bahawa orang yang meninggalkan solat akan dikumpulkan bersama-sama dengan Fir’aun, Qarun, Haman dan Ubay bin Khalaf.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang menjaga solatnya maka dia akan memiliki cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat kelak. Sedangkan yang tidak menjaganya maka tidak akan memiliki cahaya, bukti dan keselamatan pada hari itu. Pada hari itu ia akan dikumpulkan bersama Fir’aun, Qarun, Haman, dan Ubay bin Khalaf.”
Riwayat Ahmad, al-Darimi dan al-Baihaqi
Akhir kalam, marilah kita sama-sama sentiasa menjaga solat dan berusaha untuk sentiasa melaksanakannya pada awal waktu. Semoga kita semua sentiasa mendapat hidayah dan perlindungan daripada Allah SWT.