Bagaimana untuk mengenali seorang yang optimis? Adakah anda seorang yang optimis? Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai sikap optimis atau optimisme.
Apa itu Sikap Optimis?
Sikap optimis ialah sikap yang dicirikan dengan harapan dan keyakinan terhadap kejayaan dan masa depan yang positif.
Seorang yang optimis cenderung untuk melihat kesusahan sebagai satu pengalaman yang mendidik atau halangan sementara.
Malah, bagi seorang yang bersikap optimis yang menghadapi hari yang paling menyedihkan mempunyai harapan bahawa “esok mungkin akan lebih baik.”
Seorang yang optimis mengharapkan perkara yang baik akan berlaku, manakala pesimis sebaliknya meramalkan hasil yang tidak menguntungkan.
Sikap optimis dikaitkan dengan beberapa faedah termasuk kemahiran mengatasi masalah yang lebih baik, tahap tekanan yang lebih rendah, kesihatan fizikal yang lebih baik dan kegigihan yang lebih tinggi apabila mengejar matlamat.
Ciri-ciri Seorang yang Optimis
Secara umumnya, seorang yang optimis akan menunjukkan ciri-ciri yang positif. Berikut adalah beberapa ciri atau tanda untuk anda mengenali seorang yang optimis:
- Mengharapkan sesuatu berjalan dengan baik.
- Merasakan bahawa perkara yang baik akan berlaku pada masa hadapan.
- Merasakan masa depan nampak cerah.
- Merasakan seperti akan berjaya mengharungi cabaran hidup.
- Berfikir bahawa perkara yang baik pun boleh datang dari kejadian buruk.
- Melihat cabaran atau halangan sebagai peluang untuk belajar.
- Rasa bersyukur atas perkara yang baik berlaku dalam hidup.
- Menerima tanggungjawab atas kesilapan tetapi tidak memikirkannya.
- Sentiasa mencari jalan untuk memanfaatkan peluang yang ada.
- Mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri dan orang lain.
- Tidak membiarkan satu pengalaman buruk mengeruhkan harapan untuk masa depan.
Seorang yang optimis cenderung untuk melihat punca kegagalan atau pengalaman negatif sebagai sementara dan bukannya kekal, khusus dan bukannya global, dan luaran dan bukannya dalaman.
Punca yang Menyebabkan Optimisme
Punca optimisme yang tepat tidak difahami sepenuhnya, tetapi beberapa faktor mungkin memainkan peranan. Faktor seperti:
- Genetik
- Asuhan atau didikan
- Budaya
- Pengaruh persekitaran
adalah faktor-faktor yang boleh mempengaruhi sikap optimistik.
Menurut kajian, faktor genetik memainkan peranan sekitar 25% kepada sikap optimis atau optimisme. [1]
Manakala, kajian lain pula mendedahkan bahawa usia adalah faktor yang penting kepada optimisme. Optimisme meningkat melalui masa belia, meratakan antara umur 55 dan 70, dan kemudian menurun pada usia yang lebih tua. [2]
Kesan Optimisme
Berbanding pesimisme, optimisme mempunyai impak atau kesan yang lebih baik terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Kajian-kajian telah membuktikan bahawa mempunyai sikap yang optimis memberikan impak yang positif terhadap kesihatan, pencapaian, kurang tekanan dan umur yang lebih panjang.
1. Kesihatan
Kajian oleh pengkaji dari Itali mendapati bahawa optimisme boleh mempengaruhi kesejahteraan mental dan fizikal dengan ketara melalui promosi gaya hidup sihat. Begitu juga dengan penyesuaian tingkah laku dan tindak balas kognitif.
Ia juga dikaitkan dengan fleksibiliti yang lebih besar, kapasiti penyelesaian masalah dan penghuraian maklumat negatif yang lebih cekap. [3]
Kajian yang lebih terkini mendapati mereka yang bersikap optimis mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk mengekalkan penuaan yang sihat. [4]
2. Pencapaian yang lebih baik
Satu kajian pada tahun 2012 yang dijalankan terhadap atlet renang mendapati bahawa perenang pesimis yang mempercayai diri mereka telah melakukan persembahan yang lebih buruk daripada apa yang mereka lakukan terdedah kepada prestasi buruk pada masa hadapan.
Perenang yang optimis tidak mempunyai kelemahan ini. [5]
3. Kurang tekanan (stres)
Seorang yang optimis juga cenderung untuk kurang mengalami tekanan berbanding mereka pesimis atau realis.
Hal ini demikian kerana, mereka percaya pada diri sendiri dan kebolehan mereka, mereka mengharapkan perkara yang baik akan berlaku.
Mereka melihat peristiwa negatif sebagai halangan kecil untuk diatasi dengan mudah dan melihat peristiwa positif sebagai bukti perkara baik yang akan datang.
4. Umur yang lebih panjang
Mereka yang bersikap optimistik juga cenderung untuk mempunyai umur yang lebih panjang dan kualiti hidup yang lebih baik.
Satu kajian yang dijalankan terhadap golongan tua menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai sikap optimis mempunyai usia yang lebih panjang. [6]
Satu kajian lain turut mendedahkan bahawa lelaki dan wanita yang mempunyai sikap optimis yang lebih tinggi mempunyai jangka hayat yang lebih tinggi berbanding mereka yang rendah dengan sikap optimis. [7]
Rujukan
- Robert Plomin. et al. (1992). Optimism, pessimism and mental health: A twin/adoption analysis. Personality and Individual Differences.
- Chopik, W. J. et al. (2020). Changes in optimism and pessimism in response to life events: Evidence from three large panel studies. Journal of research in personality.
- Conversano, C. et al. (2010). Optimism and its impact on mental and physical well-being. Clinical practice and epidemiology in mental health.
- Kim, E. S. et al. (2019). Optimism and Healthy Aging in Women and Men. American journal of epidemiology.
- Stanula, A. et al. (2012). The development and prediction of athletic performance in freestyle swimming. Journal of human kinetics.
- Jacobs, J. M. et al. (2021). Optimism and Longevity Beyond Age 85. The journals of gerontology. Series A, Biological sciences and medical sciences.
- Lee, L. O. et al. (2019). Optimism is associated with exceptional longevity in 2 epidemiologic cohorts of men and women. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America.