Semua orang mengimpikan kehidupan yang kekal bahagia dan berjaya. Tetapi tidak semua berjaya mencapainya. Bagaimana untuk hidup kekal bahagia dan berjaya?
Bagi umat Islam, mengapai kehidupan yang kekal bahagia dan berjaya memerlukan kepada perubahan sikap. Daripada sikap yang buruk kepada sikap yang baik.
Secara lebih terperinci lagi, terdapat 10 sikap yang menjadi kunci kepada kebahagiaan dan kejayaan bagi seorang Muslim.

Umat Islam juga diwajibkan untuk beriman kepada Qada’ dan Qadar iaitu rukun iman yang ke-6. Walaupun, jodoh dan takdir telah ditentukan oleh Allah SWT, tetapi manusia masih diberikan pilihan untuk memilih.
Manusia diberi pilihan untuk memilih kebaikan atau keburukan, taat atau ingkar, berusaha atau berpeluk tubuh sahaja.
Oleh sebab itu, bahagia dan berjaya juga adalah pilihan. Jika kita inginkan hidup yang bahagia dan berjaya, maka kita perlulah mempunyai sikap yang betul.
Berikut adalah 10 sikap yang perlu ada bagi seorang Muslim yang mahukan hidup yang bahagia dan berjaya:
1. Menjaga Solat 5 Waktu
Untuk menjadi umat Islam yang berjaya, solat fardhu 5 waktu mestilah ditunaikan dan dijaga.
Allah tidak pernah menjanjikan orang yang kahwin akan mendapat anak, kerja siang malam akan jadi kaya, namun Allah berjanji siapa yang menjaga solat, dia adalah orang yang berjaya di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun ayat 1-2:
Maksudnya: “Sungguh beruntung orang-orang yang beriman. (1) Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. (2)”
Cabaran pada akhir zaman ini adalah ramai yang mengambil ringan tentang solat fardhu mereka. Ramai yang meninggalkan solat. Tidak kurang juga yang melengahkan solat mereka.
Sebenarnya, rahsia disebalik menjaga solat dan mendirikan solat pada awal waktunya adalah membentuk peribadi seseorang itu menjadi seorang yang berdisiplin.
Daripada Abdullah, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT?” Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
2. Sentiasa Bersedekah
Amalan sedekah adalah amalan yang baik dan amalan ini tidak akan mengurangkan harta atau menjadikan seseorang itu miskin.
Walaupun hanya mampu memberikan RM 10 setiap hari atau seminggu sekali, tetapi amalan yang berterusan (istiqamah) ini adalah lebih baik daripada RM 100 setahun.
Ramai yang tidak sedar bahawa ganjaran yang disediakan untuk orang yang suka bersedekah sangatlah besar.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.”
3. Menjaga Hubungan Silaturrahim dan Ukhuwah
Sikap untuk hidup kekal bahagia dan berjaya yang seterusnya adalah sikap menjaga hubungan silaturrahim dan ukhuwah.
Hubungan silaturrahim adalah hubungan antara ahli keluarga. Menjaga hubungan silaturrahim adalah salah satu kunci kebahagian dan kejayaan. Boleh jadi doa daripada ahli keluargalah yang menjadi asbab kejayaan kita.
Selain itu, memelihara ukhuwah antara rakan-rakan, jiran, guru dan orang soleh juga merupakan resepi untuk menjadi seorang yang berjaya dan bahagia.
Banyakkan menghubungkan talian persaudaraan sama ada terhadap orang yang dikenali atau tidak dengan memberi salam, ziarah, bertukar hadiah dan juadah.
Imam al-Nawawi pernah berkata yang bermaksud:
“Menghubungkan silaturrahim bermaksud berlaku ihsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat (berbuat kebaikan) kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya.” – (Syarh Sahih Muslim oleh Imam Nawawi, 2/201)
4. Istiqamah Membaca Al-Quran
Sungguh bahagia orang yang selalu berdamping dengan Al-Quran dalam hidupnya, kerana saat masuk ke alam kubur Al-Quran akan menjadi peguam bela untuk kita daripada seksaan-seksaan kubur dan padang Mahsyar.
Ia akan memberi syafaat, membela kita di hadapan Allah dan melindungi kita.
Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Malah. Al-Quran telah terbukti secara saintifik dapat membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dengan mengurangkan keresahan dan kemurungan.
5. Menjadi Manusia yang Bermanfaat Kepada Orang Lain
Seorang yang berjaya adalah seorang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. Menjadi seorang yang bermanfaat juga adalah salah satu asbab untuk mendapat cinta Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan kepada diri seorang muslim.” (HR Tabrani, hadis hasan)
6. Sentiasa Bersyukur
Hidup bersyukur membuatkan kita lebih menghargai apa yang kita miliki dan menjauhkan kita daripada berdengki dengan nikmat yang ada pada orang lain.
Di media sosial kita selalu membandingkan kehidupan kita dengan mereka yang mempamerkan kehidupan yang serba bahagia walaupun hakikatnya tidak begitu.
Bersyukur juga boleh memberikan impak yang baik untuk kesihatan mental. Justeru itu, sentiasalah bersyukur pada saat susah dan senang.
Semoga nikmat yang Allah SWT berikan akan terus bertambah dan berpanjangan.
7. Memohon Maaf dan Memaafkan
Antara perkara yang menghakis bahagia adalah kesalahan kita kepada orang dan rasa dendam terhadap seseorang.
Apabila dua perkara ini bersarang dalam diri maka susah untuk kita berjaya kerana hati dirantai dengan sifat mazmumah.
Mungkin tidak mudah untuk memaafkan terutamanya jika kesalahan seseorang itu amatlah besar dan memberikan impak yang mendalam terhadap kehidupan kita.
Namun, percayalah bahawa usaha dan perjuangan untuk memaafkan itu sangat berbaloi jika kita tahu hasilnya di akhirat kelak.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta, dan tidaklah Allah menambahkan bagi seseorang hamba yang memaafkan (saudaranya) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Dia akan tinggikan darjatnya (di dunia dan akhirat).” (HR Muslim, hadis sahih)
8. Membuat Perancangan
Selain itu, sikap yang seterusnya perlu ada pada seseorang yang inginkan hidup bahagia dan berjaya adalah sentiasa membuat perancangan.
Tidak kira matlamat yang ingin dicapai itu kecil atau besar. Merancang boleh memastikan anda berada di landasan yang betul.
Mulakan dengan niat, catatkan, kemudian bertindak bagi mencapai matlamat tersebut. Di dalam Islam, jika kita niatkan untuk melakukan sesuatu kebaikan di sisi Allah, akan dicatat kebaikan buat diri kita.
9. Banyak Mengingati Mati
Bagi sesetengah orang, bila sebut tentang kematian membuatkan dia rasa takut dan lemah semangat, namun jika kita lihat satu sudut pandang yang berbeza, sebenarnya ia membuatkan kita lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu sehabis baik kerana kita tahu bahawa satu hari nanti hidup kita di dunia akan berakhir.
Menurut ulama tasawuf, kematian adalah pintu masuk untuk bertemu dengan kekasih abadi iaitu Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga dapat memutuskan hati kita daripada terus terikat dengan kecintaan dunia secara mendalam. Hasilnya, kita akan mengambil dunia pada kadar yang diperlukan sahaja, tidak sehingga hanyut dan melalaikan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang bijak adalah orang yang persiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang bodoh adalah orang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah.” (HR Tirmizi, hadis hasan)
10. Meletakkan Pengharapan Kepada Allah SWT
Kita perlu sentiasa berusaha untuk memiliki 9 sikap di atas untuk berjaya dan bahagia. Namun ia tidak akan lengkap tanpa sifat ke-10 ini iaitu meletakkan sepenuh pengharapan (tawakal) kepada Allah SWT setelah melakukan ikhtiar.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:
“…Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal.
Sebagai hamba dan makhluk, kita harus berusaha sebaik mungkin, namun akhirnya Allah jualah yang menentukan sama ada hasilnya menurut perancangan kita atau tidak.
Bersyukurlah sekiranya ia menurut perancangan kita dan janganlah kecewa jika ia tidak menurut perancangan kita.
Percayalah, ketentuan Allah SWT terhadap kita adalah yang terbaik untuk kita dan Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hambanya.